TAHUN 2023 ditandai dan diingati dengan begitu banyak perang.

Jangan lupakan perang Rusia-Ukraine, walaupun Moscow hanya menganggapnya sebagai operasi khas ketenteraan. Sejak 2022, berlanjutan lagi sehingga 2023, perang atau operasi ketenteraan ini masih tidak menunjukkan tanda akan tamat dalam waktu terdekat walaupun kesannya - nyawa yang melayang begitu banyak di pihak Rusia dan Ukraine, rasa terdera yang sangat tidak ternilai, ekonomi global dan sosial.

Segarkan ingatan kepada  tarikh selepas 7 Oktober 2023, penindasan berdekad lamanya, ditambah kesengsaraannya dengan bedilan bom, tembakan dan segala macam penderaan, menghantar rasa kasihan cukup melimpah kepada Palestin, mengutus kebencian bukan kecil terhadap Zionis. Sehingga 2023 tutup tirainya juga, perang belum tamat, sengsara berpanjangan. Indeks benci kepada Zionis pamer aliran meningkat, tahap kasihan terhadap Palestin melimpah-ruah, sehingga pada satu tahap, benci yang bertukar boikot menjejaskan aliran ekonomi Israel.

Ada satu lagi perang berlaku di tahun 2023, tetapi seolah-olah terlupakan. Ia perang di Armenia-Azerbaijan, yang ada kaitan dengan Rusia, Israel dan Iran. Ia tentang berebutkan Nagorno-Karabakh. Ledakan bom, esak tangis, sasaran yang salah adalah rencam dalam perang, tidak terkecuali dalam perang yang satu ini. Ia juga bukan perang yang baharu, tetapi tidak juga menunjukkan akan tamat dalam tahun 2023. Ia tenggelam dalam timbulnya ribut bicara tentang di Palestin dan di Ukraine.

Pada setiap kali berlakunya perang besar seperti di Ukraine, Gaza dan berebutkan Nagarno-Karabakh, ia pasti menjanjikan berita dan analisis. Apatah lagi yang berkisar kuasa besar, kalau tidak Amerika Syarikat dan sekutu Israel, ia  pasti membabitkan Rusia atau China.

Dalam kebanyakan perang, analisis atau buku yang diterbitkan sudah tentu ada perspektif sendiri. Itulah fungsinya buku - menerangkan apa yang tidak jelas, tetapi pada masa sama mencerahkan pandangan serta pemikiran penulis tentang isu dikupas.

Pertimbangkan ini. Tidak semua sepakat dengan hujah Presiden Rusia, Vladimir Putin mewajarkan tindakannya semasa hari pertama tentera Moscow memasuki Ukraine. Walau atas alasan memelihara kedaulatan sekali pun, terdapat analisis yang melihatnya dari sisi lain, iaitu tentang perbalahan untuk terus berkuasa. Namun, ada juga yang menyokong Putin tetapi marahkan Ukraine dan pihak yang di belakangnya (tidak lain Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Amerika Syarikat) kerana apa yang berlaku pada 24 Februari 2022. Marah dan sokongan itu mewarnai sebahagian besar dada akhbar dan helaian buku. Tidak kurang, artikel-artikel di dalam The Economist, khususnya, hampir setiap minggu sejak Februari 2022 sehingga menjelang setahun dan dua tahun perang, terdapat banyak sekali diskusi tentang isu melibatkan Rusia-Ukraine.

Buku antaranya, dengan tema seputar peribadi Putin itu sendiri begitu banyak lahir sebelum dan selepas perang berlaku. "The New Tsar: The Rise and Reign of Vladimir Putin" (2015) tulisan Steven Lee Myers misalnya, menjadi popular selepas Moscow menceroboh Ukraine. Antara lain, kerana ia menyuntik semula kefahaman untuk mencantum idea kenapa perang boleh berlaku. Buku ini, di dalam bab sejarah kehidupan Putin, penulisnya mengagumi evolusi yang berlaku, dari hari pertama pemimpin itu memasuki orbit perisikan KGB sehingga menjadi pemimpin dominan di radar global, juga ditakuti oleh Amerika Syarikat. Pada masa sama, buku ini juga menyentuh mengenai kontroversi dicetuskan Putin sehingga menumbuhkan rasa "tidak senang" terhadapnya.



Buku yang lahir selepas perang di Ukraine, "Mr. Putin: Operative in the Kremlin" (2023) ditulis Clifford G. Gaddy, Fiona Hill bagaimanapun, banyak mengagumi Presiden, yang juga pernah menjadi Perdana Menteri Rusia ini. Dengan begitu banyak kekaguman penulis, ke atas Putin dalam bukunya ini, ia mendapat ulasan tidak sahaja daripada penyokong di Amerika tetapi juga di Rusia. Kepada The Russian Review misalnya, ia mengulas, "Buku ini mempersembahkan kronologi yang panjang di dalam kerja yang ringkas, tetapi signifikan, dengan melihat kepada fasa konfrontasi antara Rusia dan Ukraine." Manakala seorang profesor yang mengajar mengenai Rusia di Universiti Oxford, Roy Allison, pula menyifatkan buku "Mr. Putin: Operative in the Kremlin" sebagai kajian yang menarik, terperinci dan menegakkan hujahan yang mantap apabila Putin memutuskan untuk menarik bersama Ukraine ke dalam kancah perang. Ia memuji Putin yang tidak berganjak dengan pendirian serta agenda memastikan keselamatan wilayah bekas Soviet terpelihara.

Begitu juga, banyak lagi buku-buku ditulis dan dihasilkan bagi memperluaskan kefahaman tentang senario yang berlaku, tetapi pada masa sama bertujuan menyuntik rasa kagum atau benci kepada subjek yang menjadi topik diskusi. Sekadar memberi beberapa contoh, "Putin's Kleptocracy: Who Owns Russia?" oleh Karen Dawisha; dua buku tulisan Timothy Snyder iaitu "Bloodlands: Europe Between Hitler and Stalin" dan "The Road to Unfreedom: Russia, Europe, America"  serta "Winter Is Coming: Why Vladimir Putin and the Enemies of the Free World Must Be Stopped" oleh Garry Kasparov. Kesemua buku ini, membedah bagaimana tindakan Rusia memberi kesan kepada hal ehwal antarabangsa, tanpa terkecuali konflik di Ukraine.

Melihat kepada perang di Gaza yang semakin marak sekarang dengan menghampiri 90 hari usianya, dengan imej kehilangan nyawa tidak berdosa, tangisan anak hilang pelita hidup, wanita sarat hamil minta diselamat zuriat penyambung generasi dalam kelumpuhan sistem operasi hospital, sudah tentu yang dibenci ialah Israel dan Amerika Syarikat. Ia bukannya baharu, kerana penindasan ke atas Palestin oleh Zionis Israel ini berlanjutan sejak sekian lama. Sudah tentu, dalam rentang masa yang panjang itu, banyak analisis dan tulisan tertumpah ke atas naskhah yang dibukukan.



Ambil sahaja contoh lima karya Ilan Pappe, seorang sejarawan Israel yang lantang mengkritik sejarah Palestin-Israel. Lima karya itu, "Ten Myth about Israel" (2017); "The Biggest Prison on Earth : A History of Occupied Territories" (2017); "The Ethnic Cleansing of Palestine" (2006) ;  "A History of Modern Palestine : One Land, Two Peoples" (2004) dan "Gaza in Crisis" ditulis bersama Noam Chomsky. Pappe, juga seorang ahli politik, tidak disenangi dalam kalangan Israel sendiri apabila memercikkan kritikan, mencurahkan rasa marahnya dalam buku-buku dihasilkannya. Sejak awal, Pappe konsisten mengkritik keras peristiwa-peristiwa yang membawa kepada penubuhan Israel pada 1948 seterusnya membawa pengusiran Palestin daripada tanah airnya sendiri.

Sepanjang perang ke atas Palestin, barangkali perang paling panjang dalam sejarah tamadun dunia, 70 tahun usianya, terdapat juga tulisan daripada wartawan yang membuat liputan perang turut dibukukan. Ini termasuk "Our Women on the Ground: Essays by Arab Women Reporting from the Arab World" (2019), disunting Zahra Hankir. Walaupun tajuknya dunia Arab, yang menyaksikan banyak perang - Perang Teluk, Perang Syria, dan perang di Yaman, ia juga tidak memisahkan liputan perang di Palestin.

