KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menyelesaikan sebanyak 1,203 aduan daripada keseluruhan 5,836 aduan yang diterima menerusi aplikasi MYJalan setakat 6 Dis lepas, Dewan Negara diberitahu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, secara keseluruhan, MYJalan yang dilancarkan pada 24 Ogos lepas menerima 5,836 aduan dengan 1,532 adalah berkenaan jalan seliaan JKR, manakala 4,304 adalah di bawah tanggungjawab pihak berwajib yang lain.

"Daripada 1,532 aduan, jalan berlubang merekodkan penerimaan aduan tertinggi iaitu 523, diikuti jalan rosak dan lampu jalan yang masing-masing 289 aduan dan lampu isyarat (161), garisan jalan (96), halangan (77), papan tanda (34), kemudahan awam (31), perabot jalan (22) serta tanah runtuh (10)," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat kementerian itu di Dewan Negara pada Selasa.

Nanta berkata, data yang dikumpul menerusia aduan aplikasi MYJalan bukan sahaja dapat membantu kementerian membuat analisis, perbandingan dan keputusan tetapi akan menjadi data induk dalam menganalisis kerosakan dan memperbaiki jalan raya di seluruh negara.

Beliau berkata, data itu juga dapat membantu KKR, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membuat perancangan termasuk ketika memohon peruntukan penyelenggaraan jalan daripada Kementerian Kewangan.

Dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kempen MYJalan merupakan satu platform advokasi kepada semua seperti pihak berkepentingan, pengguna, pemain industri lebuh raya selain memberi ruang kepada pengguna membuat aduan sekiranya berlaku kerosakan jalan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam, Adli Abd Halim berkata, kementerian itu sedia melakukan penelitian lanjut bersama Kementerian Pendidikan berhubung cadangan supaya bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili negara melebihi 50 kali dan mempunyai sijil kejurulatihan diberikan elaun sebanyak RM2,000 sebulan untuk mengajar di sekolah.

Beliau berkata, cadangan yang membolehkan pelajar sekolah mendapat bimbingan jurulatih dalam kalangan bekas pemain negara dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya merupakan satu idea yang baik dan sememangnya berada dalam perhatian kementerian itu.

"Kerajaan mengambil maklum cadangan berkenaan dan bersedia untuk melaksanakan penelitian lanjut kepada peringkat yang bersesuaian termasuk mesyuarat jawatankuasa tertinggi pembangunan sukan yang turut melibatkan Kementerian Pendidikan memandangkan cadangan yang dibangkitkan merentas kementerian.

"Cadangan bagi kembangkan sumbangan bekas atlet sukan ini memang dalam perhatian kementerian dan ia boleh dipertimbangkan sebagaimana program khusus yang kita telah laksanakan seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP)," katanya.

Adam Adli berkata, kementerian menerusi Institut Sukan Negara (ISN) juga sentiasa memberi sokongan kepada bekas atlet negara untuk mengikuti program pendidikan sains kejurulatihan secara berstruktur bagi membolehkan mereka ditauliahkan sebagai jurulatih berlesen melalui Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan. - BERNAMA