KUALA LUMPUR: Gangguan sistem semboyan (signalling) di antara Kalumpang dan Kuala Kubu Bharu semalam menyebabkan perkhidmatan KTM Komuter dan ETS mengalami kelewatan hingga lima jam.
Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam kenyataan hari ini menyebut kelewatan tertinggi bagi KTM Komuter melibatkan tren No. 2389 selama 230 minit, manakala bagi perkhidmatan ETS, EP9138 (KL Sentral-Butterworth) merekodkan kelewatan 305 minit.
Menurut KTMB, pemeriksaan awal mendapati gangguan berpunca daripada kerosakan pada satu daripada komponen sistem yang menyebabkan percikan dan seterusnya menjejaskan sistem semboyan, namun punca kerosakan komponen berkenaan masih dalam siasatan lanjut.
“Gangguan sistem semboyan tersebut telah memberikan kesan berantai kepada pergerakan dan jadual perjalanan tren lain yang melalui sektor berkenaan, khususnya perkhidmatan dari dan ke arah utara,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, KTMB memaklumkan kerja-kerja menaik taraf Landasan Berkembar Rawang-Ipoh yang telah dijadualkan lebih awal turut dilaksanakan secara berperingkat, termasuk di laluan Kalumpang pada semalam dan hari ini, sekali gus melibatkan penyelarasan jadual perkhidmatan di laluan berkenaan.
“Susulan gangguan sistem semboyan yang berlaku ketika kerja-kerja tersebut sedang dilaksanakan, pergerakan tren menjadi lebih terhad dan seterusnya menyebabkan kesan kelewatan berganda kepada beberapa perkhidmatan KTM Komuter dan ETS,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, KTMB menyebut kerja-kerja pemulihan selesai pada 5.15 pagi tadi dan tren Komuter pertama dari Tanjung Malim telah berlepas pada 5.45 pagi tadi.
Menurut pengendali perkhidmatan pengangkutan rel negara itu, operasi perkhidmatan KTM Komuter dan ETS kini kembali seperti biasa, namun terdapat reaksi kelewatan 30 minit daripada jadual asal ekoran masalah kerosakan semboyan di laluan Batang kali.
Sehubungan itu, KTMB memohon maaf kepada para penumpang terjejas susulan kejadian itu, manakala pemulangan tambang penuh akan diberikan kepada mereka yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan berikutan gangguan tersebut, tertakluk kepada prosedur yang berkuat kuasa.
-- BERNAMA