IPOH: Sebanyak 65 kolam ternakan ikan air tawar di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan, Ipoh diancam pencemaran kesan projek perlombongan Kaolin yang didakwa diusahakan secara haram sejak sebulan lalu.

Menurut Pengerusi Usahawan Agro Kampung Kolam, Abdul Aziz Abdul Manap, kerja-kerja perlombongan itu menyebabkan air sungai yang menjadi saluran utama ke dalam kolam ternakan bertukar keruh.

Jelasnya, tindakan syarikat kontraktor yang menebang pokok-pokok besar untuk dijadikan laluan jentera berat juga menyebabkan sungai dipenuhi dengan timbunan batang dan dahan pokok.

"Punca daripada air sungai ini tercemar membabitkan kerugian yang besar kepada kami sebagai penternak ikan air tawar.

"Jadi permasalahan ini membabitkan terjejasnya pendapatan kami oleh sebab sumber air itu tidak stabil menyebabkan pengeluaran ikan juga terjejas, air yang keruh, kotor sampah, pasir dan sebagainya," katanya.

Abdul Aziz menggesa supaya pihak berkaitan mengambil perhatian perkara tersebut dan tindakan diambil segera.

Katanya lagi mereka juga bimbang jika terus dibiarkan, ikan-ikan yang diusahakan akan mati, sedangkan itulah punca pendapatan utama penduduk.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Kolam berkata, perusahaan ternakan ikan air tawar di kawasan seluas hampir 20 hektar itu mendapat pengiktirafan Jabatan Perikanan sebagai antara yang terbaik di Perak.

Katanya, terdapat 15 pengusaha terlibat secara aktif menerusi pelbagai jenis ternakan ikan air tawar termasuklah tilapia merah, tilapia hitam, baung, patin, jelawat, rohu dan tongsan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, semakan lanjut akan dibuat bagi memastikan sama ada kawasan dimaksudkan berada di bawah bidang kuasa jabatan atau Pejabat Tanah, sebelum tindakan lanjut diambil.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul pula memaklumkan, beliau telah mengarahkan siasatan segera dilakukan di kawasan itu.