NATIONAL
[KOLUMNIS] Jenayah ekonomi akibatkan negara hilang berbilion ringgit
![[KOLUMNIS] Jenayah ekonomi akibatkan negara hilang berbilion ringgit [KOLUMNIS] Jenayah ekonomi akibatkan negara hilang berbilion ringgit](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2024-02/61706799363_tbGENERICRASUAH.jpg)
Penulis berpendapat, jenayah ekonomi yang berterusan berisiko melandaikan lengkuk pembangunan pertumbuhan ekonomi dengan lebih cepat dan memerlukan iltizam politik dan penglibatan semua sektor bagi menangani masalah ini. - Gambar hiasan/Sinar Harian
MALAYSIA kerugian berbilion ringgit akibat jenayah ekonomi. Jenayah ekonomi adalah perbuatan jenayah yang melanggar undang-undang melibatkan ganjaran kewangan. Jenayah itu juga melibatkan aktiviti perniagaan haram.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Forum Ekonomi Dunia telah menganggarkan kos rasuah global pada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia. Berdasarkan KDNK dunia bagi 2024 sebanyak AS$115 trilion atau AS$6 trilion setahun telah dicuri. Ini lebih tinggi daripada KDNK tahunan Jepun yang merupakan ekonomi ketiga terbesar dunia.
Mengikut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Malaysia dianggarkan kerugian RM277 bilion akibat rasuah antara 2018 dan 2023, dengan purata kerugian tahunan RM55 bilion.
Menurut Transparency International, Malaysia berada di kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024.Dari segi ekonomi bawah tanah, negara kehilangan sejumlah besar hasil cukai sebanyak 30.2% daripada KDNK negara. Ekonomi bawah tanah yang juga dikenali sebagai ekonomi bayangan, sering kali dikaitkan dengan aktiviti jenayah, termasuk penyeludupan senjata dan tembakau, dadah, pelacuran, perjudian haram, pemalsuan pasport dan secara dalam talian serta penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Bukan itu sahaja, ekonomi bawah tanah juga meliputi sektor formal yang tidak berdaftar dan pendapatan tidak diistiharkan merangkumi perniagaan tidak berlesen, pekerja asing secara haram, pekerja sambilan dan ekonomi tunai. Ini termasuk mereka yang mempunyai pekerjaan tetap tetapi pada masa yang sama melakukan pekerjaan sampingan yang menjana pendapatan yang lebih besar daripada pendapatan tetap.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggarkan bahawa antara 2 dan 5% daripada KDNK global atau kira-kira $800 bilion hingga $2 trilion melibatkan pengubahan wang haram setiap tahun. Pengubahan wang haram adalah proses menjadikan wang atau aset diperoleh daripada aktiviti haram dicuci kelihatan sah. Ia proses mencuci wang 'kotor' bagi menyembunyikan sumber asal wang berkenaan. Jika digabungkan kesemua angka ini, kita boleh menganggarkan jumlah kos ekonomi Malaysia untuk pengubahan wang haram juga sekitar 5% atau RM55 bilion setahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSKJ) juga mendedahkan bahawa sindiket pengubahan wang haram dikesan berselindung di sebalik perniagaan tunai seperti kedai dobi dan restoran untuk merahsiakannya daripada pihak berkuasa. Melalui kaedah tersebut hasil kegiatan haram itu tidak akan melalui sistem perbankan atau syarikat kewangan yang mana status transaksi tidak akan meninggalkan rekod.
Hubungan sindiket melibatkan kedua-dua negara berlandaskan kepada kewajipan melunaskan pembayaran yang dihantar dari negara tempat pembekal beroperasi kepada penerima di negara lain.
Jadi, wang untuk pembayaran terbabit tidak pernah keluar dari negara masing-masing tetapi hanya berpindah tangan dalam negara terbabit.
Pengurup wang juga banyak membantu terlibat dalam pengubahan wang haram. Menerusi 'hawala' iaitu sistem penghantaran wang tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan berlesen yang membabitkan rentas sempadan.
Selain daripada itu, JSJK menyatakan sebanyak 41,701 kes jenayah komersial tahun lepas melibatkan kerugian lebih RM3 bilion.
Kebanjiran rokok tidak sah di pasaran tempatan menyebabkan negara kerugian cukai antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun. Nilai RM5 bilion hingga RM6 bilion ini bukanlah kecil ketika ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan perlahan ketika ini.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Euromonitor International, Malaysia berada di kedudukan teratas penyeludupan rokok dunia iaitu sebanyak 63 peratus. Kegiatan ini sudah lama wujud disebabkan keuntungannya sangat besar serta hukuman ke atas penyeludup tidak seberat mana, biasanya hanya dikenakan denda.
Kemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang kes dan tidak lebih 20 kali ganda barang kes atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Oleh kerana mahkamah jarang menjatuhkan hukuman penjara maka kegiatan ini tetap berleluasa walaupun penyeludupan ini melibatkan kehilangan cukai negara yang sangat besar.
Ketua Pengarah Kastam yang baru mengambil berat isu penyeludupan rokok haram dengan memperketatkan sistem dalaman termasuk pembelian mesin pengimbas yang moden serta tidak berkompromi terhadap segelintir pegawai kastam yang tidak ada integriti dan melibatkan diri dalam kegiatan rasuah.
Bahkan pada tahun 2024, beliau telah berjaya merekodkan kutipan hasil sebanyak RM65.57 bilion, iaitu lebihan RM9.57 bilion, bersamaan 117 peratus berbanding unjuran asal RM56 bilion.
Wang yang tiris disebabkan rasuah dan kegiatan haram sewajarnya dapat digunakan untuk kesejahteraan dan pembangunan negara. Semakan dengan kementerian berkaitan mendapati RM1 bilion boleh membina 4 hospital daerah, 200 sekolah atau jalan empat lorong sepanjang 50 kilometer atau 5000 km jalan kampung.
SPRM mengumumkan kejayaan dalam usaha pemulihan aset berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan sejumlah RM29.75 juta dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia.
Kerajaan juga melaksanakan tugas dengan baik dalam menyelesaikan dan telah membayar hutang 1MDB berjumlah RM43.8 bilion dengan baki hutang yang belum dibayar sebanyak RM5 bilion yang akan matang pada 2039.
Pada dasarnya, gejala jenayah ekonomi yang berterusan berisiko melandaikan lengkuk pembangunan pertumbuhan ekonomi dengan lebih cepat. Ia memerlukan iltizam politik dan penglibatan semua sektor bersama-sama membantu kerajaan dalam menangani masalah yang rumit ini.
* Datuk Seri Dr Akhbar Satar ialah Presiden, Pertubuhan Integriti dan Tadbir Urus Malaysia (MIG)
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami