KUALA NERUS: Dua belas pesakit Tuberkulosis atau tibi telah diambil tindakan perundangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sejak empat tahun lepas, disebabkan kegagalan mereka meneruskan rawatan bagi penyakit berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata kesemua mereka berdepan dengan tindakan perundangan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Rawatan bagi penyakit tibi adalah kombinasi empat jenis antibiotik dan perlu diambil secara berterusan selama enam bulan. Berdasarkan data terkini kita mempunyai 12 individu yang berhenti menerima rawatan dan telah diambil tindakan perundangan berdasarkan akta yang disediakan untuk KKM," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Universiti Malaysia Terengganu di sini, beliau berkata KKM mempunyai prosedur bagi mengatasi isu pesakit enggan mengambil atau meneruskan rawatan iaitu dengan menghubungi mereka melalui panggilan telefon atau secara atas talian.

"Selain itu, KKM juga menghantar pegawai untuk mengesan pesakit berkenaan... dan sekiranya gagal, maka kita akan guna akta yang sedia ada dan bawa kepada aspek perundangan untuk diambil tindakan.

"Sebagai tambahan, untuk engagement dengan masyarakat, KKM juga ada program pembangunan keupayaan Ejen Kesihatan Komuniti Malaysia (MyCHAMPION) iaitu satu program kesukarelawanan untuk membantu mengesan dan menjalankan aktiviti seperti saringan tibi," katanya.


Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata 25,391 kes penyakit tibi dilaporkan pada tahun lepas dan daripada jumlah itu, 2,572 kematian telah direkodkan iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus atau 284 kes berbanding 2021.

Bertemakan "Yes! We Can End TB!" sambutan berkenaan diadakan di Terengganu yang muncul sebagai johan pencapaian terbaik program kawalan tibi kebangsaan bagi tahun 2022, diikuti Perak di tempat kedua, dan Pahang di kedudukan ketiga.

-- BERNAMA