Pemuzik jalanan termasuk yang membuat persembahan di sekitar pusat beli-belah Sogo di ibukota menolak sebarang penganjuran perhimpunan haram yang bakal mengakibatkan huru-hara dan kekacauan kepada masyarakat.

Presiden Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) Wady Hamdan berkata, buskers mengambil pendekatan neutral dalam politik selain sentiasa menghormati hak orang lain dalam kehidupan.

"Kita neutral tetapi tidak setuju sekiranya ada perhimpunan haram. Bagi saya seandainya ada ramai orang seperti perhimpunan, pasti prospek tinggi untuk buskers mendapat pendapatan lebih namun sekiranya ada kekecohan seperti perhimpunan haram, ia akan menjadi sebaliknya.

"Jelas perhimpunan haram bukan sahaja mengganggu buskers namun pengunjung pusat beli-belah berhampiran lokasi membuat persembahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Wady Hamdan (kanan sekali) menolak sebarang perhimpunan haram yang mengakibatkan huru-hara terutama di sekitar Sogo - Gambar Facebook Wady Hamdan

Wady mengulas kenyataan vokalis kumpulan penyanyi jalanan, Genji Buskers, Mustam Mustapa yang mengakui jumlah kutipan wang diterima daripada pengunjung bertambah sewaktu demonstrasi jalanan berlangsung khususnya depan pusat membeli belah Sogo.

Kata Mustam, mereka sebelum ini mengadakan persembahan di hadapan pusat membeli-belah itu ketika demonstrasi berlangsung dan mendapat jumlah kutipan yang lebih berbanding hari biasa.

Bagaimanapun jelas Wady, pihaknya tidak ada masalah dengan penganjuran sebarang perhimpunan seandainya dikawal pihak berkuasa dan diadakan dengan aman.

"Kita buskers ada peminat yang melibatkan penyokong kerajaan dan sebaliknya.

"Kita menjaga hati semua dan tidak mahu dianggap berpihak kepada kerajaan atau sebaliknya. Kita sentiasa bersikap profesional dalam isu ini," katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai laporan portal Malaysiakini yang menyebut Genji Buskers turut busking pada hari himpunan bersih 3.0 yang turut mengakibatkan sebuah kereta polis terbalik, ini kata Wady;

"Saya baru sahaja menghubungi Mustam dan dia mengesahkan tidak membuat persembahan pada hari berkenaan. Kenyataannya sudah ditokok-tambah portal berkenaan.

"Mustam sendiri berkata dia tidak boleh terima kenyataan berkenaan, ayatnya sudah diolah semula wartawan berkenaan."

Perhimpunan kemuncak bagi kempen ‘Kita Lawan' akan diadakan pada 7 Mac depan.

Sebelum ini, satu perhimpunan diadakan pada 21 Februari di sekitar Sogo bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda solidariti untuk pembebasan Ketua Pembangkang itu.

Antara yang memberikan ucapan pada perhimpunan itu adalah anak Anwar, Nurul Nuha.

Aktivis, Adam Adli yang turut berucap pada perhimpunan berkenaan menyeru anak-anak muda untuk tidak takut dalam perjuangan mereka.

Sebagai respon, anggota Caliph Buskers, Fendy meminta Adam dan penyokong perhimpunan 'Kita Lawan' supaya tidak menggangu lokasi buskers membuat persembahan di sekitar pusat beli-belah, Sogo dengan perhimpunan haram yang hanya membawa ketakutan kepada masyarakat.

Katanya, sebarang perhimpunan haram yang dicadang diharap dibatalkan segera demi kelangsungan rezeki pemuzik jalanan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu kata Wady, Caliph Buskers dan Genji Buskers adalah anggota MYBC dan tidak mewakili mana-mana parti politik.

"Kalau ada kekacauan, ianya menjejaskan semua aktiviti bukan saja busking, tapi peniaga, pengunjung, pengangkutan awam.

"Tugas buskers adalah untuk menghiburkan masyarakat dan sebagai tarikan pelancongan. Buskers juga mempunyai permit dan kita sentiasa menghormati peraturan serta undang-undang," ujarnya.