Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti bahawa jangkitan wabak COVID-19 dalam kalangan jemaah tabligh kini memasuki tahap generasi kelima.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, generasi kelima yang dijangkiti wabak tersebut dikenal pasti setelah tempoh sebulan.

“Hari ini terdapat 61 kes berkait dengan kumpulan jemaah tabligh. Angka ketika ini melibatkan jemaah tabligh di Sri Petaling memasuki generasi kelima.

“Tiada lagi generasi pertama dan kedua di mana dalam tempoh sebulan, pihak kami telah melihat ia kini meluas kepada generasi kelima,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Jelasnya, jangkitan melibatkan kes positif baharu ketika ini adalah jangkitan secara tidak langsung dari generasi keempat dan kelima kluster jemaah tabligh.

“Kluster baharu ini secara tidak langsung berkait dengan generasi keempat dan kelima. Jadi kita boleh bahawa ia kini merebak di merata-rata.

“Terutamanya apabila ada jemaah (positif) yang telah ke masjid dan menjangkiti jemaah yang lain,” katanya.

Buat masa ini katanya, sejumlah 17,965 saringan melibatkan jemaah tabligh di Sri Petaling telah dilakukan dengan 12,842 sampel diambil.

Daripada jumlah tersebut, 1,254 adalah positif manakala 7,084 adalah negatif selain 4,504 lagi masih menunggu keputusan.

Sementara baki 5,123 individu lagi masih perlu menjalani ujian pensampelan.