Pendahuluan - Apabila jiwa institusi mengendur, negara tidak lagi kukuh
Dalam menilai kekuatan sesebuah negara, perhatian sering tertumpu kepada perkara yang paling mudah dilihat di permukaan seperti pertumbuhan ekonomi, kestabilan politik, kekuatan pertahanan, keberkesanan dasar awam dan kemajuan teknologi. Semua ini memang penting dan sering dijadikan ukuran kemajuan negara. Namun sejarah ketamadunan menunjukkan bahawa negara jarang runtuh semata-mata kerana kekurangan dasar atau kelemahan prosedur. Negara menjadi rapuh apabila kesetiaan dalam institusinya sendiri mengendur. Undang-undang dan polisi tidak bergerak sendiri; semuanya bergantung kepada manusia yang membuat keputusan dan bertindak atas nama negara.
Advertisement
Sebab itu reformasi perkhidmatan awam bukan sekadar soal prosedur atau teknologi, tetapi soal psikologi kesetiaan. Kesetiaan institusi merupakan asas batin negara “the psychological infrastructure of the state”. Jika yang di dalam tidak terpelihara, yang di luar tidak akan dapat dipertahankan. Seperti peringatan yang sering disebut dalam literatur kepimpinan “if you cannot control what is inside, you will not control what is outside”.
Kesetiaan institusi - Teras yang sering dipandang ringan
Dalam wacana pentadbiran awam, reformasi sering dibincangkan dari sudut seperti digitalisasi, penyelarasan agensi atau kecekapan proses. Semua ini penting. Namun terlalu kerap institusi dilihat seolah-olah seperti mesin yang boleh diperbaiki hanya dengan menukar komponen teknikalnya. Hakikatnya institusi negara bukan sekadar struktur. Ia adalah "organised human behaviour".
Institusi hidup melalui budaya kerja, keberanian moral dan kesedaran tanggungjawab. Apabila unsur-unsur ini melemah, institusi masih boleh kelihatan berfungsi tetapi sebenarnya mengalami hakisan dari dalam. Laporan masih diterbitkan dan mesyuarat masih berlangsung, namun keputusan menjadi semakin defensif dan budaya kerja bergerak daripada amanah kepada sekadar pematuhan minimum. Pada tahap inilah kesetiaan institusi menjadi faktor penentu. Kesetiaan bukan sekadar kepatuhan formal kepada peraturan. Kesetiaan sebenar ialah penyatuan antara tugas, nilai dan misi negara. