[KOLUMNIS] Kampung Bharu: Pembangunan dengan jiwa, bukan sekadar beton
![[KOLUMNIS] Kampung Bharu: Pembangunan dengan jiwa, bukan sekadar beton [KOLUMNIS] Kampung Bharu: Pembangunan dengan jiwa, bukan sekadar beton](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2021-10/71634115501_kampungbaru.jpg)
Pembangunan mampan Kampung Bharu perlu mengekalkan jiwa komuniti dan warisan budaya sebagai kekuatan ekonomi dan identiti bandar raya. -Gambar fail/Bernama
DI TENGAH-TENGAH kesibukan Kuala Lumpur, masih teguh berdiri sebuah enclave Melayu yang istimewa — Kampung Bharu.
Ringkasan AI
- Kampung Bharu berpotensi menjadi produk pelancongan Melayu bertaraf dunia dengan identiti budaya yang unik di tengah Kuala Lumpur.
- Contoh seperti Bukchon Hanok Village di Seoul dan Zaanse Schans di Amsterdam menunjukkan warisan boleh menjadi aset ekonomi tanpa mengorbankan tradisi.
- Pembangunan mampan Kampung Bharu perlu mengekalkan jiwa komuniti dan warisan budaya sebagai kekuatan ekonomi dan identiti bandar raya.
Persoalannya, adakah pembangunan semestinya bermakna menghapuskan warisan, atau mungkinkah kita membangunkannya dengan cara yang tetap mengekalkan identiti?
Tulisan ini sekadar perkongsian pandangan daripada sudut ekonomi, dengan hasrat membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih mampan.
Penulis bukan pakar undang-undang atau pembangunan hartanah, tetapi ingin mengetengahkan perspektif bagaimana keseimbangan antara pertumbuhan fizikal dan pemeliharaan warisan budaya mampu menjadi aset ekonomi jangka panjang untuk negara.

Warisan Sebagai Aset, Bukan Halangan
Di banyak negara maju, warisan dan tradisi tidak dilihat sebagai beban, tetapi sebagai aset ekonomi. Dua contoh menarik ialah:
Hanok Village, Seoul (Korea Selatan). Di tengah bandar raya moden Seoul, terletaknya Bukchon Hanok Village — kawasan rumah tradisional Korea (hanok) yang dipulihara.
Kerajaan Korea bukan sahaja melindungi kawasan ini dengan undang-undang khas, malah memberikan subsidi kepada pemilik rumah untuk mengekalkan seni bina asal.
Hari ini, Bukchon menjadi tarikan pelancong utama, pusat seni, serta lokasi komersial kecil yang menghidupkan ekonomi tempatan tanpa mengorbankan identiti budaya.
Zaanse Schans, Amsterdam (Belanda). Kawasan kilang angin dan rumah kayu tradisional Belanda di Zaanse Schans dipulihara dan dihidupkan semula sebagai “muzium hidup”.
Penduduk masih boleh tinggal dan berniaga, sementara pengunjung menikmati pengalaman autentik budaya Belanda.
Hasilnya, kawasan ini bukan sahaja mengekalkan warisan, tetapi juga menjadi enjin pelancongan yang memberi pulangan ekonomi besar.
Kedua-dua contoh ini menunjukkan bahawa pembangunan tidak semestinya sinonim dengan merobohkan sejarah, sebaliknya boleh membina masa depan dengan memelihara jiwa masa lalu.
Potensi Besar Produk Pelancongan Melayu
Kampung Bharu memiliki kekuatan yang jarang dimiliki oleh bandar lain:
• Identiti budaya Melayu yang asli di tengah metropolis.
• Kedudukan strategik — hanya beberapa langkah dari KLCC.
• Sejarah dan komuniti yang membentuk naratif unik Kuala Lumpur. Daripada membangunkannya semata-mata menjadi perumahan moden, Kampung Bharu boleh menjadi produk pelancongan Melayu yang bertaraf dunia.
• Rumah tradisional dan masjid lama dipulihara sebagai heritage cluster.
• Pasar tradisional, makanan jalanan, dan kraf Melayu dipromosi sebagai tarikan utama.
• Homestay, galeri budaya, dan pusat seni moden Melayu diwujudkan untuk menghubungkan warisan dengan ekonomi kreatif.
Dengan cara ini, pembangunan Kampung Bharu bukan sahaja membawa nilai ekonomi melalui pelancongan dan perniagaan kecil, tetapi juga mengekalkan jiwa bandaraya yang semakin terhakis.
Membangun Dengan Jiwa
Pembangunan bukan sekadar soal bangunan tinggi atau nilai hartanah, tetapi bagaimana kita mengekalkan identiti, memelihara komuniti, dan menjadikan warisan sebagai sumber kekayaan masa depan.
Kampung Bharu boleh menjadi contoh bagaimana Malaysia mengimbangi moderniti dengan tradisi. Jika Seoul boleh mengekalkan hanok di tengah bandar moden, jika Amsterdam boleh menghidupkan kembali Zaanse Schans sebagai aset ekonomi, mengapa tidak Kuala Lumpur dengan Kampung Bharu?
Alangkah indah dan uniknya wajah Kuala Lumpur andai memiliki dualisme pelancongan yang seimbang. Di satu sisi, pelancong menikmati mercu tanda moden yang gah dan pusat beli-belah bertaraf dunia.
Namun hanya beberapa langkah dari situ, mereka berpeluang menyelami pengalaman kehidupan Melayu tradisional — berjalan di lorong-lorong kampung, melihat masyarakat berpakaian baju kurung atau baju Melayu lama, sambil menikmati juadah asli yang diwarisi turun-temurun.
Inilah harmoni sebenar antara kemodenan dan tradisi, yang bukan sahaja mengekalkan identiti bangsa tetapi juga menjadikan Kuala Lumpur sebuah destinasi global yang benar-benar berjiwa.
Bukchon Hanok Village
Sehingga tahun 2024, Bukchon Hanok Village mempunyai kira-kira 6,000 orang penduduk, namun ia menerima sekitar 6.6 juta pelawat setiap tahun.
Ini bersamaan dengan purata 18,000 pelawat sehari, dan mengambil kira keluasan Bukchon (1,128,372 meter persegi), ia bermaksud terdapat kira-kira seorang pelawat bagi setiap 63 meter persegi setiap hari.


Zaanse Schans, Amsterdam
Perkampungan kincir angin di Sungai Zaan ini terletak hanya 20 minit dari Amsterdam, Di sini penduduk masih tinggal dan bekerja dalam suasana tradisional.
Di sini juga pelancong menemui kincir angin tertua, kraftangan unik, kedai, restoran, muzium, alam semula jadi, serta laluan berjalan kaki yang indah.


Penulis merupakan bekas Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau aktif mengikuti perkembangan ekonomi dan pasaran buruh di Malaysia melalui EU-ERA, THE FUTURE.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


