Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan menarik semula keputusan melarang perbuatan merokok dan pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen, kata menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya beliau bersama Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, Ketua Unit Kawalan Tembakau KKM Dr Nor Aryana Hassan dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli telah memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof, ketika melakukan kunjungan hormat pagi Khamis.

"Susulan perjumpaan itu, KKM menyampaikan pendirian bahawa pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen adalah selaras dengan Artikel 8 WHO FCTC iaitu melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004," katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.

Dr Dzulkefly berkata penguatkuasaan peraturan itu menunjukkan bahawa melindungi kesihatan rakyat adalah penting dan ia mesti bermula dengan institusi Parlimen, justeru, KKM tidak akan menarik semula keputusan pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen.

"Bagaimanapun hasil pertemuan itu, mesyuarat bersetuju untuk menyediakan ruang merokok alternatif sementara di luar bangunan Parlimen sehingga satu ruang merokok alternatif tetap di luar bangunan Parlimen disediakan," katanya.

Sementara itu, katanya, dalam usaha mencapai sasaran 'sifar rokok' dalam bangunan Parlimen dan kafeteria di dalam premis Parlimen, KKM dengan kerjasama rakan kongsi perkhidmatan berhenti merokok mQuit telah segera menyediakan perkhidmatan bantuan rawatan berhenti merokok melalui tawaran ubatan permulaan di ruang legar bangunan Parlimen.

Perkhidmatan saringan nafas CO dan fungsi paru-paru juga ditawarkan secara percuma, jelasnya.

Kementerian Kesihatan mewartakan kawasan Parlimen sebagai zon larangan merokok berkuat kuasa Isnin lepas, dan seorang ahli Parlimen adalah antara lapan individu yang diberi notis kesalahan merokok di dalam bangunan itu.

VIDEO: Kawasan Parlimen diisytihar kawasan larangan merokok

BACA: Ahli parlimen antara yang dikenakan notis kesalahan merokok

BACA: Kerajaan tolak cadangan wujudkan ruangan khas untuk perokok


Bagaimanapun ahli Parlimen meminta penguatkuasaan itu dikaji semula kerana dilihat bercanggah dengan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) mengemukakan Peraturan Mesyuarat 18, sebaik sahaja sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat pagi semalam tamat, memohon Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan atau 'petua' mengenai perkara berkenaan.

Menurut Johari seorang menteri tidak berhak mengeluarkan sebarang notis di Parlimen tanpa berbincang dengan speaker.

Cadangan itu turut disokong beberapa ahli Parlimen lain termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang berkata bahawa tidak ada mana-mana pegawai penguat kuasa boleh berlegar-legar di kawasan Parlimen mencari kesalahan wakil rakyat melainkan dengan kebenaran speaker.

Mengulas permintaan ahli parlimen itu, Mohamad Ariff berkata beliau akan mengeluarkan 'petua' setelah mengkaji segala aspek Peraturan Mesyuarat dan undang-undang berkaitan.

-- BERNAMA