Sehingga hari ini, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar sudah hampir di penghujung dan ternyata semua calon-calon sudah mengambil peluang masing-masing untuk memperkenalkan diri mereka.

Dalam konteks ini, sesi pengenalan calon ini telah dibuat dengan cara tinjauan mesra (walkabout), media sosial, ceramah atau dengan cara promosi melalui penyebaran 'Aku Janji' atau manifesto.

Dalam kes ini, ia disebut harapan atau ikrar dan ia dipergunakan sepenuhnya calon Barisan Nasional (BN) di kedua-dua lokasi PRK.

Bagaimanapun, sehingga waktu ini, calon PAS dan Amanah seolah-olah tidak mengambil kesempatan untuk menyatakan apa yang akan dilakukan sekiranya kemenangan berpihak kepada mereka.

Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya kerana sukar untuk pengundi membuat perbandingan apa yang boleh dibuat mereka jika berjaya memenangi Kuala Kangsar atau Sungai Besar.

Tawaran BN

Pada masa sama, ada beberapa tawaran BN yang sudah disambut dan dinyatakan pendiriannya.

Agenda calon BN di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid juga terbukti apabila hasratnya mahu menyegerakan pembinaan Jambatan Manong menyeberangi Sungai Perak serta menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) supaya diberikan status universiti sudah direalisasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mastura Mohd Yazid
Sementara tiga lagi agenda yang diperjuangkan Mastura iaitu menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar, memohon kelulusan pelebaran Jalan Manong-Kuala Kangsar serta membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan, diharap dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Pastinya, walaupun Mastura dilihat mempunyai sedikit kekangan janji empat perwiranya yang mahu bertemu seramai mungkin pengundi untuk menyampaikan salam dan hasrat ibunya merupakan strategi kempen terbaik.

Sama juga situasi bagi calon BN di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yang awal-awal sudah menetapkan tiga perkara penting sebagai misi iaitu '1 Keluarga 1 Mahasiswa', meningkatkan taraf ekonomi dan memperkenalkan Sungai Besar sebagai hub ekopelancongan.

Budiman

Menariknya di Sungai Besar, Budiman mengakui sudah berjumpa lebih 29,000 orang pengundi selepas sembilan hari berkempen dan jumlah itu mewakili hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi sebanyak 42,000 orang di kawasan berkenaan.

Jadi, apabila hasrat sudah diberi, pasti hanya calon BN yang memberi tawaran perlu menyambung impian berkenaan.

Situasi mengelirukan

Pada masa sama kita lihat keupayaan calon PAS dan PAN hanya menjurus kepada perbalahan dan kedua-duanya seperti konsep cinta tiga segi apabila ada situasi calon PAS yang hadir di majlis PAN kerana Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Ia situasi yang mengelirukan apabila melihat bagaimana PAN memihak kepada Azmin dan pada masa sama PAS hadir untuk menyatakan kepada Azmin bahawa mereka ada di dalam kerajaan yang dipimpin Azmin.

Kedudukan begini menjadikan perbahasan yang tidak langsung membantu PAS atau PAN. Tambah parah, dalam tempoh terdekat juga, ada sebilangan anggota PAN yang membuat pengisytiharan untuk menyokong Budiman.

Pengumuman Timbalan Ketua PAN Sungai Besar yang mengetuai seramai seramai 32 AJK (Penaja) parti tersebut sebulat suara menolak calon mereka sendiri.

Ia umpama menguburkan terus kempen PAN di Sungai besar apabila secara terbuka membuat pengumuman akan membantu kempen Budiman.

Amanah juga seperti silap langkah apabila jenteranya banyak dibayangi DAP, walaupun diakui seperti di Sekinchan kawasan itu mungkin maoritinya Cina namun persepsi pengundi dibaca dalam konteks berbeza.

Amanah seharusnya dilihat sebuah parti yang menjurus kepada orang Melayu dan Islam, jadi dengan sokongan Cina dan dokongan DAP, maka kemungkinan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak PAN akan menghadapi masalah apabila bakal dilihat parti yang turut menggendong agenda DAP di dalam perjuangan mereka.

Kali ini juga satu medan uji bagi PAN yang harus diakui sangat lemah dan terlalu baharu untuk membawa pendekatan dan menguji nasib sama ada pengundi menerima atau tidak kehadiran parti itu di kawasan mereka.

Ia dilihat tidak mantap walaupun dibayangi parti DAP.

Satu kajian melaporkan, BN akan mendapat kemenangan besar di Kuala Kangsar kerana kekuatan Melayu dan ADUN sedia ada juga merupakan wakil BN.

Kesinambungan PRK

Jasi seandainya kita berbicara mengenai PRU ke-14, Kuala Kangsar boleh dijadikan ukuran menilai kekuatan Melayu itu sendiri.

Manakala kalau hendak dilihat bagaimana jentera DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, ia diterjemahkan dalam penggunaan Amanah di Sungai Besar.

Jadi seandainya BN memperoleh kemenangan Sabtu ini, ia boleh dilihat limpahan kemenangan Sarawak yang mula menyerap masuk di semenanjung dan akan terus mengalir sehingga kemenangan total diperolehi pada PRU ke-14 nanti.

Oleh itu, PRK Sungai Besar atau Kuala Kangsar ini sebenarnya kesinambungan dan bukti kemampuan kerajaan persekutuan yang boleh merealisasikan hasrat dalam tempoh yang ditetapkan.

Andai kata pengundi mahu melihat kemampuan Amanah atau PAS, mereka boleh menutup mata dan sekadar bermimpi indah di siang hari.

PRK kali ini menonjolkan politik peribadi Amanah dan PAS, deklarasi Pakatan Harapan yang semakin berterabur, kekuatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang semakin hambar selain retak dalaman yang sudah tidak boleh disembunyikan DAP, PKR, Amanah atau PAS lagi.

Banyak lagi persoalan yang akan timbul selepas PRK ini, ia permulaan pergolakan Pakatan Harapan yang tidak akan bernoktah sehingga PRU akan datang.

BN pula akan terus dengan kematangan jentera dan pemimpinnya, walaupun ada kelemahannya namun jangan dinafikan BN terus mendahului dengan semangat kesepakatan sejak sekian lama.

Untuk Pakatan Harapan dan PAS, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.