Tidak sahaja penulis Israel seperti Pappe yang membukukan kekaguman dengan perjuangan Palestin, tetapi pejuang-pejuang Palestin turut memasuki senarai diangkat ke naskhah. Hamas misalnya, kumpulan pejuang yang banyak menerima pujian dan kritikan kerana memastikan perang ke atas Palestin dilawan dengan sedaya kerahan, sekali pun serba-serbi tiada. Justeru, buku mengenai Hamas dan tokohnya banyak dihasilkan sejak kewujudan Palestin. Perlu diingatkan, tulisan mengagumi dan membenci Hamas banyak diterbitkan selepas perang ke atas Gaza, pasca 7 Oktober 2023, apabila operasi Taufan Al-Aqsa digerakkan oleh Hamas.

Naratif analisis dan liputan itu antara lain cuba memperlihatkan sisi keganasan Hamas yang bertindak menyerang dan Israel perlu mempertahankan diri. Naratif berat sebelah ini tergambar dalam analisis misalnya di Wall Street Journal, The Diplomat, Financial Times, malah Al-Jazeera dan Arab Center Washington DC. Dengan tajuk seperti, "Analysis: Is Hamas a more sophisticated force than Israel  imagined?"(Al-Jazeera); "Hamas Doctrine" (Wilson Center); "The troubling analogies surrounding the new Israel-Hamas war" tulisan Ishaan Tharoor di The Washington Post dan ‘The enemy teaches us how to operate’: Palestinian Hamas use of open source intelligence (OSINT) in its intelligence warfare against Israel" (Taylor & Francis Online).



Tetapi, ada satu buku yang mengajak pembaca untuk mengagumi Palestin, orang Palestin, perjuangan Palestin dan Hamas itu sendiri. Buku "Syeikh Ahmad Yassin, Bapa Intifadah Palestin" (2004) tulisan Maszlee Malik ini memperincikan kekaguman kepada pemimpin Hamas, Syeikh Ahmad Yassin, yang sanggup berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Syeikh Ahmad Yassin mati dibunuh oleh Zionis pada Mac 2004 selepas beliau selesai solat Subuh. Hamas tidak mati selepas tiadanya Syeikh Ahmad Yassin di dunia ini, sebaliknya semangat beliau yang lumpuh terus menyerap ke dalam sanubari anak-anak muda Palestin untuk terus bangkit menentang kezaliman Zionis merampas tanah air mereka sendiri. Semangat itu mengumpulkan kepintaran strategi sehingga menyebabkan Hamas berjaya menembusi kekebalan perisikan canggih Israel yang membawa kepada Taufan Al-Aqsa.

Apabila berlaku di mana senario konflik Palestin masih tidak dapat diselesaikan, dengan dolak-dalik Amerika Syarikat, ditambah kekejaman Israel terus memilih untuk berperang, ia menjadikan lebih ramai tidak menyukai Amerika dan Israel, sebaliknya mengasihani Palestin. Ia seperti buku "The Israel Lobby and U.S. Foreign Policy" oleh John J. Mearsheimer dan Stephen M. Walt di mana kedua-duanya menganalisis dan mengkritik politik Israel yang menjadi pemula kepada sejarah panjang penindasan serta kezaliman ke atas Palestin. 

Ia sebenarnya menghantar isyarat dalam menjawab buku "Why Do People Hate America" tulisan Ziauddin Sardar dan Merryl Wyn Davies, dihasilkan pada 2003. Ia adalah buku merujuk kepada perang di Iraq dan tindakan Amerika Syarikat untuk memutuskan perang. Ia menggariskan bagaimana Amerika yang melaungkan perlunya hak asasi ditegakkan, tetapi ia sendiri mencabulinya; bagaimana ia mahu perang melawan keganasan dijayakan, sedangkan ia sendiri memulakan; bagaimana ia mendakwa menyokong keamanan, tetapi ia sendiri veto gencatan senjata, memakan diri sendiri apabila tindakan ini semua menyebabkan Amerika dibenci rakyatnya sendiri.

Jika perang berpanjangan, kalau campur tangan berterusan, andai persahabatan dengan Israel diagungkan, tidak mustahil Amerika Syarikat dan Zionis terus dibenci rakyatnya, dan lebih malang, ditolak penduduk dunia global yang mencintai keamanan.



* Azlinariah Abdullah ialah Editor Astro AWANI dan penulis buku Pengembara Tanpa Pasport.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.