NATIONAL
Klon Harimau Malaya: Cabaran etika semakin kabur, tapi masa makin suntuk - Penyelidik

Dr Wan Nor Fitri merupakan penerima Geran Anugerah Merdeka bagi penempatan antarabangsa. Beliau baru sahaja menamatkan penempatan selama tiga bulan di Cornell University, New York.
KUALA LUMPUR: Teknologi pengklonan Harimau Malaya berdepan cabaran besar dari sudut moral dan etika, namun persoalan lebih besar yang harus dijawab kini adalah – adakah kita sanggup membiarkan spesies itu pupus?
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Dr Wan Nor Fitri Wan Jaafar, usaha menyelamatkan Harimau Malaya melalui teknologi seperti sel stem dan klon tidak seharusnya ditolak bulat-bulat atas alasan etika semata-mata.
“Bila kita bicara tentang moral dan etika, dengan teknologi klon ini, batasannya menjadi semakin kabur. Kita perlukan satu kajian yang benar-benar mendalam sehingga capai satu persetujuan. Bila kita berada di tahap darurat - etika itu menjadi dilema.
"Adakah kita nak biarkan spesies itu pupus begitu sahaja?” katanya dalam temu bual bersama AWANI Pagi, hari ini.Beliau turut menyentuh pengalaman negara ketika cuba menyelamatkan badak sumbu Sumatera satu ketika dahulu, yang kini dianggap sebagai spesies pupus secara fungsian di Malaysia.
“Kita pernah lalui situasi sama dengan badak sumbu Sumatera. Memang kuasa itu milik Tuhan, tapi ikhtiar itu tanggungjawab kita,” ujarnya.
Tambah beliau, teknologi sel stem mungkin kelihatan mudah pada permukaan, namun pelaksanaannya amat kompleks dan memerlukan masa serta penyelidikan menyeluruh.
“Teknologi seperti sel stem nampak mudah di atas kertas, tetapi hakikatnya sangat kompleks untuk dilaksanakan. Jika kita diberi lebih masa, pendekatan saintifik ini boleh dimurnikan. Tapi kita sedang berlumba dengan waktu,” tegas beliau.
Susulan itu, Wan Nor Fitri menyeru agar usaha intervensi untuk menyimpan sel stem ke dalam bank perlu dimulakan sekarang sebagai langkah pencegahan, sebelum kejadian tragis seperti kehilangan badak sumbu Sumatera di negara ini berulang terhadap Harimau Malaya.
Dr Wan Nor Fitri merupakan penerima Geran Anugerah Merdeka bagi penempatan antarabangsa.
Beliau baru sahaja menamatkan penempatan selama tiga bulan di Cornell University, New York, di mana kejayaan awal yang dicapai telah membuka ruang kepada kerjasama antarabangsa.
Pengklonan Harimau Malaya kini sedang dikaji sebagai antara ikhtiar saintifik terakhir untuk menyelamatkan spesies ikonik negara yang berada di ambang kepupusan.
Namun, usaha ini tidak terlepas daripada perdebatan panjang dari sudut bioetika, ekologi dan kesediaan dasar negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami