Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram menegaskan Klinik Kesihatan Rantau perlu dinaik taraf kerana masih tidak dilengkapi banyak kemudahan.

Beliau berkata klinik kesihatan itu tiada kemudahan x-ray, tiada makmal untuk ujian darah serta tidak mempunyai katil bagi pesakit untuk mendapatkan rawatan.

"Klinik Kesihatan Rantau masih belum mempunyai banyak kemudahan. Malah, bagi ujian darah, perlu dihantar ke Hospital Seremban untuk mendapatkan keputusan.

"Kita mesti memberi kemudahan tersebut kepada penduduk di kawasan ini," katanya semasa ceramah khas anjuran DAP Negeri Sembilan sempena PRK DUN Rantau di sini malam tadi.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilaporkan berkata cadangan untuk menaik taraf Klinik Kesihatan sedia ada di Rantau telah dikemukakannya sebelum ini, namun usaha memperbesarkan kemudahan itu tidak dapat dilakukan berikutan masalah pemilikan tanah.

Sementara itu dalam ceramah yang sama, Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata adalah tidak benar pembangunan di Negeri Sembilan dihentikan apabila PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Beliau berkata ini kerana nilai pelaburan yang diterima di Negeri Sembilan meningkat daripada RM1.8 bilion pada 2017 kepada RM2.8 bilion pada 2018.

"Pembangunan dan pelaburan adalah lebih baik di bawah PH," katanya.

Pada Ahad, dalam satu ceramah di Bandar Seri Sendayan, Mohamad dilaporkan berkata beliau kecewa kerana pelan pembangunan 30 tahun yang dirancangnya di Negeri Sembilan dihentikan apabila PH memenangi PRU14.

-- BERNAMA