Muhammad Shah Firdaus, Nurul Izzah dinobat Pelumba Terbaik Malaysia 2025

Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati dinobatkan sebagai Pelumba Lelaki dan Wanita Terbaik pada Majlis Apresiasi PKBM 2025. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Dua atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Lelaki dan Wanita pada Majlis Apresiasi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) 2025 di Melaka, semalam.
Ringkasan AI
- Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati dinobatkan sebagai Pelumba Lelaki dan Wanita Terbaik pada Majlis Apresiasi PKBM 2025 di Melaka, masing-masing menerima RM1,000 dan sijil.
- Pelumba para Mohamad Yusof Hafizi dan Nur Suraiya diumumkan sebagai Pelumba Para Terbaik, manakala legenda Datuk Ng Joo Ngan menerima anugerah khas dan wang hadiah RM4,500.
- Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak (PBNS) dipilih sebagai Persatuan Negeri Terbaik, dan Amarjit Singh Gill menerima Anugerah Khas atas kejayaan menjadi Naib Presiden UCI pertama dari Malaysia.
Muhammad Shah dan Nurul Izzah masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil.
Pada masa sama, dua pelumba para Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Nur Suraiya Mohd Zamri yang ketika ini menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil, diumumkan sebagai Pelumba Para Terbaik.
Legenda berbasikal negara Datuk Ng Joo Ngan pula menerima anugerah khas, membawa pulang trofi serta baki wang hadiah kemenangan bernilai RM4,500 yang dijanjikan PKBM.
Sementara itu, kategori Persatuan Negeri Terbaik dimenangi Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak (PBNS) manakala Mohd Yusof Abdul Nasir dan Noor Alfizar Othman muncul sebagai Pegawai Sukan Terbaik Malaysia 2025.
Pasukan benua terkenal, Terengganu Cycling Team (TSG) dinobatkan sebagai 'Best Continental Team'.
Majlis Apresiasi PKBM 2025 turut menganugerahkan Anugerah Khas kepada Amarjit atas pencapaian menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi jawatan Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami