KESEDARAN antarabangsa terhadap perlunya satu undang-undang mengawal perkembangan Kecerdasan Buatan atau AI semakin meningkat apabila banyak negara sedang dalam proses menggubal undang-undang khusus mengawal selia AI.
Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menjadi yang terawal meluluskan penggubalan satu undang-undang dikenali sebagai Akta AI EU bermatlamat melindungi pengguna dan alam sekitar dari segi kesan negatif AI kepada kesihatan, keselamatan, hak asasi, demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Versi muktamad Akta AI dijangka diluluskan akhir tahun ini.
Rang Undang-Undang (RUU) EU itu antara lain menyekat sistem pengecaman wajah masa nyata di kawasan awam, sistem pemarkahan kesihatan rakyat berdasarkan tingkah laku seperti diamalkan di China dan teknologi ramalan dasar.
Teknologi AI lain yang diberi fokus oleh EU termasuk aplikasi berisiko tinggi dan memudaratkan, teknologi atau sistem untuk mempengaruhi pengundi pilihan raya serta platform media sosial yang mengesyorkan kandungan pengguna.
Ketelusan teknologi AI tidak terkecuali. Pembangun sistem AI seperti ChatGPT dikehendaki mendedahkan secara terperinci data digunakan bagi membangunkan program mereka. Semua kandungan yang dijana AI perlu membezakan imej palsu daripada yang sebenar selain menyediakan perlindungan kepada pengguna daripada pelbagai aspek.
Di Malaysia pula, Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 telah diluluskan Dewan Rakyat pada bulan Mac dan Dewan Negara pada April lalu, bagi meningkatkan keselamatan serta kesejahteraan amalan siber negara. RUU tersebut antara lain, merupakan persiapan supaya negara bergerak secara responsif dalam menangani impak-impak yang dibawa oleh perkembangan teknologi terutama AI.
Terdapat 11 sektor yang dilindungi di bawah RUU tersebut yang ditakrifkan sebagai Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) iaitu sektor kerajaan, perbankan dan kewangan, pertahanan dan keselamatan negara, pengangkutan serta maklumat, komunikasi dan digital.
Sektor lain termasuk pembetungan air dan pengurusan sisa, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pertanian dan perladangan, perdagangan industri dan ekonomi, sains, teknologi dan inovasi serta sektor tenaga. Draf RUU itu dirangka oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang sebagai titik mula inisiatif menggerakkan penggubalan satu undang-undang keselamatan digital dengan penuh kesegeraan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengimbangi perkembangan teknologi dan manusiawi khususnya AI.
Berdasarkan senario dalam negara dan peringkat antarabangsa, dapat dijangka bahawa undang-undang AI akan berbeza bagi setiap negara seperti juga undang-undang berkaitan media. Faktor itu disebabkan setiap negara mempunyai asas undang-undang tersendiri yang tidak lepas daripada elemen nilai dan budaya yang diamalkan rakyat mereka.
Lihat sahaja bagaimana Indonesia dan Amerika Syarikat mengambil tindakan ke atas aplikasi TikTok. Amerika Syarikat merupakan antara negara demokrasi terhebat di dunia telah menyekat TikTok. Begitu juga Indonesia yang mengamalkan kebebasan media tidak membenarkan TikTok Shop di negara tersebut. Semua ini menunjukkan kepentingan tempatan diambil kira yang berkait rapat dengan budaya, nilai dan politiknya.
Isu berkaitan AI juga dibincangkan di peringkat antarabangsa secara terbuka seperti Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland awal tahun ini. AI boleh dikatakan mendominasi ruang forum yang melibatkan semua pihak berkepentingan seperti pakar ekonomi, ahli akademik, wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), wakil kerajaan dan syarikat pembangun AI sendiri. Fokus perbincangan mengenai AI merangkumi kesan teknologi terhadap pasaran buruh, impak kepada strategi perniagaan dan lain-lain aspek.
Isu sama turut disentuh ketika Sidang Kemuncak CEO Yale pada bulan Jun 2023 yang disertai kepimpinan industri ternama yang mengemukakan pandangan masing-masing mengenai impak AI. Antara yang popular dan dipetik media antarabangsa adalah kesan AI kepada sektor pekerjaan.
Teknologi perindustrian mengambil alih peranan buruh bukanlah perkara baharu. Pembangunan teknologi bergerak seiring dengan keperluan industri. Apabila sesuatu mesin robotik dicipta misalnya, ia mengurangkan keperluan kepada pekerja yang ramai dalam menghasilkan produk.
