Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini berkata pihaknya telah dimaklumkan berhubung produk Energy Candy yang didakwa mengandungi bahan terlarang yang tular di media sosial.

Susulan itu KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemantauan ke atas produk terbabit dan hasil analisis makmal ke atas produk Energy Candy yang dipercayai diimport disahkan mengandungi racun berjadual tadalafil.

Bahan itu telah dilarang penggunaannya dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983.

Produk yang terlibat adalah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah Erectile Dysfunction (mati pucuk). Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatanberdaftar.

"Penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” menurut kenyataan itu hari ini.

Produk yang terlibat adalah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy. - Sumber KKM

Sehubungan itu larangan pengimportan telah dikeluarkan serta merta dan KKM memberi amaran kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan atas talian.

Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membeli produk tersebut.

"Sekiranya telah membeli, tidak memakannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidak selesaan atau kesan advers.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat," menurut kenyataan tu lagi.

Mereka juga boleh menghubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan(BKKM) www.facebook.com/bkkmhq