MALAYSIA
[KOLUMNIS] Jerebu rentas sempadan: Apa yang kita perlu tahu?
![[KOLUMNIS] Jerebu rentas sempadan: Apa yang kita perlu tahu? [KOLUMNIS] Jerebu rentas sempadan: Apa yang kita perlu tahu?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/81753163299_tbASMCHotspotTit.jpg)
Titik panas dalam peta ini diperoleh daripada satelit NOAA yang menunjukkan lokasi berkemungkinan berlaku kebakaran aktif yang boleh menyumbang kepada jerebu rentas sempadan. - Foto/ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC)
LANGIT bertukar kelabu, mata terasa pedih, dan anak-anak mula batuk. Kitaran ini terlalu biasa buat rakyat Malaysia. Namun di sebalik keluhan harian, adakah kita benar-benar memahami dari mana datangnya asap ini dan mengapa ia terus berulang?
Ringkasan AI
- Jerebu rentas sempadan berpunca daripada pembakaran terbuka berskala besar di negara jiran seperti Indonesia, terutama untuk penanaman sawit dan pertanian.
- Isu ini adalah cabaran serantau yang perlukan kerjasama ASEAN secara kolektif, bukan tanggungjawab satu negara sahaja.
- Rakyat juga perlu cakna dengan menyokong pertanian mampan, mengubah tabiat pengguna, dan menuntut tindakan tegas demi hak udara bersih.
Namun realitinya, ini bukan isu satu negara semata-mata. Jerebu ini ialah cabaran serantau yang memerlukan penyelesaian kolektif. Malaysia sendiri telah menandatangani ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution pada 2002, dan terus aktif menyuarakan keperluan kerjasama yang lebih erat dalam menangani isu ini.
Negara-negara jiran, termasuk Indonesia, juga telah mengambil pelbagai langkah dalam menangani pembakaran haram termasuk penggunaan satelit untuk pemantauan titik panas, pelaksanaan larangan pembakaran terbuka, dan usaha konservasi hutan.
Namun, seperti kebanyakan cabaran alam sekitar, hasilnya tidak dapat dilihat serta-merta. Kesannya kompleks antara perubahan cuaca, tekanan pasaran global, pemilikan tanah yang rumit, dan kapasiti penguatkuasaan yang tidak seimbang.
Malaysia tidak terkecuali daripada tanggungjawab ini. Kita juga perlu menilai peranan syarikat-syarikat tempatan yang mungkin terlibat secara langsung atau tidak langsung, sama ada melalui pelaburan atau pembelian hasil ladang yang berasal dari kawasan berisiko tinggi. Kita juga harus menyemak semula tabiat pengguna kita kerana setiap barang yang kita beli mungkin menyumbang kepada pembakaran yang mencemarkan langit kita sendiri.
Apa yang penting sekarang bukan sekadar mencari siapa yang bersalah, tetapi membina kepercayaan antara negara untuk bertindak lebih tegas, telus dan berkesan. ASEAN mempunyai platform dan rangka kerja tetapi ia perlukan komitmen politik yang lebih tinggi, pemantauan rentas negara yang lebih terbuka, dan pembabitan awam yang lebih meluas.
Sebagai rakyat, kita tidak boleh sekadar mengeluh setiap kali Indeks Pencemaran Udara (IPU) naik. Kita mesti cakna, mendidik diri dan menyuarakan keperluan untuk udara bersih sebagai hak asasi manusia. Kita juga boleh menyokong produk dan syarikat yang mengamalkan pertanian mampan dan terbuka terhadap jejak karbon mereka.
Langit biru bukan simbol kemewahan. Ia adalah hak semua. Dan udara bersih bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi hasil kerjasama semua rakyat, negara jiran, sektor swasta dan pemimpin rantau ini. Kita tidak mahu mewariskan dunia yang kabur dan kelam kepada generasi akan datang. Maka, walaupun jerebu datang dari luar sempadan, suara untuk melindungi langit kita harus bermula dari dalam hati kita sendiri.
* Nik Nuur Azam Shah merupakan wartawan Astro AWANI yang berkelulusan jurusan Geografi dari Universiti Malaya.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami