DI Tanah Suci Mekah, air mata bukan lagi tanda kelemahan.
Ia menjadi bahasa yang paling jujur, bahasa hati yang akhirnya berani berkata benar tanpa lindungan ego.
Di antara jutaan manusia yang melangkah menuju Masjidil Haram, ada yang menangis tanpa suara, ada yang cuba menahan esak, dan ada yang terdiam lama sebelum air mata mengalir perlahan di pipi.
Tiada siapa bertanya mengapa. Di Mekah, setiap air mata membawa cerita yang tidak perlu dilafazkan.
Ada jemaah yang menangis sebaik pertama kali melihat Kaabah. Langkahnya terhenti, seolah-olah bumi memegang kakinya agar tidak terus mara. Selama ini Kaabah hanya hadir dalam doa dan angan, sesuatu yang suci tetapi terasa jauh. Namun apabila berdiri betul-betul di hadapannya, segalanya runtuh. Harga diri, kepura-puraan, rasa cukup, semuanya jatuh bersama air mata.
Di celah lautan manusia, ada air mata yang lahir kerana mengenang mereka yang telah tiada. Wajah ibu kembali terbayang. Suara ayah yang dahulu memimpin tangan kini tinggal kenangan. Terkenang Kembali insan-insan yang sudah pergi. Kerana waktu ini, berdoa semahunya untuk bertemu di syurga suatu hari nanti. Ada yang teringat pasangan hidup yang pernah menabung bersama tetapi tidak sempat sampai. Ada yang membisikkan doa untuk sahabat yang telah pergi, sambil hati bertanya kenapa aku yang dijemput, bukan dia?
Air mata itu jatuh bukan kerana kesedihan semata-mata, tetapi kerana rasa kehilangan yang tidak pernah benar-benar sembuh. Di Mekah, rindu terasa lebih tajam. Nama arwah disebut dalam doa dengan suara yang bergetar. Dan ketika itulah jiwa terasa kosong, tetapi penuh dalam masa yang sama.
Ada pula air mata yang jatuh kerana mengenang dosa yang lama terkumpul. Kesalahan yang dahulu dianggap kecil kini terasa sangat berat. Solat yang ditinggalkan. Kata-kata yang melukakan. Janji yang dimungkiri. Doa yang dilengah-lengahkan.
Di tanah lain, dosa sering berjaya disembunyikan oleh kesibukan. Tetapi di Mekah, dosa duduk lama di dada. Tidak pergi. Tidak bersembunyi. Ia hadir sebagai bisikan halus yang mengingatkan betapa sering manusia alpa ketika hidup terasa mudah.
Ada jemaah yang menangis di Multazam bukan kerana meminta dunia, tetapi kerana meminta diberi peluang untuk memaafkan diri sendiri. Ada yang tunduk lama, seolah-olah berkata dalam hati, Ya Allah, aku datang dengan tangan kosong. Aku tak tahu nak mula dari mana lagi.
Di Safa dan Marwah, air mata mengalir sewaktu saie. Di celah langkah-langkah itu, ramai yang terkenang perjuangan Siti Hajar. Seorang ibu yang berlari mencari air untuk bayinya - Nabi Ismail, kerana yakin dan takwa kepada Allah. Ketika kaki mula letih, barulah terasa bahawa sabar itu walau pedih, tetap manis akhirnya untuk dimengerti.
Di antara langkah itu juga, ada yang tiba-tiba mengingat masa silam yang menghambat jiwa. Kehidupan yang dikejar tanpa arah. Masa muda yang diisi dengan kelalaian. Pilihan-pilihan yang dibuat tanpa fikir akibatnya.
Di Mekah, waktu seolah-olah berhenti, memberi ruang untuk manusia menoleh ke belakang dan melihat hidupnya sendiri tanpa penapisan.
Ada air mata yang jatuh kerana menyesal bukan kerana gagal, tetapi kerana terlalu lewat sedar. Terlalu lewat menghargai. Terlalu lewat meminta maaf. Terlalu lewat menjadi hamba yang sebenar.
Namun tidak semua air mata di Mekah lahir daripada kesedihan. Banyak juga yang jatuh kerana syukur yang melimpah. Syukur kerana masih bernyawa untuk berdiri di sini. Syukur kerana diberi peluang walau terasa diri tidak layak. Ada jemaah yang sudah lama menunggu, sudah uzur, sudah sakit, tetapi akhirnya sampai juga.
Air mata mereka bukan kerana penat, tetapi kerana terharu bercampur hairan, mengapa aku yang dipilih, dengan segala kekuranganku?
Pada waktu malam, ada jemaah yang duduk lama selepas solat, tidak bangun-bangun. Pandangan mereka terpaku pada Kaabah, seolah-olah takut momen itu tidak akan datang lagi. Barangkali kerana mereka sedar, hati ini tidak selalu selembut ini. Tidak selalu mudah untuk tunduk.
Dan nanti, di Arafah, air mata akan jatuh tanpa segan. Air mata yang tumpah ketika tangan terangkat tinggi, ketika kata-kata tidak lagi tersusun, ketika dosa terasa terlalu banyak untuk dihitung. Di padang itu, manusia tidak menangis kerana malu. Kerana setiap jiwa di situ membawa beban yang hampir sama.
Mekah mengajar sesuatu yang tidak diajar oleh buku, bahawa air mata tidak pernah menjatuhkan martabat manusia.
Sebaliknya, ia mengangkat jiwa yang lama keras kembali lembut.
Apabila jemaah pulang nanti, mungkin tidak semua doa diingati. Mungkin tidak semua permintaan dimakbulkan seperti yang diharapkan. Namun air mata yang pernah jatuh di Mekah akan tetap menjadi saksi, bahawa pernah ada satu waktu, hati ini benar-benar jujur di hadapan Tuhan.
Dan mungkin itulah hadiah terbesar dari Tanah Suci.
Bukan air zamzam yang disimpan rapi.
Bukan gambar berlatar Kaabah.
Tetapi air mata yang membersihkan dosa,
mengikat kembali kenangan kepada doa,
dan membebaskan jiwa daripada masa silam
agar pulangnya seorang hamba dengan hati yang kurang sesak di dada.
*Essan Yahya adalah Editor Kanan Astro AWANI yang kini berada di Mekah untuk membuat Laporan Haji 1447H bersama Tabung Haji.