SAYA berpeluang menyertai delegasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam siri lawatan kerjanya ke United Kingdom pada 16 sehingga 22 Mei. Ini kali pertama saya bersama beliau untuk misi antarabangsa selaku Menteri Pendidikan Tinggi.

Program yang sangat padat, setiap hari bermula pukul 8 pagi sehingga 11 malam. Waktu Subuh awal di London, sekitar 3.40 pagi. Rutin tidak rasmi kami bermula pada pukul 6 pagi.

Setiap hari, bersama Zambry, kami berjoging dan bersenam sekitar satu jam sebelum sarapan dan memastikan cukup stamina fizikal selain menyokong stamina minda.

Zambry menghadiri dua persidangan antarabangsa, Conference of Commonwealth Education Ministers (CCEM) dan The Education World Forum (EWF). Pada hemat saya, antara persidangan antarabangsa yang mesti dihadiri oleh menteri yang berkenaan.

Untuk kali ini, KPT mewakili Malaysia. Tarikh persidangan bertindih dengan beberapa acara sambutan Hari Guru. KPM dan KSU KPM turut hadir bersama semasa CCEM. Koordinasi yang baik dan amat penting antara KPM dan KPT.

Menteri-Menteri Pendidikan dunia dan pelbagai agensi antarabangsa, awam dan swasta berkaitan pendidikan berhimpun di kota London untuk dua acara besar ini, berkongsi pandangan, pengalaman, cabaran dan inisiatif terkini demi kebaikan sejagat.

Menteri dijemput membuat pembentangan pada kedua-dua persidangan. Menyampaikan mesej Malaysia dengan fakta terkini. Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Azlinda Azman dan saya selaku Penasihat Pendidikan Tinggi mengikuti persidangan dengan rapi, bersedia menyalur maklumat mengukuhkan intervensi Menteri.

Pengarah Education Malaysia (EM) di London dan pegawai Menteri memastikan penjadualan dan urusan logistik lancar dan teratur bagi memastikan jadual dipenuhi dengan optimum. Ketua Pegawai Eksekutif MQA dan EMGS turut serta menjayakan mesyuarat yang diatur. Semua melaksanakan tugas dengan penuh komitmen. Tahniah!




Spontan

Saya bangga melihat Menteri menyampai pembentangan dan mengolah intervensinya secara spontan. Hebat anak Pangkor ini. Asalnya anak nelayan, dibesarkan dalam kesenjangan di pulau yang dahulunya serba kekurangan.

Tidak dapat dinafikan kejayaan Malaysia membangunkan sistem pendidikan negara membawa Zambry ke tahap ini. Bermula dengan hanya ‘Yes, No, Thank you’, anak Pangkor, graduan sulung UIAM ini, kini menerajui KPT. Tangkas di medan antarabangsa. Memartabat pendidikan tinggi negara di persada antarabangsa.

Di CCEM, Zambry berkongsi inisiatif Malaysia mengukuh dan menerapkan pendigitilan pendidikan dan kecerdasan pintar (AI) di Malaysia sementara di EWF, Zambry  dijemput berkongsi pendekatan Malaysia menyusun keutamaan dan strategi, merancang dan melaksana serta menyediakan bajet pendidikan.

Malaysia memperuntukkan hampir 20 peratus daripada belanjawan tahunan untuk sektor pendidikan (KPM dan KPT) iaitu hampir RM75 bilion. Pendidikan sentiasa mendapat keutamaan dalam belanjawan.

Gerak kerja KPT berasaskan Amanat Menteri 2024 di awal tahun menarik perhatian perwakilan. Lima fokus KPT kini menjadi landasan kepada semua universiti awam, libat urus KPT-Universiti telah diadakan, tindakan strategik telah dikenal pasti dan satu ‘dashboard’ telah dibangunkan bagi memastikan KPT dapat memantau pelaksanaan dan progres yang dicapai. Keberhasilan menjadi keutamaan. Sewajarnya dijadikan contoh untuk semua.

Pengerusi sidang menjemput perwakilan untuk melawat Malaysia bagi mengetahui dengan lebih terperinci ‘cara KPT’ ini.




Pertemuan

Sepanjang persidangan, Zambry turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat daripada beberapa buah negara. Malaysia adalah harapan dan contoh bagi negara-negara membangun. Benar, kita ada cabaran tersendiri. Namun, pengalaman kita ‘memanjat tangga pembangunan’ amat bernilai untuk mereka.

Zambry turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Jepun, sekumpulan pemimpin universiti-universiti di UK dan juga Microsoft. Negara maju mengikuti perkembangan terkini di Malaysia. Saya berbangga, Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa.

Saya yakin, masyarakat antarabangsa mengikuti rapat perkembangan kita. Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengangkat nama negara melalui pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dunia dan tokoh-tokoh korporat antarabangsa serta pelancaran pelbagai inisiatif sentiasa mendapat perhatian.

Perbincangan mengenai kecerdasan pintar (AI) dalam pendidikan adalah antara topik utama di kedua-dua persidangan. Zambry berkongsi inisiatif AI Malaysia, peluncuran penubuhan Fakulti AI dan jaringan kepakaran AI (Malaysian AI Nexus) oleh Anwar sekitar dua minggu yang lalu mendapat perhatian. Kita di landasan yang betul. Mesti dipastikan kejayaannya.

Saya mengajak semua untuk turut menyumbang mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Anak Pangkor kini adalah nakhoda KPT. Perjalanan hidupnya pastinya menjadi asas penting dan dorongan utama beliau menjayakan pendidikan tinggi negara.

Saya dan keseluruhan warga KPT akan terus berusaha memberi yang terbaik. Kejayaan pendidikan yang mutlak mesti dirasai oleh semua rakyat Malaysia. Jauh dari sekadar hanya memenuhi petunjuk prestasi (KPI) diri dan institusi masing-masing. Pendidikan adalah kunci utama pembangunan insan. 

Kita semua ada peranan menjayakan negara kita.



* Noor Azlan Ghazali adalah Penasihat Pendidikan Tinggi kepada Menteri Pendidikan Tinggi

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.