DALAM perjalanan ke Frankfurt, saya sempat membaca artikel Elizabeth McKenna di The New York Times, 7 Oktober 2026 bertajuk Bolsonaro Is Not Brazil’s Only Problem.
Tulisan itu mengajak kita melihat Brazil bukan sekadar melalui seorang tokoh bernama Jair Bolsonaro, tetapi melalui persoalan yang lebih besar: mengapa politik yang dianggap telah ditolak boleh kembali mendapat tempat dalam masyarakat?
Membaca Brazil tentunya mengingatkan saya kepada hubungan rapat Presiden Luiz Inácio Lula da Silva dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hubungan itu mempunyai dimensi strategik.
Anwar pernah menceritakan bagaimana Lula sendiri menggalakkan PETRONAS memperluaskan operasi di Brazil.
Dalam usaha Malaysia memperluaskan hubungan dengan BRICS pula, Brazil di bawah Lula adalah antara negara yang menyokong penyertaan Malaysia.
Bagi Malaysia, keterlibatan dengan BRICS membuka jaringan ekonomi tambahan tanpa meninggalkan hubungan tradisional dan kedudukan ASEAN sebagai teras dasar luar.
Tetapi persahabatan tidak menghalang kita belajar daripada pengalaman seorang sahabat.
McKenna, seorang sarjana yang lama mengkaji organisasi politik Brazil, membawa tesis menarik dalam penyelidikannya The Paradox of Participation: Organizing Authoritarianism in Democratic Brazil - masyarakat yang aktif tidak semestinya menghasilkan demokrasi yang lebih kukuh.
Penyertaan masyarakat boleh menguatkan demokrasi, tetapi organisasi sosial juga boleh menjadi tapak kepada politik yang eksklusif.
Sebab itu masalah Brazil lebih besar daripada Bolsonaro. Bolsonaro pernah menjadi Presiden Brazil, tetapi Bolsonarismo berkembang melampaui seorang individu.
Politik mempunyai kehidupan selepas pemimpin kerana ia hidup melalui keluarga, jaringan masyarakat, organisasi, identiti dan rasa kebersamaan.
Malaysia mempunyai ironi kita sendiri. Datuk Seri Najib Tun Razak telah disabitkan dalam kes SRC International. Namun dalam masyarakat kita masih wujud fenomena “Bossku.”
Mahkamah boleh mensabitkan seseorang. Tetapi mahkamah tidak boleh memerintahkan masyarakat supaya berhenti merinduinya.
Politik ternyata lebih rumit daripada keputusan mahkamah. Di sinilah saya melihat pelajaran paling penting daripada McKenna untuk Malaysia - Demokrasi mula kehilangan tapaknya apabila politik kemarahan lebih rajin turun ke bawah, lebih tekun mendengar dan lebih tersusun mengorganisasi rakyat daripada politik yang menjanjikan harapan.
Kerajaan MADANI mempunyai kira-kira 52 minggu yang sangat berharga untuk memastikan perkara itu tidak berlaku.
Jumaat ini, Anwar akan membentangkan Belanjawan 2027.
Menariknya, tema yang telah dipilih kerajaan ialah “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi.”
Barangkali tiga perkataan terakhir itulah yang paling penting sekarang: mengakar di bumi.
Kenyataan Pra-Belanjawan menunjukkan kerajaan mempunyai pencapaian yang boleh dikemukakan.
Pengangguran berada pada 2.9 peratus pada suku pertama 2026, gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,700 dan inflasi dicatatkan 1.9 peratus pada Jun 2026.
Tetapi kerajaan tidak boleh jatuh cinta kepada statistiknya sendiri. Angka makro yang baik tidak semestinya menjadi pengalaman mikro yang baik.
Seorang ibu tidak pergi ke pasar membawa angka inflasi.
Anak muda tidak membayar sewa rumah dengan statistik pelaburan.
Peniaga kecil tidak mengukur kehidupan melalui kedudukan Malaysia dalam indeks antarabangsa.
Mereka mengukur kerajaan melalui kehidupan. Sebab itu Belanjawan 2027 harus menjadi lebih daripada dokumen fiskal.
Kerajaan sendiri menetapkan bahawa ia mesti menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan, memperkukuh perlindungan sosial, pendidikan dan kesihatan serta memastikan setiap ringgit memberikan nilai kepada rakyat.
Anwar sendiri mengingatkan bahawa kemajuan negara tidak boleh sekadar kelihatan pada angka tetapi mesti benar-benar dirasakan rakyat.
Tetapi Belanjawan sahaja tidak mencukupi.
Baki 52 minggu mesti menjadi 52 minggu kembali ke bumi.
Menteri, Ahli Parlimen, ADUN, pimpinan politik dan agensi kerajaan mesti kembali ke warung, pasar, FELDA, kampung, flat, universiti dan tempat kerja. Bukan sekadar datang menerangkan dasar.
Datang untuk mendengar. Dan apabila rakyat mengadu, jangan sekadar mengambil gambar dan mencatat. Kembali dengan jawapan.
Kerajaan juga harus membezakan masalah komunikasi dengan masalah pelaksanaan.
Jangan setiap kali rakyat tidak berpuas hati kita mengatakan mereka tidak memahami dasar kerajaan. Mungkin rakyat sudah faham. Mereka cuma belum merasakannya.
Itulah sebab saya melihat Belanjawan 2027 bukan sekadar persoalan berapa banyak wang dibelanjakan.
Persoalannya ialah sama ada ia mampu mempertemukan kejayaan ekonomi negara dengan realiti kehidupan keluarga Malaysia.
Brazil mengingatkan kita bahawa demokrasi tidak boleh dipertahankan hanya dengan memberitahu rakyat siapa yang perlu mereka takuti. Demokrasi mesti memberikan sebab mengapa rakyat harus terus mempercayainya.
Baki 52 minggu ini, tiga soalan harus sentiasa ditanyakan:
Adakah rakyat merasakan kerajaan hadir?
Apabila rakyat bersuara, adakah kerajaan mendengar?
Dan selepas kerajaan mendengar, adakah kehidupan mereka berubah?
Belanjawan 2027 boleh menjadi permulaannya. Kerana kekosongan politik tidak pernah kekal kosong.
Apabila politik harapan meninggalkan ruang, politik kemarahan akan datang mengisinya.
- Shamsul Iskandar Mohd Akin ialah Pengerusi, Akademi Kepimpinan Masyarakat MADANI dan Felo Kenegaraan.
- Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.