BAGAIMANA Pelajar Program Asasi UiTM Menggunakan ChatGPT, Gemini dan Pelbagai Platform AI Lain
Dalam satu kajian yang melibatkan 407 orang pelajar Program Asasi UiTM, penggunaan platform kecerdasan buatan (AI) didapati telah menjadi sebahagian daripada alat bantuan pembelajaran harian mereka. Pelajar menggunakan pelbagai platform AI untuk memahamkam topik yang dipelajari dengan mendalam dan bukannya untuk meniru. Namun begitu, kebanyakan mereka mempelajari cara menggunakan AI sendiri. Sebahagian besarnya menggunakan AI tanpa bimbingan pensyarah, dan majoriti berpendapat bahawa pihak universiti masih belum menyesuaikan sesi pengajaran dengan perkembangan tersebut.
Apabila ditanya kepada pelajar-pelajar Asasi UiTM apakah yang terdapat dalam komputer riba mereka ketika belajar, kebanyakannya akan menjawab, "ChatGPT". Kajian yang melibatkan 407 orang pelajar daripada program Asasi Sains, Asasi Kejuruteraan, Asasi Undang-Undang dan Asasi TESL mendapati bahawa platform AI bukan lagi sesuatu yang asing di kampus. Sebaliknya, ia telah menjadi satu kebiasaan. 86% responden menggunakan platform AI untuk kerja akademik beberapa kali seminggu atau lebih manakala satu pertiga menggunakannya setiap hari.
Bagi para pensyarah, persoalan yang lebih utama bukanlah sama ada pelajar menggunakan AI ataupun tidak. Namun, persoalannya adalah untuk apa mereka menggunakan AI, dari mana mereka mempelajari cara menggunakannya, dan apakah perkara yang sebenarnya mereka risaukan. Jawapan daripada kajian ini terhadap ketiga-tiga persoalan tersebut memberikan gambaran yang berguna, iaitu tentang tingkah laku pelajar yang mungkin sukar dilihat dalam dewan kuliah.
Apa yang Pelajar Lakukan dengan Platform AI
Sebanyak 95% pelajar menyatakan bahawa mereka menggunakan platform AI untuk membantu menerangkan konsep atau topik yang sukar. Ini merupakan penggunaan paling popular, jauh mengatasi penggunaan AI untuk mencetuskan idea bagi tugasan (69%), menyemak tatabahasa atau menulis semula ayat (63%), serta menyelesaikan masalah Matematik atau Sains (62%). Aktiviti-aktiviti lain seperti meringkaskan nota dan menjana soalan kuiz latihan pula kurang mendapat perhatian.
Subjek yang paling banyak mendorong penggunaan AI ialah kursus berasaskan STEM. Fizik, Kimia dan Matematik mendominasi senarai subjek yang paling banyak menggunakan AI. Keadaan ini selari dengan komposisi program responden, apabila Asasi Kejuruteraan (39%) dan Asasi Sains (35%) secara bersama merangkumi hampir tiga perempat daripada keseluruhan responden.
Selain itu, pelajar juga lebih mudah untuk berkongsi ilmu yang mereka peroleh. Sebanyak 93% menyatakan bahawa AI membantu mereka memahami topik dengan lebih baik, manakala 72% mengatakan bahawa AI sangat membantu mereka terutamanya ketika pensyarah tidak dapat dihubungi. Lebih daripada separuh pelajar turut menyatakan bahawa AI mendedahkan mereka kepada ilmu pengetahuan yang di luar daripada apa yang dipelajari di dalam kelas.
Pelajar Belajar Sendiri Tanpa Bantuan Pensyarah
Inilah angka yang sepatutnya membuatkan para pendidik berhenti sejenak dan berfikir. 71% pelajar menyatakan bahawa mereka mempelajari cara menggunakan AI sepenuhnya sendiri, dengan meneroka dan mencuba sendiri. Sebanyak 15% mempelajarinya melalui media sosial, manakala 13% belajar daripada rakan atau rakan sekelas. Hanya 1% mengatakan bahawa mereka mempelajari cara menggunakan AI daripada pensyarah atau melalui kelas formal.
Dengan kata lain, kemahiran yang dianggap oleh pelajar sebagai sangat bernilai dalam pembelajaran mereka ialah kemahiran yang hampir tidak pernah diajar oleh pihak universiti. Jurang ini penting kerana ia bermakna pelajar membentuk sendiri tabiat dan norma mereka tentang apa yang dianggap sebagai "penggunaan yang sesuai" mengikut subjek, sebahagian besarnya melalui proses mencuba dan membuat silap.
Kebimbangan Utama
Kebimbangan utama yang dinyatakan oleh pelajar sendiri sebenarnya hampir sama dengan kebimbangan yang sering dibincangkan oleh para pensyarah. 83% bimbang AI boleh memberikan maklumat yang salah atau mengelirukan, 76% bimbang menjadi terlalu bergantung kepadanya, manakala 65% bimbang bahawa AI mungkin menghalang perkembangan kemahiran menulis dan pemikiran kritis mereka sendiri.
Kesedaran tersebut turut dapat dilihat melalui cara mereka merancang untuk menggunakan AI pada masa akan datang. Apabila ditanya tentang perancangan mereka bagi pengajian akan datang, 55% menyatakan bahawa mereka bercadang untuk menggunakan AI dengan lebih berhemah. Mereka menyatakan bahawa AI akan digunakan sebagai sokongan pembelajaran dan bukannya sebagai jalan pintas.
Bimbingan Tanggungjawab Kita
Di sinilah kajian ini beralih daripada cerita tentang pelajar kepada cerita tentang institusi.
Sebanyak 71% pelajar agak bimbang bahawa penggunaan AI mungkin dianggap sebagai satu bentuk penipuan akademik. Namun begitu, hanya 24% menyatakan bahawa semua pensyarah mereka telah memberikan peraturan yang jelas tentang penggunaan AI di dalam kelas. Sebanyak 67% mengatakan bahawa hanya sebahagian pensyarah yang telah menetapkan jangkaan peratusan (%) penggunaan AI, manakala 9% menyatakan bahawa tiada pensyarah yang berbuat demikian.
Dalam keadaan yang tidak jelas ini, 80% pelajar bersetuju atau sangat bersetuju bahawa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu menyediakan garis panduan yang lebih jelas tentang penggunaan AI. Pada masa yang sama, kira-kira separuh daripada mereka melaporkan bahawa mereka berasa sedikit risau tentang apa yang boleh diterima dalam tugasan mereka.
Apa Maknanya untuk Semester Akan Datang
Kesimpulannya, pelajar telah pun mengadaptasi AI sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka. Majoriti menggunakan AI sebagai alat sokongan untuk membantu pembelajaran, bukannya sebagai jalan pintas untuk melakukan penipuan akademik. Namun, kebanyakan mereka membentuk cara dan tabiat penggunaan AI secara kendiri, tanpa bimbingan formal. Apa yang mereka perlukan bukanlah sekadar kebenaran untuk menggunakan AI, tetapi panduan yang jelas tentang cara AI boleh digunakan secara betul, beretika dan bertanggungjawab dalam pembelajaran.
Bagi ketua program dan para pensyarah, perkara yang boleh dilakukan adalah jelas, iaitu berikan garis panduan bertulis tentang penggunaan AI mengikut kursus. Pensyarah perlu menerangkan perkara yang dibenarkan, perkara yang tidak dibenarkan, dan sebab di sebaliknya. Maklumat tersebut perlu disampaikan dengan cara yang sama seperti rubrik penilaian, dan bukannya diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara setiap pensyarah.
Memandangkan permintaan terhadap AI sangat tinggi dalam bidang STEM, kursus seperti Fizik, Kimia dan Matematik adalah merupakan kursus yang paling sesuai untuk memulakan langkah ini.
Pelajar telah pun mengatakan bahawa AI merupakan sebahagian daripada cara mereka belajar. Persoalan terbuka yang ditinggalkan oleh kajian ini untuk IPT ialah sama ada berikan bimbingan kepada pelajar atau ia akan menjadi sesuatu yang kita tidak jangkakan.
- Penulis ialah Norzaidah Md Noh, Dr Zakiah Noh dan Ts Dr Zaid Mujaiyid Putra Ahmad Baidowi yang merupakan para penyelidik yang terdiri daripada Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Kampus Dengkil.
- Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.