Ketegangan yang semakin memuncak antara Iran dan Israel bukan sahaja mengubah landskap keselamatan di Timur Tengah, malah turut memberi kesan besar terhadap pelayaran kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla yang berusaha membawa bantuan kepada penduduk Gaza.
Dalam keadaan rantau yang semakin tidak stabil, persoalan utama yang timbul ialah sejauh mana undang-undang antarabangsa benar-benar dihormati apabila melibatkan hak kemanusiaan rakyat Palestin. Lebih penting lagi, apakah tindakan Israel menghalang dan memintas pelayaran bantuan kemanusiaan boleh dianggap sah di sisi undang-undang antarabangsa?
Global Sumud Flotilla digerakkan atas dasar solidariti kemanusiaan untuk membantu penduduk Gaza yang berdepan krisis makanan, kekurangan ubat-ubatan serta kemusnahan infrastruktur akibat peperangan dan sekatan berpanjangan. Pada masa sama, misi ini turut bertujuan membangkitkan kesedaran dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan genosid di Gaza. Namun, pelayaran tersebut sering berdepan risiko dipintas, diperiksa dan ditahan oleh tentera Israel atas alasan keselamatan.
Ketegangan yang semakin memuncak antara Iran dan Israel bukan sahaja mengubah landskap keselamatan di Timur Tengah, malah turut memberi kesan besar terhadap pelayaran kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla yang berusaha membawa bantuan kepada penduduk Gaza.
Dalam keadaan rantau yang semakin tidak stabil, persoalan utama yang timbul ialah sejauh mana undang-undang antarabangsa benar-benar dihormati apabila melibatkan hak kemanusiaan rakyat Palestin. Lebih penting lagi, apakah tindakan Israel menghalang dan memintas pelayaran bantuan kemanusiaan boleh dianggap sah di sisi undang-undang antarabangsa?
Israel mempertahankan tindakan tersebut dengan mendakwa sekatan laut terhadap Gaza perlu bagi menghalang kemasukan senjata kepada kumpulan bersenjata. Dalam konteks konflik melibatkan Iran, alasan keselamatan itu terus digunakan bagi memperkukuhkan tindakan ketenteraan dan kawalan maritim terhadap Gaza.
Namun dari sudut perundangan antarabangsa, alasan keselamatan tidak boleh digunakan secara mutlak sehingga menafikan hak asasi penduduk awam untuk menerima bantuan kemanusiaan.
Di bawah United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS), kapal awam mempunyai hak kebebasan pelayaran di laut antarabangsa. Prinsip ini merupakan asas penting dalam undang-undang laut antarabangsa dan tidak boleh dicabuli sewenang-wenangnya.
Lebih penting, undang-undang kemanusiaan antarabangsa menetapkan bahawa bantuan kepada orang awam yang terjejas akibat konflik tidak boleh dihalang secara tidak munasabah. Sekatan yang menyebabkan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas kepada penduduk awam boleh dianggap melanggar prinsip asas kemanusiaan.
International Committee of the Red Cross sendiri menegaskan bahawa pihak yang berkonflik wajib membenarkan akses bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang memerlukan perlindungan.
Dalam konteks Gaza, banyak pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa berhujah bahawa sekatan berpanjangan Israel telah melangkaui keperluan keselamatan dan bertukar menjadi bentuk hukuman kolektif terhadap rakyat awam Palestin. Hukuman kolektif merupakan tindakan yang dilarang di bawah Geneva Conventions kerana orang awam tidak boleh dihukum atas konflik yang berlaku.
Malah, tindakan memintas kapal bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa turut menimbulkan persoalan serius dari sudut kedaulatan undang-undang laut antarabangsa.
Walaupun Israel terus menggunakan alasan ancaman keselamatan dan pengaruh Iran di rantau Timur Tengah, prinsip undang-undang antarabangsa tetap menuntut bahawa setiap tindakan ketenteraan tidak boleh mensasarkan orang awam atau bantuan kemanusiaan.
Hakikatnya, kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan lebih tegas terhadap pencabulan hak kemanusiaan di Gaza hanya akan melemahkan kredibiliti sistem undang-undang antarabangsa itu sendiri.
Global Sumud Flotilla hari ini bukan sekadar simbol solidariti terhadap Palestin, tetapi juga simbol penentangan terhadap tindakan yang dilihat bertentangan dengan prinsip asas kemanusiaan dan keadilan antarabangsa.
Sekiranya undang-undang antarabangsa benar-benar mahu dihormati, maka hak penduduk awam Gaza untuk menerima bantuan kemanusiaan wajib dipertahankan tanpa syarat politik atau tekanan ketenteraan.
* Dir Kheizwan Kamaruddin adalah peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya beramal di Tetuan Manjit Singh Sachdev, Mohammad Radzi & Partners dan merupakan aktivis hak asasi di Pusat Penyelidikan Dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian atau pandangan Astro AWANI.