MALAYSIA
KMF 2025: Malaysia alu-alukan apa jua usaha demi keamanan penduduk Gaza – PM Anwar

Anwar (foto) berkata, ketika ini terdapat sinar harapan, khususnya perkembangan positif tentang pelan gencatan senjata, yang akan dijangka dapat menamatkan penderitaan penduduk Gaza. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Malaysia konsisten untuk mengalu-alukan sebarang usaha yang diyakini mampu membawa ke arah kedamaian berkekalan untuk penduduk Gaza.
Ringkasan AI
- Malaysia menyokong usaha ke arah kedamaian berkekalan di Gaza dan menyeru Israel menghentikan serangan serta membenarkan bantuan kemanusiaan segera.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap peserta Global Sumud Flotilla dan menegaskan pentingnya keberanian untuk menghentikan pembunuhan demi keamanan.
- Dalam ucap tama Forum Megatrend Khazanah 2025, Anwar turut mengulas ketidaktentuan global seperti tarif dan nasionalisme ekonomi yang mengancam sistem perdagangan pelbagai hala.
“Tragedi ini telah terpahat dalam hati nurani kemanusiaan. Keamanan yang berkekalan tidak akan tercapai sekelip mata, tetapi ia mesti bermula dengan keberanian untuk menghentikan pembunuhan, dan menjunjung kesucian nyawa.
“Sehingga 4 Oktober, kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla telah dibebaskan oleh Israel.
"Malaysia berdiri teguh bersama semua peserta Flotilla yang berani dan berdedikasi, serta semua yang berusaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan demi menjamin hak rakyat Palestin dan merealisasikan sebuah negara Palestin yang berdaulat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama sempena Forum Megatrend Khazanah 2025 (KMF), di ibu negara, pada Isnin.
KMF merupakan acara tahunan anjuran Khazanah Nasional Berhad yang menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik, pembuat dasar dan pemikir strategik dari dalam dan luar negara untuk membincangkan isu-isu besar yang membentuk landskap ekonomi, sosial dan geopolitik dunia.
Dengan tema “Debugging Uncertainty: Lessons from the Grasshopper and the Ant on Living with Risk” forum kali ini membincangkan persoalan bagaimana negara dan institusi boleh mengurus ketidaktentuan global dengan bijak, berani dan beretika.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengingatkan selain tumpuan dunia terarah kepada Gaza, medan konflik dan pertikaian lain terus bertambah.
Mengambil gelombang baharu tarif dan nasionalisme ekonomi sebagai contoh, beliau berkata, keadaan itu telah mengancam untuk mengganggu susunan global yang dibina dengan penuh kesabaran selama beberapa dekad.
“Apabila Amerika Syarikat mula mengenakan tarif ke atas China beberapa tahun lalu, tidak ramai yang menjangka arus perlindungan ini akan kembali dengan begitu pantas. Dan kini ia kembali dengan penuh keganasan.
“Sistem perdagangan pelbagai hala, yang dahulunya menjadi tonggak kemakmuran bersama, kini lumpuh, tanpa kepercayaan dan kekurangan kepastian,” katanya lagi.
Justeru, Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak boleh kehilangan haluan tetapi perlu mengharungi perjalanan dengan teguh, berbekalkan ketabahan dan pandangan strategik ke hadapan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami