KKM pantau kes influenza di sekolah dan tadika secara berterusan - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly bercakap kepada pemberita selepas Pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat Bangunan Utama Parlimen hari ini. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan menutup sekolah terletak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) namun murid yang bergejala seperti kluster influenza dinasihatkan untuk tidak menghadiri sesi pembelajaran.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM akan terus memantau perkembangan kluster ini dan perbincangan akan dilakukan dengan KPM sekiranya perlu tindakan selanjutnya seperti menutup sekolah.
“Hal penutupan semua itu adalah di bawah KPM dan KKM akan sentiasa memberikan memberikan bimbingan soal kawalan kendiri dan prosedur operasi standard (SOP).
“Buat sementara ini, kita sedang memantau dan jika perlu, saya akan berbincang dengan Menteri KPM (Fadhlina Sidek) untuk tindakan selanjutnya,” katanya semasa ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat di sini, pada Jumaat.Beliau menegaskan pemantauan berterusan dijalankan berdasarkan dapatan makmal dan kes masyarakat, termasuk Penyakit Seperti Influenza atau Influenza-Like Illnesses (ILI) dan Severe Acute Respiratory Illness (SARI).
Menurut beliau, kadar konsultasi ILI menunjukkan peningkatan kepada 7.38 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-40, berbanding 5.9 peratus pada ME ke-39, menandakan peningkatan kes di sekolah dan tadika.
Bagi SARI pula, kadar kemasukan menurun sedikit kepada 9.08 peratus pada ME 40 berbanding 9.59 peratus pada ME ke-39, menunjukkan penurunan ringan kes yang serius.
Dr Dzulkefly berkata, jumlah kluster influenza meningkat kepada 97, majoritinya di sekolah dan tadika, menjadikan jumlah keseluruhan wabak dilaporkan sebanyak 116 kluster untuk tempoh itu.
Daripada dapatan makmal, kadar positif influenza meningkat kepada 20.1 peratus pada ME ke-39, berbanding 15.6 peratus pada ME ke-38, manakala SARS-CoV-2 menunjukkan sedikit peningkatan kepada 0.98 peratus.
Strain bermusim yang dikesan adalah Influenza A H3 (17.5 peratus), H1N1 (17.5 peratus), dan Influenza B (1.4 peratus), manakala SARS-CoV-2 mencatat 1 peratus dan tiada mutasi baharu dilaporkan hasil penjujukan genetik.
Beliau menekankan bahawa kebanyakan kes adalah ringan dan pulih sendiri, dengan pesakit digalakkan berehat, minum air mencukupi serta mengamalkan SOP pencegahan penyakit pernafasan.
“Penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka serta kebersihan tangan tetap penting, terutamanya di kawasan berkerumun seperti sekolah dan tadika,” tambahnya.
Dr Dzulkefly turut menekankan bahawa kawalan influenza adalah tanggungjawab bersama, dengan penekanan kepada pemantauan berterusan di sekolah, tadika dan komuniti.
Beliau menyeru agar ibu bapa, guru dan komuniti supaya terus mematuhi langkah pencegahan bagi memastikan penyebaran penyakit dapat dikurangkan dan kesihatan awam terjamin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami