FILEM antara aset paling hampir dengan sastera walaupun di Malaysia jurangnya sangat ketara.

Filem Langit Petang diangkat daripada novel Sasterawan Negara (SN) A Samad Said pada 1982.

Namun, karya arahan Shahrom Mohd Dom ini tidak berjaya merealisasikan semangat asal novel terbitan 1980 ini.

Malah, filem lakonan Dharma Harun Al Rashid dan Azean Irdawaty gagal mendapat sambutan tontonan.

Filem Langit Petang diangkat daripada novel Sasterawan Negara (SN) A Samad Said pada 1982.

Kejayaan Ranjau Sepanjang Jalan (1983) karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang difilemkan Jamil Sulong memberikan nafas baharu.

Filem lakonan Ahmad Mahmood dan Sarimah Ahmad ini berjaya membawa dunia petani miskin di Banggol Derdap ke layar lebar dengan naratif yang mengangkat nafas asal novelnya.

Pada 1991, novel Juara karya SN S. Othman Kelantan menggegarkan sinema Melayu. Filem arahan U-wei Saari meninggalkan impak besar di pawagam.

Jogho juga adalah sebuah filem masyarakat hasil karya U-Wei Saari.

Apa lagi filem ini lahir pada era diskusi mengenai usaha menfilemkan novel besar Malaysia hangat diperkatakan.

Namun - itulah saja. Tiga filem karya SN yang diangkat ke sinema berkelas jalur lebar.

Selepas vakum 30 tahun tanpa novel besar yang difilemkan - muncul produksi Balang Rimbun dengan telefilem khas terbitan Astro.

Telefilem Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman disiarkan melalui saluran 952 Tayangan Hebat Astro Box Office Movies pada Mei 2013.

Drama yang menarik kerana menemukan gandingan Sabri Yunus sebagai pengarah dan Wan Hanafi Su sebagai pelakon utama.

Sabri Yunus.

Wan Hanafi Su sangat berjaya memainkan watak Pak Hassan; sekaligus berjaya menzahirkan aspirasi SN Anwar Ridhwan melalui novel yang diterbitkan pada 1979.

Selebihnya - dunia visual sama ada drama atau filem Melayu hanya sekadar mengangkat novel-novel picisan yang didrama sirikan atau difilemkan.

Kualiti dan prestijnya mustahil diambil kira. Pastinya ia bertujuan komersil. Sama ada nilai novel atau naratif visualnya ketika didrama atau difilemkan.

Selepas hampir empat dekad, usaha merakyatkan karya novel ke filem dilakukan; suasana tetap suram.

Industri filem dan karya novel berkelas tinggi masih kekal menjadi dua saudara yang sukar dipersatukan.

Alasannya mudah; soal komplikasi hak cipta yang rumit. Selebihnya, kekangan bajet dalam menjayakan aspirasi novel terutama karya-karya besar SN.

*Era 80-an dan siri tayangan filem seni

Pada sekitar dekad 80-an hingga 90-an, ia menjadi tahun-tahun yang jenuh dengan kegilaan pembikin, pengkritik dan peminat filem tempatan menonton lambakan puluhan filem seni dalam setahun.

Pelbagai sesi tayangan anjuran persatuan dan komuniti filem yang dilanda kegilaan terhadap filem seni.

Malah, British Council dan Kedutaan Perancis juga seperti ikut berlumba. Perang senyap dalam menerapkan pengaruh pasca kolonialisme melalui kehalusan pengaruh estetika filem.

Dua negara kuasa besar ini cuba meluaskan pengaruh filem seni ala Los Angeles dan acuan Paris. Ia semacam perang meluaskan doktrin seni pula.

Dekad 80-an juga dilambakkan dengan trilogi Satyajit Ray (1921-1992).

Panggung P. Ramlee di FINAS dipenuhi penggila filem seni apabila "Pather Pichali" (1955), "Aparajito" (1956) dan "The World of Apu" (1959) ditayangkan sekitar akhir dekad 80-an.

Sesi anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) membuka mata pecinta filem melihat standard filem seni bikinan sinema Benggali, India bagi dekad 50-an.

Waktu itu juga, filem seni Akira Kurosawa (1910-1998) didedahkan secara meluas. Senarai filem hasil karya tokoh sinema Jepun ini memang panjang. Sekitar 30 judul.

Namun, "Roshomon" (1950), "Seven Samurai" (1954), "Yojimbo" (1961) dan "Rans" (1985) jadi tumpuan.

Kurosawa memiliki pengaruh luar biasa. Malah, pengarah ini juga mempengaruhi kerja seni P. Ramlee (1929-1973).

Selain India dan Jepun, filem-filem yang dinilai bagus dari Jakarta turut melanda sesi tayangan filem seni di Kuala Lumpur.

Filem Cinta Dalam Sepotong Roti (Garin Nugroho/1991), Serangan Fajar (Ariffin C Noer/1982) dan Secangkir Kopi Pahit (Teguh Karya/1985) juga dibawa masuk dan ditayangkan khusus untuk pecandu filem seni.

Kedutaan Perancis juga tidak mahu mengalah. Pada era pecandu filem sedang mabuk kasmaran dengan nilai estetika sebagai dimensi intelektual, Festival Filem Seni Perancis dianjurkan.

Lokasinya di Panggung Drama Kuala Lumpur selama seminggu. Itu sekitar tahun 1989. Penghujung dekad lapan puluhan, semacam era penggila filem boleh muntah menyusun jadual dan menuju ke pelbagai lokasi demi menyadap filem seni terbaik seluruh dunia.

Dari FINAS ke Kedutaan Perancis sampai British Council, pecandu filem mengejar jadual dan fenomena bergengsi intelek dengan bertopengkan filem seni.

Minat filem bukan saja dikejar di tayangan rasmi anjuran yang formal. Di rumah pelakon Azizah Mahzan, pecinta filem boleh hadir dan menonton filem-filem semasa yang memiliki nilai estetika tinggi.

Rumah Azizah menayangkan filem "In The Names Of Rose" (1986) arahan Jean Jacque Arnold yang menampilkan Sean Connery dan F Murray Abraham.

Malah, makin terseru menonton filem The Red Shorgum (1987) arahan Zhang Yimou. Agak berkecamuk juga jadual kalau kita gilakan filem seni yang datang dari pelbagai ceruk budaya dan terasa utopia pada kepelbagaian falsafah seninya.

*Dunia filem masa kecil

Pada 1977, di pawagam Rex, saya ternganga menonton versi ketiga filem A Star Is Born arahan Frank Pierson. Apa lagi dilakonkan superstar dekad 70-an, Barbara Streisand dan Kris Kritofferson.

Pada 1977, di pawagam sama, saya terpana menyaksikan John Travolta dalam "Saturday Night Fever".

Setahun kemudian (1978) para remaja jatuh cinta pada Olivia Newton John dalam filem Grease.

Itu juga filem "pecah panggung" yang meletakkan John Travolta sebagai bintang pop sebelum muncul semula pada dekad 90-an dengan filem-filem lebih impresif.

Dekad 90-an membuka jendela sinema dengan munculnya The Godfather III (1990) dan menjadikan pawagam Rex di Jalan Petaling dibanjiri pecinta filem autobiografi kreatif.

Francis Ford Capolla meneruskan kerja seninya membawa ikon mafia dan dunia gambino serta "insight" mafia selepas kejayaan The Godfather (1972) dan "The Godftaher II" (1974).

Filem ala biografi tokoh Mafia New York, Frank Castello membuka lembaran baharu; pengaruh filem moden dengan senario biografi dunia gelap yang dialih secara kreatif ke sinema layar lebar.

The Godftaher diangkat daripada novel karya Mario Puzo. Novelis Amerika Syarikat ini memilih latar fiksyen keluarga Mafia di Long Beach, New York.

Capolla mengangkat novel terbitan G.P Putnam's Sons dengan naratif yang jelas pada biografi jenayah mafia yang berlatarkan Amerika pada dekad 40-an.

Pembaharuan filem autobiografi genre fiksyen yang diangkat melalui gabungan novel kreatif Puzo dan layar lebar Capolla, menjadikan pawagam Melayu yang dipenuhi filem "jenaka cetek" terasa lebih "cetek" jadinya.

Bersambung



* Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.