Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mengenakan perintah tutup terhadap sebuah tapak pembinaan dan rumah kongsi yang dikesan terbabit dalam kluster jangkitan COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata JKWP juga akan melaksanakan proses pembersihan dan nyah kuman di tapak pembinaan dan rumah kongsi berkenaan dalam masa terdekat.

Jelasnya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Wilayah Persekutuan sebelum ini telah melaporkan mengenai jangkitan COVID-19 yang menular di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur.

"Kluster ini dapat dikenal pasti kerana pihak kontraktor telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, iaitu melakukan saringan COVID-19 ke atas pekerja mereka sebelum dibenarkan beroperasi.

"Setelah menjalankan saringan COVID-19 ke atas semua pekerja, 44 orang disahkan positif dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Pekerja-pekerja yang mempunyai kontak rapat juga telah dikuarantin," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Ujar beliau, CIDB akan terus memeriksa tapak pembinaan bagi memastikan SOP dipatuhi sepanjang tempoh PKPB.

"Sehingga hari ini, 5,236 tapak pembinaan telah diperiksa. Daripada jumlah itu, 728 tapak pembinaan didapati mematuhi SOP manakala 209 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP dan telah diberi amaran," jelasnya lagi.

Setakat ini, sebanyak tujuh tapak pembinaan diberi arahan tutup sementara 4,292 tapak pembinaan yang lain tidak beroperasi.

Pada masa sama, 27,383 pekerja di tapak pembinaan telah disaring COVID-19 oleh majikan masing-masing.