PEMERGIAN mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah yang telah kembali ke Rahmatullah baru-baru ini masih dirasai oleh segenap masyarakat di negara.

Legasi dan sumbangan Pak Lah sentiasa dikenang dalam pelbagai aspek termasuk soal pembangunan modal insan di peringkat pendidikan tinggi.

Selain mempelopori gagasan Islam Hadhari seperti yang banyak diperkatakan, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Pak Lah sebenarnya telah meninggalkan legasi yang besar dalam pemerkasaan mahasiswa, iaitu dengan memupuk kepemimpinan bakat muda atau mahasiswa di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Jauh sebelum daripada pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 2012 apabila menjamin kebebasan berpolitik pelajar di luar kampus, pindaan 2019 yang membenarkan kebebasan berpolitik pelajar dalam dan di luar kampus serta pindaan 2023 yang membenarkan pelajar menguruskan kewangan, Pak Lah telah meletakkan asas yang kukuh dalam pemerkasaan mahasiswa, khususnya meletakkan gerakan mahasiswa dalam konteks hubungan mereka dengan kerajaan lebih baik.

Sepertimana yang kita sedia maklum, gerakan mahasiswa mempunyai sejarah yang panjang dan tegang apabila berhadapan dengan pihak kerajaan.

Pada dekad 60 dan 70-an, gerakan mahasiswa sentiasa memilih jalan konfrontasi dalam menzahirkan suara perjuangan mereka.

Hal ini berlarutan sehingga era reformasi yang memperlihatkan tuntutan gerakan mahasiswa dalam soal demokrasi dan hak asasi manusia secara lantang.

Apabila Pak Lah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1999, beliau mempunyai tugas yang amat berat dalam mengurus impak krisis politik khususnya kepada anak muda.

Beliau berperanan bukan sekadar menjadi orang nombor dua negara, tetapi perlu memberi perhatian kepada golongan anak muda khususnya pemimpin mahasiswa di IPT agar kembali menyokong kerajaan pada ketika itu.

Tulisan ini cuba menjelaskan sumbangan dan naratif baharu yang telah diperkenalkan oleh Pak Lah dalam memperkasa kepemimpinan dan gerakan mahasiswa melalui lima perkara penting.

Pertama, memperbaiki hubungan kerajaan dengan mahasiswa yang sebelumnya agak tegang lebih-lebih lagi belum ada suatu kebebasan berpolitik dan bersuara yang jelas seperti dijamin dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada ketika itu.

Kedua, mengangkat kedudukan mahasiswa sebagai rakan pembangunan negara. Pak Lah sedar bahawa para mahasiswa perlu disantuni kerana mereka juga merupakan pihak yang penting dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Malah, mahasiswa yang berada di kampus inilah yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang.

Ketiga, mengubah pendekatan konfrantasi kepada membuka ruang diplomasi dan perbincangan antara kerajaan dengan mahasiswa bagi anak muda menjayakan kebebasan bersuara mereka.

Pak Lah percaya, banyak perkara boleh diselesaikan melalui meja rundingan berbanding melalui demonstrasi seperti amalan sebelumnya.

Keempat, menubuhkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sebagai suatu platform kepada kepemimpinan mahasiswa di IPT menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan secara rasmi.

Selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Pak Lah sendiri mempengerusikan sesi MPPK dan mendengar buah fikiran dan idea anak-anak muda secara langsung.

Kelima, melarang label yang diberikan kepada gerakan mahasiswa seperti prokerajaan dan propembangkang kerana ia akan lebih memecah-belahkan kesatuan mahasiswa.

Dalam hal ini, Pak Lah pernah menegur pihak media khususnya yang suka melabelkan gerakan mahasiswa dengan kumpulan-kumpulan tertentu dalam penulisan berita mereka.

Menurut Pak Lah, label-melabel ini suatu amalan yang tidak sihat kerana mahasiswa yang kritis kepada kerajaan tidak semestinya menentang kerajaan atau menyertai parti pembangkang untuk menolak kerajaan sedia ada.

Label seperti propembangkang menurut Pak Lah, akan menjarakkan lagi mahasiswa kepada kerajaan.

Hakikatnya, sumbangan dan legasi Pak Lah dalam menjambatani kerajaan dengan mahasiswa sangat jelas.

Beliau telah berusaha memperkenalkan naratif baharu dalam hubungan kerajaan dengan mahasiswa ketika itu, iaitu diplomasi berbanding konfrontasi pada sebelumnya.

Peranan Pak Lah dalam konteks pemerkasaan mahasiswa juga terserlah. Buktinya, MPPK masih wujud sehingga sekarang.

Malah MPPK kini menjadi suatu platform yang semakin penting dalam membawa suara kepemimpinan mahasiswa langsung kepada pihak kerajaan.

Peranan, sumbangan dan legasi ini sebenarnya bertitik-tolak daripada sosok keperibadian Pak Lah yang sangat diplomatik dan mahu setiap perkara yang timbul boleh diselesaikan melalui meja rundingan dengan jiwa besar dan semangat kerjasama yang tinggi.

Meskipun tidak dinafikan, usaha beliau memperkenalkan MPPK misalnya dianggap oleh segelintir pihak sebagai suatu cara untuk ‘menjinakkan’ mahasiswa, tetapi platform seperti MPPK sebenarnya telah meningkatkan kedudukan kepemimpinan mahasiswa pada tempat yang sewajarnya.

Malah, pendekatan diplomasi dalam pemerkasaan mahasiswa subur dengan pelbagai ikhtiar lain seperti pengenalan parlimen mahasiswa yang menjadi gelanggang mahasiswa berbahas dan berunding demi mencapai matlamat perjuangan masing-masing secara matang dan beradab.

Sebagai contoh, pelaksanaan Kongres Rundingan Mahasiswa atau KORUM, UMT baru-baru ini yang telah membawa 21 usul untuk dibahaskan, dianggap suatu proses penting dalam menjayakan konsep deliberative democracy yang menekankan perundingan dalam proses pembuatan keputusan.

Secara tuntasnya, Pak Lah telah memberikan sumbangan yang penting dalam soal pemerkasaan mahasiswa tanpa kita sedari.

Alhamdulillah, legasi Pak Lah diteruskan oleh pemimpin kerajaan selepasnya seperti beberapa Menteri Pendidikan Tinggi, iaitu Datuk Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Dr Noraini Ahmad, Tan Sri Idris Jusoh dan Dr Maszlee Malik.

Meskipun pendekatan setiap menteri ini ada kalanya berbeza, tetapi ia sebenarnya mewarisi pemikiran Pak Lah yang sentiasa percaya kepada bakat dan potensi mahasiswa yang perlu dilonjakkan lagi dengan penuh kepercayaan.

Dr Zambry misalnya, sentiasa mendekati mahasiswa secara langsung melalui pelbagai pendekatan termasuk menjelajah kampus dalam program In Person with Doc Zam (IPWDC).

Sudah tentu, faktor kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pernah menjadi pemimpin mahasiswa semasa pengajiannya di kampus banyak membantu ke arah pemerkasaan kepemimpinan mahasiswa masa kini.

Dukungan beliau kepada AUKU agar tidak dimansuhkan misalnya, telah memperkukuhkan lagi naratif kepemimpinan mahasiswa yang kini telah diberikan lebih banyak kebebasan dan tanggungjawab.

Kepada pemimpin mahasiswa di IPT khususnya yang kini berada dalam platform MPPK, ingatlah ruang dan peluang yang anda miliki sekarang adalah hasil pemikiran dan kebijakan pemimpin terdahulu seperti Pak Lah yang berusaha menjambatani kerajaan dengan mahasiswa.

Jawatan adalah taklif (tanggungjawab) dan bukan tasrif (kedudukan glamor). Nikmatilah kedudukan yang diberikan dengan penuh insaf dan amanah.

Terima kasih Pak Lah.

Al-Fatihah...



* Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.