MALAYSIA
KKM lancar Ops Selamat PaPa, bendung ancaman bahaya rokok dan vape

Dr Dzulkefly berkata, penggunaan pendekatan pendidikan, advokasi dan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara seimbang dalam operasi ini dengan kerjasama pelbagai agensi. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru secara serentak di seluruh negara bagi memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Ringkasan AI
- KKM melancarkan Ops Selamat Paru-Paru (Ops PaPa) di seluruh negara bagi kuatkuasakan Akta 852 dan lindungi kanak-kanak serta remaja dari bahaya vape dan rokok.
- Sejak Oktober lalu, lebih 281,000 premis telah diperiksa dengan 459 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan berkaitan produk merokok.
- Seramai 6,517 pegawai dikerah bagi menjayakan operasi ini, dengan pendekatan gabungan pendidikan, advokasi dan penguatkuasaan.
“Ia akan dijalankan berterusan di lokasi tumpuan seperti sekolah, institusi pendidikan dan kawasan awam yang menjadi sasaran pengedar vape,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan operasi berkenaan, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, penggunaan pendekatan pendidikan, advokasi dan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara seimbang dalam operasi ini dengan kerjasama pelbagai agensi.
Katanya, sebanyak 281,381 premis telah diperiksa dalam pelaksanaan Ops Selamat PaPa sejak 1 Oktober tahun lalu sehingga 1 Ogos ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 459 kertas siasatan telah dibuka.
"Sebanyak 340 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan mengikut Seksyen 7. Seksyen 7 ini berkait dengan larangan pengiklanan produk merokok.
"Sebanyak 68 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan mengikut Seksyen 14. Seksyen 14 ini berkait menjual produk merokok tidak mengikut harga dan syarat-syarat ditetapkan manakala 51 kertas siasatan telah dibuka bagi kesalahan di bawah Seksyen 15 yang merupakan hal terkait dengan pengimportan, pengilangan dan sebagainya," ujarnya.
Jelasnya, seramai 6,517 pegawai diberi kuasa telah digerakkan di seluruh negara untuk melaksanakan operasi secara menyeluruh.
“Tujuan kita jelas untuk menyelamatkan generasi muda daripada menjadi ketagih kepada nikotin dan bahan merbahaya lain yang terkandung dalam produk vape dan rokok,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami