KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menghasilkan Pelan Strategik Mengurangkan Gula dalam Kalangan Rakyat Malaysia (2023- 2025) yang akan melibatkan tindakan multisektoral.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) ke-16 yang berlangsung di ibu pejabat KKM di Putrajaya semalam dan dipengerusikan beliau sendiri.

Beliau berkata turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalannya Lukanisman Awang Sauni, serta 18 wakil kementerian/agensi dan empat wakil pertubuhan bukan kerajaan iaitu Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO).

"Dalam mesyuarat ini, satu usul telah dibentangkan bagi melaksanakan Pensijilan Makanan Selamat KKM sebagai syarat perkhidmatan pembekalan makanan semasa mesyuarat dan majlis rasmi di semua fasiliti kementerian di Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Zaliha perkara itu perlu diperhalusi sebelum tindakan selanjutnya dilaksanakan.

Beliau berkata mesyuarat MKMPK16 turut dimaklumkan mengenai Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan, sistem pemantauan secara dalam talian bagi Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (MS-NPANM), pelaksanaan perjanjian peringkat ASEAN berkaitan pemeriksaan dan pensijilan bagi produk makanan.

Katanya turut dibincangkan pewartaan akuan nutrien baharu bagi asid lemak trans dan akuan fungsi baharu bagi antioksidan daripada minyak sawit serta komitmen industri dalam penghasilan produk makanan dengan pilihan lebih sihat.

"Mesyuarat ini akan dijadikan platform yang tepat untuk perbincangan dan penyelarasan aktiviti bagi menangani isu terkini keselamatan makanan dan pemakanan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan bagi kesejahteraan rakyat Malaysia MADANI," katanya.

-- BERNAMA