KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mencadangkan supaya undang-undang dirangka untuk melesen, mengawal selia dan mencukai aktiviti judi dalam talian, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) supaya pindaan bersesuaian dilakukan terhadap Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Ia bagi membolehkan bidang kuasanya diperluaskan kepada aktiviti perjudian dalam talian.

Beliau menjelaskan, pelesenan judi dalam talian bukan sahaja membenarkan kerajaan mengawal selia industri yang biasanya melibatkan laman web yang dihoskan di luar negara, tetapi juga memperoleh cukai daripada urus niaga yang dibuat, sama seperti cara kasino fizikal di Malaysia yang dikenakan cukai.

"Judi dalam negara ini, kita ambil duit rakyat Malaysia... sesiapa main judi dalam Malaysia, duit rakyat Malaysia dan kita cukai.

"Tetapi judi dalam talian ini adalah dari luar negara, seperti daripada India, Thailand, Filipina... semua main judi dalam negara.

"Kalau kita tidak lesenkan, maka orang dalam Malaysia yang main judi luar negara, kita tidak dapat kenakan cukai.

"Sebab itu kita cadangkan kepada MoF untuk membuat undang-undang supaya kalau boleh, kita dapatkan lesen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang ingin tahu langkah kerajaan dalam mengawal selia judi dalam talian termasuk langkah meminda akta-akta berkaitan.