MALAYSIA
[KOLUMNIS] 68 tahun merdeka, 12 tahun lagi ke 80: Siapkah kita?
![[KOLUMNIS] 68 tahun merdeka, 12 tahun lagi ke 80: Siapkah kita? [KOLUMNIS] 68 tahun merdeka, 12 tahun lagi ke 80: Siapkah kita?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/81753011593_TBKLJEREBU.jpg)
Sejak 1957, Malaysia berjaya melangkah jauh, daripada ekonomi berasaskan getah dan bijih timah, kini muncul sebagai pemain perindustrian dan sedang menuju era digital. - Gambar hiasan
SELAMAT ulang tahun kemerdekaan ke-68 buat Malaysia tercinta.
Jika Malaysia seorang insan, pada usia 68 tahun hari ini kita sudah matang, tetapi masih mencari kemuncak kebijaksanaan. Panjang umur belum tentu bermakna sejahtera. Yang lebih penting ialah hidup sihat, aktif dan dihormati. Persoalannya: apabila tiba ulang tahun kemerdekaan ke-80 pada 2037, adakah Malaysia akan benar-benar makmur, atau sekadar tua tanpa kekuatan?
Sejak 1957, kita berjaya melangkah jauh. Daripada ekonomi berasaskan getah dan bijih timah, Malaysia kini muncul sebagai pemain perindustrian dan sedang menuju era digital. Kadar kemiskinan tegar jatuh daripada lebih 50 peratus pada awal merdeka kepada kurang 1 peratus hari ini. Pendidikan dan kesihatan awam berkembang pesat, jangka hayat rakyat meningkat ke lebih 75 tahun, dan kelas menengah menjadi tulang belakang negara.
Graf ini mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukan hanya soal tempoh masa, tetapi tentang keupayaan kita membina kematangan sebenar sebagai sebuah negara.Kini, kita berada di persimpangan penting: sama ada bergerak menuju fasa negara makmur yang berdaya tahan dan inklusif, atau sebaliknya berdepan risiko kemerosotan sekiranya langkah pembangunan tersasar.

Kitaran hidup kemerdekaan: Dari asas pembangunan ke negara makmur dan cabaran yang perlu dielakkan
Kita tidak boleh menutup mata terhadap cabaran. Pada usia “tua matang”, negara dan dunia dibadai pandemik COVID-19 yang mengugat kesihatan manusia dan ekonomi. Pandemik COVID-19 jelas menunjukkan kerapuhan pasak ekonomi negara.
Produktiviti masih banyak bergantung pada tenaga kerja murah. Jurang pendapatan dan kos sara hidup semakin menekan. Sistem pendidikan belum cukup melahirkan generasi yang bersedia menghadapi dunia kecerdasan buatan, teknologi hijau dan pekerjaan masa depan. Politik identiti dan isu tadbir urus pula sering memperlahankan langkah ke hadapan.
Apa maknanya Malaysia makmur pada usia 80? Pertama, rakyat hidup lebih lama dan sihat – jangka hayat 82 tahun, dengan 75 tahun daripadanya dalam keadaan sihat dan produktif. Kedua, ekonomi tidak lagi bergantung pada buruh murah, tetapi berasaskan inovasi, teknologi, dan industri hijau. Ketiga, jurang pendapatan mengecil, dan setiap pekerja – termasuk pekerja gig – mendapat perlindungan sosial yang adil.
Dari sudut perpaduan, Malaysia makmur bermakna kita benar-benar mengatasi politik kaum sempit. Identiti kebangsaan lebih kukuh, tanpa melanggar Perlembagaan dan Rukunegara serta kepelbagaian budaya. Tadbir urus pula lebih telus, cekap, dan stabil walaupun berlaku pertukaran kerajaan.
Dan jangan lupa, Malaysia makmur juga mesti Malaysia hijau. Bandar utama menuju status karbon sifar, ekonomi kitaran diamalkan, dan gaya hidup mesra alam menjadi kebiasaan.
Seperti manusia, usia 80 ialah masa untuk dinilai: apakah kita meninggalkan warisan yang membanggakan, atau sekadar menua tanpa daya? Malaysia menuju ulang tahun ke-80 dalam 12 tahun lagi. Masa masih ada, tetapi tidak panjang.
Saya tinggalkan dengan persoalan besarnya—apabila tiba 2037, adakah kita akan meraikan kemerdekaan ke-80 sebagai negara yang benar-benar maju dan makmur, atau sekadar bertahan dengan nostalgia masa lalu? Jawapannya bergantung pada keputusan dan keberanian kita hari ini.
Dasar jangka panjang sedia ada tidak mengariskan Malaysia 80+. Wujud kelompongan garis dasar yang perlu diisi.
* Penulis merupakan bekas Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau aktif mengikuti perkembangan ekonomi dan pasaran buruh di Malaysia melalui EU-ERA, THE FUTURE. ** Artikel ini adalah pandangan peribadi dan/atau berdasarkan bidang tugasnya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami