MALAYSIA
KKM nafi vaksin dan paracetamol punca autisme

Tiada bukti saintifik mengaitkan vaksin dengan autisme, malah vaksin terbukti menyelamatkan jutaan nyawa dalam tempoh 5o tahun lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menepis dakwaan bahawa pemberian vaksin kanak-kanak dan penggunaan paracetamol semasa hamil menjadi punca autisme.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah berulang kali menegaskan tiada bukti saintifik yang mengaitkan vaksin dengan autisme, malah vaksin terbukti menyelamatkan sekurang-kurangnya 154 juta nyawa dalam tempoh 50 tahun lalu.
Menurutnya vaksin kini melindungi masyarakat daripada lebih 50 jenis penyakit berjangkit.
"Autisme merupakan spektrum penyakit gangguan perkembangan otak yang berterusan dan kekal, melibatkan hampir 62 juta orang di seluruh dunia."Punca sebenar autisme masih belum difahami sepenuhnya, namun ia dipercayai berpunca daripada faktor biologi, genetik dan persekitaran, bukan vaksin," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas penggunaan paracetamol ketika hamil, beliau berkata WHO turut mengesahkan ubat itu selamat digunakan mengikut dos dan nasihat doktor.
"Paracetamol sudah lama digunakan secara meluas termasuk wanita hamil. Berdasarkan garis panduan klinikal terkini, ia kekal antara pilihan paling selamat jika diambil pada dos terendah yang berkesan serta untuk tempoh sesingkat mungkin," katanya.
Sementara itu, mengenai dakwaan folinic acid (leucovorin) mampu merawat autisme, Dr Mahathar menegaskan bukti saintifik masih terhad kepada kajian kecil dan belum boleh dianggap sebagai rawatan standard.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tanpa asas saintifik kukuh, selain menegaskan komitmen KKM memastikan semua ubat dan vaksin selamat serta berkesan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami