PERTAMA, rancangan menubuhkan sebuah majlis musyawarah oleh Tan Sri Nazir Razak bermodelkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan kira-kira 50 tahun selepas peristiwa 13 Mei 1969 adalah suatu saranan yang ketinggalan zaman.

(Sila lihat “Tubuh majlis musyawarah untuk beri cadangan kepada Parlimen - Nazir Razak,” Awani, 24 November 2021

MAGERAN dicetuskan untuk mencari penyelesaian terhadap suatu peristiwa keganasan etnik dan untuk meredakan iklim panas hubungan etnik melalui usaha perpaduan dan tindakan sosioekonomi.

Lahirlah Rukun Negara pada 1970 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 bersama Rancangan Malaysia Kedua, 1971-75.

Saranan Nazir Razak ini, yang diuar-uarkan secara terbuka pertama kali dalam Forum Khazanah pada 5 Oktober 2015 adalah out-of-date dan out-of-context kerana sekarang adalah era 'bertikam lidah, bukan berparangan' atau 'talk conflict, walk cohesion.'

Keadaan ekonomi dan politik pun sudah berbeza sekarang berbanding pada tahun 1969.

Kedua, pada 25 November 2013, dua tahun sebelum Nazir Razak mengemukakan saranan penubuhan NCC2 (National Consultative Council 2), kerajaan telahpun menubuhkan Majlis Konsultatif Perpaduan Negara (National Unity Consultative Council atau NUCC) yang dilancarkan secara terbuka dan diliputi media.

NUCC dianggotai oleh wakil-wakil daripada sektor awam, sektor swasta dan sektor komuniti (kesenian, NGO, CBO dan lain-lain) dan telah kerap bertemu dan berbincang selama kira-kira dua tahun, 2013-2015.

Institut Kajian Etnik UKM dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) adalah sekretariat bersama.

NUCC telah menghasilan sebuah dokumen berjudul Pelan Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan Malaysia 2015 dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada Ogos 2015 untuk kemudiannya disusun pula sebuah Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) dan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) ditadbir urus oleh JPNIN yang berpayung di bawah Jabatan Perdana Menteri dan diketuai oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perpaduan).

Bagaimanakah pasukan penyelidik Nazir Razak yang berpangkalan di Oxford University, UK dan kelompok bijak pandai yang membuntuti beliau berbincang mengenai saranan ini pada 10 Jun 2108 langsung buta maklumat mengenai peristiwa di tanah air khususnya penubuhan NUCC pada 2013 dan pelan-pelan yang dihasilkan.

Lihat sahaja semua tulisan dan kenyataan akhbar Nazir Razak mengenai NCC2 yang dicadangkannya.

Maknanya landasan dan kerangka pemikiran kelompok bijak pandai yang mengiringi Nazir Razak bergerak di suatu ruang yang berbeza seolah-olah di awang-awangan, atau elitis dan feudal, sedangkan yang bergerak di bumi nyata di Malaysia terbukti dan terakam dalam sejarah adalah berasaskan gerakan kerajaan pilihan orang ramai.

Ketiga, NUCC pada 2015 telah memperkenal konsep tiga serangkai dalam kefahaman terkini mengenai perpaduan, iaitu ‘perpaduan, kesepaduan, penyatupaduan’.

Sebelum ini sewaktu konsep perpaduan mula-mula diperkenal dalam buku Rancangan Malaysia Kedua 1971-75, konsep perpaduan adalah sebuah konsep yang berdiri tunggal, terkandung dan terhimpun dalamnya beberapa sub-konsep dan aktiviti seperti harmoni, muhibah, toleransi, asimilasi, akomodasi, kahwin campur, kegiatan jamu-jamu beramai-ramai (termasuk jamuan durian), pertandingan sukan dan selainnya.

Dalam kefahaman terkini mengenai perpaduan berdasarkan konsep tiga serangkai, dibuktikan melalui penyelidikan dan pembinaan Indeks Perpaduan Nasional 2018 (IPNas 2018) bahawa:

"...perpaduan (unity) terus diidamkan, kesepaduan (cohesion) yang dicapai dan penyatupaduan (reconciliation) terus diusahakan."

Kesepaduan adalah anak kunci kejayaan Malaysia untuk wujud terus menerus dalam keadaan aman (keselamatan), stabil (politik), makmur (ekonomi) dan sejahtera (kesihatan) kerana rakyat telah "bersetuju untuk bersetuju" dan "setuju untuk tidak bersetuju" dalam suasana "keamanan tanpa keganasan".

"Bersetuju untuk bersetuju" bermakna rakyat Malaysia tidak henti pinjam meminjam ciri-ciri budaya dari satu sama lain etnik (makanan, pakaian, muzik dan lain-lain), menggerak inisiatif akar umbi secara kolektif untuk untuk kepentingan keluarga dan komuniti (seperti street wedding di taman perumahan di seluruh negara), kerjasama membantu golongan warga emas dari segi kesihatan berdasarkan sesuatu perkampungan desa atau taman perumahan, gerakan NGO membantu komuniti tertentu dari segi pendidikan.

Berbagai lagi kegiatan akar umbi bebas campur tangan politik pemerintah telah dilaksanakan oleh rakyat pada peringkat akar umbi.

Ini diketepikan oleh pemerhatian Nazir Razak dan sekongkolnya yang bersifat pesimis lagi elitis mengenai keadaan rakyat Malaysia.

Apakah inisitif rakyat biasa ini dipandang rendah dan dipinggirkan dalam wacana beliau.

“Bersetuju tidak bersetuju” adalah tercapai berdasarkan fikiran waras rakyat Malaysia.

Terbentuknya Persekutuan Malaysia adalah berdasarkan kesepaduan bersifat sebegini.

Sabah mempunyai 20 perkara dan Sarawak 18 perkara yang masing-masing diputuskan untuk dikendalikan sendiri pada peringkat negeri.

Selainnya adalah ditangan kerajaan Pusat. Ini merupakan  contoh kesepaduan yang ikonik dalam konteks Malaysia.

Ertinya Nazir Razak dan sekongkolannya harus turun padang bersama rakyat dan mendapatkan maklum balas dalam menganjurkan idea majlis musyawarah beliau ini, bukan hanya melibatkan 55 warganegara Malaysia dan Raja-Raja Melayu.

Untuk pengetahuan beliau, pada 20 Mac 2020 kerajaan telah menubuhkan kembali Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang tersendiri, setelah 46 tahun dimansuhkan pada 1974.

Segala yang disarankan Nazir Razak, sebahagiannya telah dikemukakan oleh Menteri KPN di Parlimen.

Kononnya usaha beliau ini adalah untuk masa depan negara dan rakyat Malaysia dalam suatu sistem demokrasi yang stabil.

Sila bawa saranan ke Parlimen. Tetapi apakah erti demokrasi tanpa keterlibatan rakyat umum?