AYER KEROH: Kes positif COVID-19 membabitkan dua madrasah di negeri ini sehingga tercetusnya Kluster Pulau Gadong, kini merekodkan peningkatan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, angka terkini menunjukkan seramai 137 guru dan pelajar disahkan positif, berbanding hanya 41 individu sebelum ini.

Katanya, peningkatan itu dicatatkan selepas keputusan ujian saringan RT-PCR yang dilakukan ke atas semua 224 pelajar dan guru diterima Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Beliau berkata, pada awalnya seramai 185 pelajar dan guru disaring susulan kes indeks pertama dikesan, melibatkan seorang tenaga pengajar yang juga salah seorang jentera parti pada kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Jumlah saringan itu kemudian meningkat kepada 224 individu melibatkan dua madrasah, masing-masing di Pulau Gadong dan Bukit Katil, sebelum keseluruhan 187 disahkan positif manakala baki 87 lagi disahkan negatif.

"Jumlah yang disaring termasuk pelajar dan guru adalah seramai 224 orang. Daripada 224 orang itu, 137 positif manakala 87 negatif.

"Tetapi, 87 orang ini telah dikuarantin sejak daripada 25 Nov.

"Kalau diikutkan, kalau ada peningkatan kes yang baru, memandangkan mereka ini semua dalam hostel yang sama, jadi ia tidak akan tersebar dalam komuniti.

"Maka, kita jangka tidak akan ada kes yang baru. Mereka ini akan dibenarkan habis kuarantin pada 14 Dis.

"Jika ada kes baru, maka akan ditetapkan semula tambahan 10 hari bermula dari tarikh kes baru itu," katanya ketika ditemui di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

COVID-19 | Kluster PRN, kes positif meningkat 137

BACA: Satu kluster dikesan babitkan PRN Melaka, kes indeks petugas jentera parti - Exco Negeri

Katanya, beliau sendiri telah melawat sekolah-sekolah tersebut dan mendapati mereka yang terbabit dalam keadaan sihat dan ada di antaranya yang telah dibenarkan pulang dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, kesemua 187 kes indeks positif itu direkodkan dalam tempoh 25 Nov sehingga semalam.

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan satu kluster membabitkan dua madrasah tercetus susulan pelaksanaan PRN Melaka, November lalu.

Kes dikesan apabila seorang tenaga pengajar yang bertugas di kedua-dua madrasah berkenaan, yang juga salah seorang jentera parti PRN Melaka, disahkan positif COVID-19.

Dalam pada itu, Muhammad Akmal berkata, sepanjang tempoh dua minggu selepas PRN Melaka 20 Nov lalu, tiada mana-mana kes positif yang dikesan membabitkan jentera pilihan raya.

Jelasnya, beliau yakin JKN mampu mengawal penularan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini ketika ini.