MALAYSIA

[KOLUMNIS] Dasar Industri Pertahanan Perkasa Kedaulatan Negara

Kolumnis AWANI 22/01/2026 | 02:00 MYT
Dasar Industri Pertahanan Negara yang dilancarkan pada 21 Jan merupakan langkah baharu bagi memperkukuh keselamatan negara dan memulihkan keyakinan terhadap sektor pertahanan.
PELUNCURAN Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) menandakan bermulanya satu era baharu dalam sejarah negara. Buat pertama kalinya sejak merdeka, Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) melalui Bahagian Industri Pertahanan (BIP) telah melancarkan satu dokumen yang boleh dianggap sebagai bersifat ‘revolusioner’ dalam sektor pertahanan dan ketenteraan kita. Setelah sekian lama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergantung pada sistem dan aset ketenteraan dari luar negara khususnya kuasa-kuasa besar, kini MINDEF telah menetapkan satu hala tuju berani dalam menebus kembali kedaulatan negara dalam aspek ini.

Secara statistiknya, hampir 90% daripada sistem dan aset ketenteraan ATM pada hari ini adalah dibina dan dibekalkan oleh syarikat pengeluar asal (OEM) dari negara-negara kuasa besar. Sebagai contoh, Tentera Darat Malaysia telah mengoperasikan aset-aset utama yang kebanyakannya diimport dari satu negara iaitu Poland. Antaranya ialah kereta kebal PT-91M keluaran Bumar Labedy, kereta kebal latihan SJ-09, kenderaan WZT-4 armoured recovery vehicle, MID-M Armoured engineering tank, PMC Leguan armoured vehicle launched bridge, dan juga FlyEye Tactical unmanned aerial vehicle. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula mengoperasikan pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM dari Rusia, F/A-18 dari Amerika Syarikat, BAE Hawk buatan United Kingdom, dan kini sedang menantikan ketibaan pesawat FA-50 dari Korean Aerospace Industries (KAI) buatan Korea. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula mengoperasikan kapal Littoral Mission Ship (LMS) buatan China dan juga kapal selam buatan Scorpene dari Perancis.
Realiti geopolitik kontemporari memberi satu pengajaran yang cukup kritikal kepada negara-negara bukan kuasa besar seperti Malaysia. Kebergantungan yang melampau kepada aset pertahanan kuasa besar kini boleh dianggap sebagai risiko bom jangka yang boleh menjejaskan kedaulatan negara-negara bukan kuasa besar. Contohnya seperti Ukraine yang berhadapan dengan operasi ketenteraan khas Rusia sejak 2022. Kebergantungan kepada aset-aset buatan Rusia pasca runtuhnya Kesatuan Soviet menyaksikan wilayah Donbas dan Timur Ukraine hari ini seperti Donetsk, Luhanks, Khersone, dan Zaporizhia telah jatuh ke tangan Rusia. Begitu juga sebaliknya nasib yang menimba Bashar al-Assad di Syria; akibat kebergantungan kepada Moscow, perubahan rejim di Damsyik telah berlaku dengan begitu pantas. Nasib yang serupa turut dialami Nicholas Maduro iaitu Presiden Venezuela yang terlalu bergantung pada aset buatan asing seperti radar dan sistem pertahanan udara dari China serta Rusia yang akhirnya telah ditangkap oleh pasukan khas Delta Amerika Syarikat.

Takdir yang menimpa Ukraine, Syria, dan Venezuela ini sebaliknya tidak menimpa negara-negara anti-Barat yang lain seperti Iran dan Korea Utara. Tentu sekali, Iran dan Korea Utara turut mengoperasikan aset-aset ketenteraan buatan Rusia dan China, tetapi kadar kebergantungan mereka kepada kedua-dua Moscow dan Beijing tidak terlalu tinggi. Malah, dalam kes Iran, Tehran pula yang membekalkan dron Shahed mereka kepada Rusia yang dijenamakan sebagai Geran serta digunakan dalam serangan ke atas Ukraine. Begitu juga dengan Korea Utara yang kini giat membangunkan kapal selam, kapal perang permukaan, peluru berpandu balistik, dan juga peluru berpandu hipersonik yang tersendiri.


Begitu juga dengan negara-negara sekutu Barat seperti Israel, Taiwan, Korea Selatan, dan Singapura. Israel, meskipun dibantu saban tahun dengan peruntukan berbilion dollar dari Amerika Syarikat, namun tetap agresif membina industri pertahanan tempatan seperti Elbit dan IAI. Taiwan kini sedang pesat membangunkan kapal selam buatan tempatan. Korea Selatan pula bukan sahaja kini merupakan pengeluar kapal terbesar dunia melalui Hyundai Rotem, tetapi juga sedang agresif membangunkan pesawat tempur KF-21 Boramae yang tersendiri. Begitu juga Singapura melalui ST Engineering aktif membangunkan produk seperti Blue Spear bersama Israel.

Sudah tentu, adanya kebimbangan dalam kalangan pemerhati ketenteraan tentang rekod buruk beberapa industri pertahanan negara sebelum peluncuran DIPN ini. Antara perkhidmatan yang paling terjejas tentulah TLDM melalui dua episod hitam iaitu New Generation Patrol Vessel (NGPV) buatan PSC (kemudiannya diambilalih Boustead Naval Shipyard) dan juga Littoral Combat Ship (LCS) buatan Boustead Naval Shipyard (kini distruktur kembali sebagai Lumut Naval Shipyard LUNAS dan dipindahmilik ke bawah Kementerian Kewangan). Dalam kes NGPV, TLDM yang pada asalnya merancang untuk mengoperasikan armada sebesar 27 platform NGPV tersebut hanya menerima enam unit sahaja. Nasib yang lebih malang menimpa projek LCS di mana meskipun lebih RM6 bilion telah dibelanjakan sejak 2013, masih tiada satu unit kapal pun yang telah diserah kepada TLDM.

Namun, kesemua pengajaran ini jelas diambilkira dalam pembangunan DIPN oleh BIP. Hal ini dibuktikan melalui Fokus Strategik Pertama DIPN iaitu ‘Memperkukuh Tadbir Urus’ di mana ‘mekanisme pemantauan dan audit serta mempertingkat pengawasan pengawalseliaan’ kini menjadi aspek kritikal yang diberi penekanan khusus. DIPN turut menjadi dokumen rasmi yang mewajibkan Perjanjian Pemindahan Teknologi di bawah Industrial Collaboration Program (ICP). Seiring dengan pengumuman YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini sebarang aktiviti penyelenggaraan, pembaikan, dan pembaikan menyeluruh (MRO) 100% perlu dilakukan oleh industri pertahanan tempatan. Begitu juga dengan sebarang perolehan MINDEF kini mewajibkan 30% kandungan tempatan. Jelas, DIPN mampu membina ekosistem industri pertahanan yang lestari untuk jangka masa panjang sekali gus menjamin kedaulatan pertahanan negara.



* Penulis ialah Dr Abdul Muein Abadi, Pensyarah Pengajian Pertahanan Universiti Kebangsaan Malaysia-Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (UKM-MPAT)

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.






#Dasar Industri Pertahanan Negara #geopolitik #pertahanan #tentera