Begitu juga dengan penciptaan teknologi-teknologi AI yang meliputi keperluan lebih banyak industri pada hari ini. Pembangunan teknologi AI adalah seiring dengan kepesatan kemajuan sistem pengkomputeran. AI telah wujud sejak komputer mula dicipta dan telah memudahkan manusia melaksanakan tugas-tugas di dalam pelbagai bidang.
Pembangunan AI bukanlah kemuncak kemajuan teknologi tetapi sudah cukup menyedarkan dunia akan keperluan satu undang-undang mengawal pembangunannya. Apa yang disebut sebagai 4D ketika sidang WEF di Davos iaitu “deepfakes, disinformation, discrimination & displacement of jobs” merupakan risiko-risiko yang dibawa oleh AI dan menjadi hujah mengapa teknologi berkenaan memerlukan undang-undang pengawalan.
AI tidak wajar disekat secara total tetapi memerlukan kawalan supaya kesan negatif dapat diurus dengan baik agar melindungi pengguna daripada elemen 4D khususnya “deepfakes, disinformation discrimination & displacement”. Jadi, kaedah mengawal selia lebih sesuai bagi menangani impak AI dan bukan sekatan sepenuhnya.
Selain undang-undang dan akta-akta tertentu, kawal selia boleh juga terdiri daripada garis panduan atau satu piawaian. Seperti mana bidang perniagaan dan pengurusan, perlu wujud seperti badan menentukan jaminan terhadap sesuatu teknologi AI.
Contoh mudah seperti pengurusan kualiti pengajian tinggi di negara ini yang dikawal selia oleh satu badan iaitu, Agensi Kelayakan Malaysia atau MQA bagi memastikan semua universiti memberi pendidikan berkualiti serta menepati satu piawaian yang diktiraf pada peringkat nasional dan antarabangsa. Begitu juga dalam pengeluaran sijil halal. Ia perlu melalui proses pematuhan sehingga sesuatu produk atau perkhidmatan dapat disahkan halal dan ia boleh diyakini oleh pengguna.
Dua contoh ini memperlihatkan bagaimana pelaksanaan garis panduan atau piawaian dapat menyumbang kepada penghasilan teknologi AI yang selamat kepada pengguna tanpa ada kecurigaan berlaku kebocoran data peribadi dan sebagainya.
Dengan adanya garis panduan tersebut, pengguna boleh mengetahui secara telus dan terperinci tentang penggunaan sesuatu teknologi AI. Undang-undang pula menjadi entiti tertinggi supaya setiap teknologi AI yang dibangunkan patuh kepada piawaian yang telah ditetapkan.
Usaha mengawal selia dan menggubal undang-undang AI menuntut kerjasama semua dan bukan hanya pihak berkepentingan serta industri. Sektor akademik antaranya, boleh memainkan peranan lebih aktif bagi membantu negara mewujudkan satu kawal selia terhadap AI.
Perkara ini juga dibangkitkan ketika sidang WEF yang mencadangkan bidang akademik dilibatkan lebih aktif untuk mewujudkan satu kawalan ke atas teknologi AI. Pandangan itu sangat relevan apabila melihat kepada peranan dunia akademik dan universiti itu sendiri dalam membentuk penghasilan teknologi AI yang lebih rasional dan tidak berasas keuntungan semata-mata.
Universiti mampu melahirkan barisan pemikir untuk masa hadapan yang responsif kepada teknologi AI dan di menara gadinglah pembaharuan atau inovasi menjadi salah satu keutamaan pendidikan tinggi bagi meningkatkan kualiti kehidupan manusia menerusi pelbagai aktiviti kajian dan lain-lain lagi. Dari aspek ini, pandangan bahawa sektor akademik atau pendidikan tinggi dilibatkan di dalam perbincangan mengawal selia AI adalah sangat tepat dan perlu digerakkan merentas bidang.
Namun, di sebalik debat dan pertimbangan mengenai keperluan mengawal selia AI, satu aspek yang tidak boleh diabaikan adalah mendidik pengguna supaya mempunyai kawalan kendiri bagi mengimbangi kesan AI.
Kawalan kendiri ini akan bertindak sebagai “firewall” dan dapat mengukuhkan lagi keberkesanan undang-undang AI. Contoh mudah, di dalam negara kita sudah ada undang-undang lalu lintas tetapi masih ada yang melakukan kesalahan seperti melanggar isyarat lampu merah. Tanpa kawalan kendiri, undang-undang mungkin menjadi tidak berkesan termasuklah dalam persoalan impak AI terhadap masyarakat.
