MALAYSIA
KKM komited perkasa AI, analitik data dalam sistem kesihatan negara

Dr Dzulkefly berkata, pendekatan berasaskan teknologi itu perlu dilaksanakan bagi menangani cabaran semasa termasuk kesan urbanisasi, beban penyakit berganda serta ketidaksamaan akses kepada perkhidmatan kesihatan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk memperkasa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan awam negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan berasaskan teknologi itu perlu dilaksanakan bagi menangani cabaran semasa termasuk kesan urbanisasi, beban penyakit berganda serta ketidaksamaan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
"AI bukanlah pengganti kepada tenaga manusia, sebaliknya menjadi pemangkin dalam memperkukuh pencegahan awal, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan menjamin perkhidmatan kesihatan yang lebih adil dan menyeluruh," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif tersebut telah pun dimulakan menerusi penggunaan Sistem Pengurusan Klinikal Berasaskan Awan (CCMS) di 80 klinik, selain 230 klinik serta 22 hospital yang telah beralih kepada penggunaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR).Selain itu, Institut Kesihatan Negara (NIH) juga telah membangunkan model AI bagi beberapa penyakit seperti COVID-19, retinopati diabetik dan kusta.
"Ketika ini, NIH sedang membangunkan persekitaran penyelidikan berasaskan awan yang dikenali sebagai Trusted Research Environment (TRE), iaitu platform analitik yang selamat dan membolehkan kolaborasi antara pelbagai pihak," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, transformasi sistem kesihatan negara tidak boleh digerakkan oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif daripada semua pihak termasuk penyelidik, pengamal perubatan serta pembuat dasar.
"Bersama kita jayakan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami