Kementerian Kesihatan berhasrat memperluaskan pelaksanaan 'klinik virtual' di seluruh negara untuk meningkatkan kecekapan penjagaan kesihatan pesakit luar.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata melalui pelaksanaan itu, pesakit mempunyai pilihan untuk mendapatkan perundingan penjagaan kesihatan secara dalam talian dan tidak perlu bersemuka dengan pengamal perubatan bagi peringkat awal.

"Kita sedang mengkaji beberapa aspek antaranya keselamatan data dan kerahsiaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kesihatan ASEAN 2019 pada Rabu.

Katanya terdapat lima 'klinik virtual' di klinik kesihatan yang diuruskan Kementerian Kesihatan sebagai projek perintis bermula Mei lepas, iaitu Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam; Klinik Kesihatan Seberang Jaya, Pulau Pinang; Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18; Klinik Kesihatan Luyang, Sabah; dan Klinik Kesihatan Tudan Miri, Sarawak.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata perundingan perubatan dalam talian itu hanya sesuai untuk penyakit tertentu di peringkat awal kerana perundingan secara bersemuka masih diperlukan mengikut keadaan.

"Sebagai contoh kalau kita ada penyakit kronik NCD (penyakit tidak berjangkit) seperti darah tinggi dan kencing manis, pesakit sebenarnya boleh buat periksa tekanan darah, gula di rumah dan buat perundingan dalam talian.

"Atau seperti yang dibuat di luar negara, bila pesakit rasa ada simptom tapi tak pasti, boleh buat perundingan bagi mengenal pasti sama ada simptom itu serius atau tidak. Jika serius doktor akan nasihatkan untuk buat perundingan secara bersemuka atau rujuk kepada pakar," katanya.

Dr Lee berkata pihaknya juga berharap inisiatif itu dapat dikembangkan melalui kerjasama dengan pihak swasta untuk bagi mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan digital yang kukuh.

-- BERNAMA