*Profesor Madya Dr Mohd Khairie Ahmad merupakan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).
**Artikel ini adalah pandangan peribadi dan/atau berdasarkan bidang tugasnya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Prof Madya Mohd Khairie Ahmad
Wed Apr 24 2024
![[KOLUMNIS] Kawalan kendiri dapat perkukuh penguatkuasaan undang-undang AI [KOLUMNIS] Kawalan kendiri dapat perkukuh penguatkuasaan undang-undang AI](https://resizer-awani.eco.astro.com.my/tr:w-177,h-100,q-100,f-auto/https://img.astroawani.com/2024-03/71711335453_TBAIjpg.jpg)
Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menjadi yang terawal meluluskan penggubalan satu undang-undang dikenali sebagai Akta AI EU. - Foto Reuters

KESUMA berusaha pastikan RUU wajibkan pekerja gig mencarum dilulus segera - Sim
Kementerian Sumber Manusia akan berusaha memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dilulus dan dilaksanakan secepat mungkin.
Ismail Sabri keluar dari SPRM, lima jam beri keterangan
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan selepas lebih lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kes Zayn Rayyan: Pegawai penyiasat nafi diberi tekanan semasa siasatan
Seorang saksi pendakwaan kelima iaitu pegawai penyiasat kes kematian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, menafikan beliau menerima tekanan daripada pihak atasan.

Intel Corp lantik Tan Lip Bu sebagai CEO, berpengalaman luas dalam industri cip
Intel Corporation telah melantik anak kelahiran Malaysia, Tan Lip Bu sebagai sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa 18 Mac depan.
Hamas sambut baik Trump tolak pemindahan rakyat Gaza
Hamas mengalu-alukan kenyataan Donald Trump yang menolak pemindahan rakyat Gaza. Rundingan antara Hamas dan AS turut berlangsung di Qatar, membincangkan isu tebusan dan gencatan senjata dengan Israel.

Presiden Syria tubuh Majlis Keselamatan Negara
Presiden Syria Ahmed al-Sharaa mengeluarkan dekri pada Rabu bagi penubuhan Majlis Keselamatan Negara untuk menyelaras dan mengurus dasar keselamatan serta politik negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Anak kelahiran Malaysia Lip-Bu Tan kini terajui Intel
Intel melantik Lip-Bu Tan, tokoh kelahiran Malaysia, sebagai CEO baharu ketika syarikat itu berdepan cabaran industri dan persaingan sengit.
[TERKINI] Ismail Sabri dalam proses beri keterangan
Siasatan terkait kes rasuah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih diteruskan dengan beliau diambil keterangan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Wartawan Khalis Khadir, ada perinciannya.
Wartawan Khalis Khadir, ada perinciannya.
KTMB sedia tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri Edisi Pantai Timur sempena Aidilfitri
Bagi memenuhi permintaan tinggi pengguna yang ingin pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan empat perkhidmatan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri Edisi Pantai Timur.
Astro semarakkan Syawal dengan hiburan ‘Meriah Lain Macam’
Menyambut keistimewaan Syawal dengan caranya tersendiri, peneraju industri hiburan di Malaysia, Astro membawa kemeriahan tahun ini dengan sajian istimewa, menawarkan lebih daripada 160 kandungan Raya yang telah dirancang khas untuk seisi keluarga. Dari kandungan televisyen, sehingga ke platform digital dan radio, setiap satu dicipta dengan teliti untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri dengan pelbagai warna. Semua kandungan istimewa ini boleh dinikmati tanpa henti secara on-the-go, bermula malam raya di Astro.
![[KOLUMNIS] Kawalan kendiri dapat perkukuh penguatkuasaan undang-undang AI [KOLUMNIS] Kawalan kendiri dapat perkukuh penguatkuasaan undang-undang AI](https://resizer-awani.eco.astro.com.my/tr:w-177,h-100,q-100,f-auto/https://img.astroawani.com/2024-03/71711335453_TBAIjpg.jpg)
[KOLUMNIS] Kawalan kendiri dapat perkukuh penguatkuasaan undang-undang AI
Tanpa kawalan kendiri, undang-undang mungkin menjadi tidak berkesan termasuklah dalam persoalan impak AI terhadap masyarakat.