PUTRAJAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) telah membatalkan notifikasi dua produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk tersebut ialah Flashhskinzz Night Cream dan Rissa Skin Moisturiser, yang masing-masing mengandungi hydroquinone, manakala Rissa Skin Moisturiser juga mengandungi tretinoin serta betamethasone 17-valerate.

Beliau berkata penggunaan produk yang mengandungi bahan berkenaan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

"Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi individu, peraturan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berulang.

Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Menurutnya, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

"Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," katanya.

-- BERNAMA