IPOH: Sebagai tanda ingatan kepada pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid, penyanyi dan pelakon, Datuk Awie bersama beberapa artis dan ahli Wings Motor Gang Society (WMGS) menganjurkan majlis tahlil di Masjid Kampung Paloh, Ipoh, selepas solat Jumaat.

Turut hadir bersama kira-kira 50 ahli WMGS dari seluruh negara ialah balu Allahyarham, Hasmah Hassan dan keluarga.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, majlis itu adalah sebagai penghormatan kepada Allahyarham yang merupakan Ahli Kehormat WMGS di samping dua lagi ahli mereka yang telah meninggal dunia.

“Kita memegang tiga peranan atau tonggak utama -  silaturahim, ekonomi dan kebajikan. Maka, ini adalah salah satu daripada silaturahim yang kita bina dan kita tidak akan buang mereka walau mereka telah tiada. Mereka tetap di hati, insya-Allah.

“Banyak kenang-kenangan yang sukar saya nak lupakan. Antaranya, adalah apabila tercetusnya idea hendak buat Zombie Kampung Pisang pada peringkat awalnya. Dari situ mengenali hati budi dan selepas itu dia tengok saya macam OK untuk berkawan dengan dia dan (hubungan baik itu) berterusan dan berterusan, sampailah (ke projek filem) Hantu Kak Limah,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, menurut Awie, buat masa ini beliau terlibat di dalam produksi Enjit-Enjit Semut, milik keluarga Allahyarham Mamat, yang kini diterajui anaknya, Mohd Khalid Amen.

“Insya-Allah jika ada di masa hadapan, kalau mereka panggil untuk yang lain, insya Allah kita akan teruskan.

“Silaturahim saya bukan sekadar atas dasar perfileman. Saya dengan Abang Mamat ada silaturahim yang lain. Bukan kerana filem, bukan kerana kerja, kita ada silaturahim yang lain.

“Maka, insya-Allah, saya doakan semoga anaknya, Amen, dapat meneruskan perjuangan yang Abang Mamat bawa dalam filem,” katanya.