MALAYSIA
KKM sasar penurunan R-naught kepada 0.5 dalam dua hingga tiga minggu lagi

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini KKM tidak menggunakan kaedah yang sama seperti fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA :Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan penurunan nilai kebolehjangkitan atau R-naught kepada 0.5 dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini KKM tidak menggunakan kaedah yang sama seperti fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.
“Kita sekarang menggunakan kaedah ketika fasa PKPB, kita lihat dalam tempoh dua minggu telah mula nampak kesan penurunan R-naught daripada 2.2 kepada 1.0,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Putrajaya pada Rabu.
Menurut Dr Noor Hisham, situasi COVID-19 di Malaysia ketika ini masih mampu bertahan dengan kadar bacaan R-naught 1.0 melihat kepada kes penularan baharu.
Bagaimanapun katanya, KKM perlu menggandakan usaha di lapangan bagi memastikan usaha menurunkan lagi kadar R-naught dapat dicapai.

Data CPRC Kebangsaan
“Kita perlu gandakan usaha dalam masa dua tiga hari lagi di lapangan dari aspek tindakan kesihatan awam dan pengurusan COVID-19 untuk kita melandaikan lagi kadar bacaan R-naught kepada 0.5.
“Jika sebelum ini kita mampu melandaikan bacaan R-naught dalam masa beberapa minggu, jadi kita jangkakan dalam tempoh sama akan berlaku penurunan yang sama," katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menegaskan, pencapaian itu hanya mampu dicapai sekiranya mendapat kerjasama daripada orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami