MALAYSIA
[KOLUMNIS] Kepentingan teknologi hibrid dan senjata pintar dalam ekosistem pertahanan masa depan
![[KOLUMNIS] Kepentingan teknologi hibrid dan senjata pintar dalam ekosistem pertahanan masa depan [KOLUMNIS] Kepentingan teknologi hibrid dan senjata pintar dalam ekosistem pertahanan masa depan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/71751894410_tbsenjatamindef.jpg)
Datuk Seri Khaled Nordin, menjadikan pemodenan dan kecukupan aset sebagai salah satu agenda utama MINDEF dan ATM bagi tahun 2025. - Kementerian Pertahanan
SALAH satu impak lawatan keluar negara Perdana Menteri ke Itali baru-baru ini adalah peluang Malaysia untuk memperoleh pelbagai aset ketenteraan terkini bagi mengukuhkan pasukan pertahanan negara. Fokus tersebut nyata relevan dan mesti diberikan perhatian. Apatah lagi dunia pertahanan kini berubah dengan kadar jauh lebih pantas daripada apa yang pernah dibayangkan.
Peperangan moden tidak lagi berkisar tentang jumlah askar di medan tempur. Ia adalah tentang siapa yang lebih pantas membaca pergelutan geopolitik, lebih cekap mengadaptasi teknologi, dan lebih bersedia menghadapi ancaman yang tidak lagi berbentuk konvensional. Hari ini, peperangan di ruang udara, dasar laut, dan medan siber, semuanya berlangsung secara serentak dan dalam bentuk yang tidak dijangkakan. Itu belum lagi kita bercakap tentang peranan dan penglibatan non-state actors yang akan turut memberi kesan penting terhadap kedinamikan sesuatu konflik dan peperangan.
Yang pasti, kebergantungan sesebuah pasukan pertahanan kepada aset lama akan boleh menjejaskan keberkesanan operasinya. Pendekatan sedemikian akan turut membuka ruang kepada kegagalan bertindak balas terhadap ancaman baharu yang lebih kompleks dan pantas. Persoalan utama hari ini bukan lagi ‘adakah pemodenan perlu?’, tetapi lebih kepada ‘sejauh mana kita mampu mengejar kelajuan perubahan dan pemodenan ini?’
Pembangunan Teknologi Hibrid dan Pintar
Pertembungan India-Pakistan, Rusia-Ukraine dan terbaharu Israel-Iran menunjukkan dengan jelas bahawa kecanggihan senjata dan keupayaan aset-aset strategik sangat memberi kesan dalam strategi peperangan. Realiti menunjukkan bahawa perkembangan pesat dan semakin agresif dalam inovasi teknologi ketenteraan sudah tidak menjadi perkara tersembunyi atau terpencil. Teknologi hibrid kini menjadi antara teras utama dalam agenda pemodenan sistem persenjataan global, dengan gabungan antara sistem konvensional dan teknologi moden yang mampu meningkatkan kecekapan operasi, keberkesanan tempur, serta daya tahan pertahanan.
Keupayaan sebegini menjadi keperluan utama agar angkatan tentera dapat menyesuaikan diri dengan bentuk ancaman moden tanpa mengetepikan doktrin peperangan yang telah terbukti berkesan.
Kuasa besar dunia telah lama memberi perhatian khusus kepada pemodenan sistem persenjataan. Salah satu inovasi utama ialah senjata berasaskan tenaga (Energy-Based Weapons - EBW), yang menggunakan tenaga seperti laser atau gelombang elektromagnetik untuk menyerang sasaran tanpa memerlukan peluru konvensional. EBW mampu menembusi perisai, memusnahkan sistem elektronik musuh, dan menembak jatuh ancaman udara seperti dron atau misil hipersonik dengan pantas dan berkesan. Jadi tidak pelik jika kuasa besar seperti AS dan China kini berada dalam fasa ujian untuk menjadikan EBW sebagai sistem operasi sepenuhnya dalam beberapa tahun akan datang.
Pada masa yang sama, persenjataan pintar semakin berkembang dengan integrasi kecerdasan buatan (AI). Peluru berpandu berasaskan AI kini mampu menyesuaikan serangan berdasarkan pertahanan musuh, meningkatkan ketepatan dan keupayaan taktik di medan perang. Perkembangan ini semakin jelas apabila Iran kini membekalkan dron tempurnya, Mohajer-6 dan Ababil-5, dengan peluru berpandu buatan sendiri, Qaem dan Almas, yang dilengkapi teknologi AI. Menurut Komander Tentera Laut Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Alireza Tangsiri, peluru berpandu ini membolehkan sistem serangan menyesuaikan diri dengan sasaran secara autonomi, memberikan kelebihan strategik dalam operasi tempur. Tidak pelik dalam serangan balas Iran ke atas Tel Aviv baru-baru ini, keupayaan teknologi ini terus diberikan perhatian dan diperkatakan secara meluas.
Yang turut mendapat perhatian, Iran dikatakan kini turut sedang membangunkan peluru berpandu jelajah berasaskan AI dengan jarak operasi melebihi 1,000 km serta keupayaan untuk menyerang sasaran pada pelbagai altitud. Sistem persenjataan moden yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kawalan manual kini dilihat semakin terarah kepada automasi pintar yang mampu bertindak secara dinamik dan berupaya menyesuaikan serangan dalam masa nyata.
Dalam aspek kenderaan, perhatian semakin terarah kepada sistem kenderaan perisai hibrid-elektrik. Enjin diesel dilihat sebagai beban dalam peperangan yang menuntut kepantasan dan mobiliti senyap. Sebaliknya, kenderaan hibrid-elektrik yang lebih cekap bahan api serta mengurangkan jejak haba, menjadikan pergerakan ketenteraan menjadi lebih sukar untuk dikesan oleh musuh.
Pada Oktober 2024, laporan portal pertahanan Defense News mendedahkan potensi teknologi hibrid ini menyebabkan syarikat-syarikat pertahanan di AS semakin rancak menjalin kerjasama. Dalam Persidangan Tahunan Persatuan Tentera AS (AUSA), syarikat industri pertahanan seperti MACK Defense GM Defense masing-masing mengetengahkan inovasi kenderaan hibrid sebagai fokus mereka yang secara tidak langsung membuktikan kelebihan teknologi tersebut.
Di Manakah Kedudukan Malaysia?
Sukar dinafikan bahawa kita pada hari ini masih mempunyai banyak aset ‘tradisional’ yang berusia. Tahap teknologi dan keupayaan sebenar pasukan ketenteraan kita belum berada pada tahap yang optimum dan sangat memerlukan proses pemodenan yang serius.
Bertitik tolak daripada realiti ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, menjadikan pemodenan dan kecukupan aset sebagai salah satu agenda utama MINDEF dan ATM bagi tahun 2025. Lebih menarik, beliau turut membahaskan keperluan entiti-entiti penting dalam ekosistem pertahanan negara seperti STRIDE dan UPNM untuk mula memberi perhatian serius kepada aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D) dalam bidang-bidang kritikal.
Kita mesti menerima hakikat bahawa, pelbagai usaha pemodenan aset yang giat dijalankan oleh MINDEF dan ATM merupakan satu proses panjang dan akan memakan masa. Dengan bajet yang sederhana, malah barangkali jauh daripada mencukupi, strategi perlaksanaan secara cermat, berperingkat, sistematik dan efektif amat diperlukan. Namun, apa yang lebih utama adalah kerangka pelaksanaannya mesti jelas, telus dan berterusan.
Menteri Pertahanan sendiri mengakui perkara ini apabila menyuarakan keperluan untuk meningkatkan keupayaan ATM dengan pendekatan lebih strategik dan berskala besar. Sejajar dengan komitmen ini, beliau telah mengulang dalam Perutusan Tahun Baharu 2025 MINDEF, satu peruntukan sekitar RM12 bilion oleh Kerajaan bagi memperkukuh keupayaan ATM. Malah, semasa LIMA 25 di Langkawi yang melabuhkan tirai pada 24 Mei 2025 yang lalu, aspek pemodenan aset menjadi antara pengisian utama dalam keseluruhan 97 dokumen perolehan dan transaksi yang dimeterai, yang mencecah kira-kira RM11 bilion.
Buat masa ini, pemodenan aset ATM melibatkan, antaranya, perolehan Sistem Surface to Surface Missile (SSM) untuk KD JEBAT bagi memperkukuh dominasi maritim, serta perolehan tiga unit Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS) yang bakal memperkasakan pemantauan dan serangan udara tanpa pemandu. Selepas pelbagai cabaran, projek Littoral Combat Ship (LCS) menunjukkan momentum positif, dengan LCS1 kini menjalani Ujian Penerimaan Pelabuhan (HAT) dan Ujian Penerimaan Laut (SAT). LCS2 hingga LCS5 pula dilihat sedang bergerak mengikut jadual selain pembinaan kapal LMS Batch Kedua yang dimaklumkan sedang berjalan lancar.
Sektor udara juga tidak terkecuali. Projek pesawat FLIT-LCA KAI FA-50 Block 20 kini dalam kemajuan yang memberangsangkan, dengan dua unit pertama dijadualkan tiba pada Oktober 2026. Pada masa yang sama, Pesawat Ronda Maritim (MPA) buatan Itali, yang dijangka tiba antara Jun dan September 2026 - bakal menjadi aset penting dalam pengawasan perairan negara. Dengan teknologi lebih canggih dan keupayaan pemantauan yang lebih luas, MPA berpotensi memperkukuh kawalan strategik di laut, memastikan setiap pergerakan di perairan Malaysia dapat dipantau dan diuruskan dengan lebih pantas.
Sekalipun diakui bahawa komitmen MINDEF dalam hal ini mencerminkan adanya usaha bersepadu untuk melaksanakan pemodenan aset secara strategik dan sedang membina asas menuju ke era teknologi hibrid dan senjata pintar, namun, pelaksanaan ini menuntut konsistensi, kesinambungan dan yang lebih utama, ketelusan.
Perlu diingatkan, ketirisan dalam proses perolehan bukan sekadar melemahkan kesiagaan pertahanan, malah menjejaskan kredibiliti keseluruhan ekosistem keselamatan negara. Yang sangat diharapkan, segala proses pemodenan ini dipacu oleh teknologi, keperluan sebenar ATM dan dipastikan benar-benar memberi kelebihan kepada ketumbukan pertahanan negara.
* Oleh Anas Hayyan, Penganalisis, Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI)
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengaranag Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami