KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) perlu segera mencari jalan yang lebih berkesan jika ingin beralih ke status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas 14 Jun nanti. 

Presiden Gabungan Persatuan Anak Negeri (Gapan), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee menegaskan, pihak berkenaan perlu memastikan pemantauan kerap dilakukan terutama bagi mengelakkan sektor pembinaan dan perkilangan mewujudkan kluster-kluster baharu yang akan menjadi faktor merebak dalam kalangan komuniti setempat.

Jelasnya, jumlah tinggi jangkitan bergejala berpunca dari sektor perkilangan dan pembinaan walau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah dilaksanakan selama seminggu benar-benar mendukacitakan.

"Kami sentiasa menyokong penuh segala tindakan kerajaan lebih-lebih lagi kempen imunisasi dalam kalangan rakyat.

"Dengan keahlian mencapai 100,000, Gapan bersedia menjadi barisan hadapan dalam membantu mana-mana keluarga di luar bandar melalui ahli yang bermastautin di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

"Sebagai sebuah persatuan yang menggabungkan semua persatuan  persatuan anak negeri, Gapan bersedia menggerakkan semua ahlinya untuk membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat tentang kepentingan mengambil vaksin oleh setiap komuniti di setiap negeri,"  katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menjelaskan, seramai 1,135,157 individu telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 di negara ini setakat Isnin.

Dr Adham menerusi akaun Twitternya berkata seramai 2,503,655 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini ialah 3,638,812 dos setakat semalam.

Dalam pada itu kata Syed Hussien, seruan daripada anak-anak yang bekerja di Lembah Klang kepada ibu bapa di kampung akan lebih berkesan untuk menyakinkan mereka mengambil vaksin.

"Kempen seperti ini, akan dapat membunuh segala tohmahan bersifat negatif yang cuba disebarkan kumpulan- kumpulan tidak bertanggungjawab khususnya kepada penduduk di luar bandar.

"Melalui saluran ini, kami akan dapat mengenal pasti segala permasalahan yang dihadapi oleh mereka di luar bandar dan maklum balas akan disalurkan kepada agensi pusat yang berkenaan," ujarnya.