KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) komited dalam memastikan kawasan hospital kerajaan khususnya Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilengkapi kemudahan rangkaian 5G yang dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata pihaknya ada berbincang dengan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa baru-baru ini mengenai isu liputan Internet yang dihadapi di kebanyakan hospital kerajaan termasuk HKL.

"Saya juga akan minta pihak Digital Nasional Berhad (DNB) untuk meneruskan perbincangan mereka bagi mengenal pasti lokasi yang boleh dipasang sama ada menara atau kelengkapan 5G.

"Ini penting dan saya lihat mungkin ada satu peluang untuk kita bukan hanya lengkapkan jaringan 4G di HKL, tetapi juga meneliti apa yang boleh kita lakukan untuk pemasangan 5G," katanya kepada Bernama ketika ditemui di HKL di sini hari ini.

Fahmi berkata rangkaian 5G di HKL dapat disegerakan jika isu-isu berkaitan kemudahan itu diselesaikan secepat mungkin membabitkan semua pihak berkepentingan.

Terdahulu, Fahmi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada wartawan veteran dan bekas Penolong Pengarang Utusan Melayu (M) Bhd Mohd Sidek Salleh yang sedang menerima rawatan di HKL, menerusi program Kasih@HAWANA 2023.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2023 D. Arul Rajoo serta Timbalan Pengarah (Perubatan) III HKL Dr Fairoz Azlim Muslim.

-- BERNAMA