Kementerian Kesihatan memberi saranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berakhir pada 31 Ogos ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata tempoh lanjutan itu perlu memandangkan negara masih bergelut dengan peningkatan kes.

Malah katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunua (WHO) juga menjangkakan pandemik COVID-19 akan berterusan untuk tempoh dua tahun.

"Berkaitan PKPP yang akan berakhir pada 31 Ogos yang diumumkan (sebelum ini), pihak KKM telah membuat saranan kepada MKN dan juga Perdana Menteri supaya PKPP dipertimbangkan untuk dilaksanakan (dilanjutkan) sehingga keadaan lebih terkawal.

“Jadi terpulang Yang Berhormat (Perdana Menteri) untuk mengumumkannya dalam masa terdekat. Kita lihat di negara lain juga masih bergelut (dengan pandemik) dan kes meningkat. Kes import di negara tertentu juga bertamba,” ujar beliau.

Adham berkata demikian pada sidang media selepas program Perkeso Prihatin di Felda Bukit Besar, Kulai.

Untuk rekod, PKPP mula dilaksana pada 10 Jun lalu.

Di bawah pelaksanaan PKPP, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat bagi menjalankan aktiviti harian dan ekonomi.

Namun segala aktiviti itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM.