SEMUA pihak perlu menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran perlembagaan termasuk dalam isu lantikan badan kehakiman bagi mengelak ketegangan, keresahan serta kekeliruan serta salah faham dalam masyarakat.

Bekas Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Haidar Dziyauddin berkata, tidak salah berbeza pendapat serta pandangan, namun tuduhan dan tohmahan bahwa wujudnya pemilihan berat sebelah, tidak mengikut prosedur atau calon tidak layak berkaitan isu pelantikan jawatan nombor satu dalam hirarki badan kehakiman negara baru-baru ini sebenarnya tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, ini kerana, Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan semak dan imbang dalam hal pemilihan dan pelantikan jawatan kehakiman khususnya Mahkamah Tinggi dalam sistem mahkamah.

Mekanisma ini terbukti berkesan dan berfungsi sekian lama malah menjadi salah satu paksi dalam kebebasan kehakiman.

“Isu pelantikan jawatan kehakiman baru-baru ini timbul apabila terdapat pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan proses pelantikan kononnya berlaku campur tangan oleh pihak kerajaan seterusnya mencetuskan andaian bahawa badan kehakiman negara adalah tidak bebas. Andaian ini kemudian membawa kepada cadangan diwujudkan Suruhanjaya Khas bagi menyiasat kebenaran perkara tersebut.

“Pihak-pihak yang berwibawa di mata masyarakat sepatutnya lebih teliti dan berhati-hati memberikan saranan atau maklumat khususnya mengenai perkara yang melibatkan kepentingan negara seperti kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Beliau berkata, krisis kehakiman dan perlembagaan ini pernah berlaku satu ketika dahulu sehingga menimbulkan keresahan dan kekeliruan tentang kebolehpercayaan terhadap kerajaan di dalam dan luar negara. Malah terdapat pihak-pihak dari luar yang mengambil kesempatan manipulasi isu tersebut dengan mencemar reputasi negara di mata dunia sehingga merugikan khususnya ketika imej dan reputasi
negara semakin baik.

“Kenyataan bahawa terdapat campur tangan tanpa bukti adalah jelas tidak profesional dan boleh mencetuskan kegusaran kepada masyarakat yang tidak mahir mengenai prosedur pelantikan jawatan utama dalam bidang kehakiman negara. Cadangan pembentukan Suruhanjaya khusus berdasarkan andaian dan
keberangkalian yang sudah pasti akan mengambil masa hanya akan merugikan dana awam. Malah negara akan sekali lagi berhadapan dengan episod krisis kebebasan kehakiman.

“Bahagian 9 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mengenai Kehakiman iaitu salah sebuah badan yang penting dalam prinsip perasingan kuasa membabitkan mekanisma semak dan imbang mengenai pelantikan jawatan khususnya perkara 122B iaitu peringkat ‘perundingan’ dan ‘pelantikan’,” katanya.

Menurut Haidar, Perkara 122B(1) memperuntukkan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik setelah mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Pelantikan ini adalah berdasarkan nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Perdana Menteri menerima nama-nama daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).

Katanya, SPK bertanggungjawab menerima permohonan dan seterusnya memilih individu-individu berkelayakan bagi mengisi jawatan-jawatan hakim di semua peringkat mahkamah atasan berdasarkan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) diwujudkan pada 2009.

"Individu yang dicadangkan oleh SPK akan dikemukakan kepada Perdana Menteri bagi pertimbangan selanjutnya dan jika tiada persetujuan, maka Perdana Menteri boleh meminta dua nama lain bagi mengisi kekosongan jawatan yang berkaitan. Selanjutnya, Perdana Menteri akan mengemukakan nama-nama terbabit kepada YDPA bagi perkenan pelantikan. Ini jelas menunjukkan peranan SPK, Perdana Menteri, Majlis Raja-Raja dan YDPA yang tersendiri melalui proses perlembagaan di mana salah satunya tidak boleh membuat pilihan individu secara langsung dan setelah kesemua kehendak Perlembagaan Persekutuan dipatuhi," katanya.

“Yang pastinya semua pihak mungkin boleh bersetuju individu yang dilantik memiliki kelayakkan yang diperlukan. Tidak mungkin YDPA akan melantik seseorang yang tidak mempunyai kelayakkan untuk jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara” tambah beliau.

Oleh itu katanya, isu pelantikan ini tidak wajar disensasikan oleh pihak-pihak tertentu dan isu ini bukan kali pertama berlaku berikutan sebelum ini krisis kehakiman pernah mencemar imej dan reputasi negara. Beliau menyarankan semua pihak menaruh kepercayaan kepada keluruhan perlembagaan negara dan lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan.


*Profesor Dr Haidar Dziyauddin adalah bekas Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM).

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.