Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) diisytihar selamat dan bebas daripada pencemaran bahan berbahaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat, berkata operasi oleh makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan Unit Bahan Berbahaya Jabatan Bomba dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia mendapati tiada bahan berbahaya ditemui di situ.

Operasi selama satu jam 15 minit bermula jam 1.45 pagi tadi itu membabitkan beberapa kawasan yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, di KLIA2 pada 13 Februari lalu.

Antaranya kios daftar masuk layan diri AirAsia, kaunter pertanyaan, papan maklumat penerbangan dan Restoran Bibik Heritage di tingkat tiga serta tandas wanita dan klinik perubatan menara di tingkat dua.

“Operasi ini dijalankan untuk memastikan KLIA2 bebas daripada sebarang pencemaran bahan berbahaya. Proses tersebut dijalankan di kawasan dan lokasi berkaitan dengan kes.

“Daripada pemeriksaan yang dijalankan kami mengesahkan bahawa tiada bahan berbahaya ditemui, KLIA2 bebas daripada sebarang pencemaran dan kami isytiharkan ia selamat,” ujar beliau.

Semua kakitangan di KLIA2 yang membantu mangsa pada hari kejadian juga sudah membuat pemeriksaan perubatan dan didapati sihat.

Mengenai suspek yang mengalami muntah-muntah dipercayai selepas menyembur cecair beracun itu, Abdul Samah menjelaskan, simptom itu dialami suspek wanita warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, di dalam teksi sebaik melakukan perbuatan itu dan bukan ketika dalam tahanan polis.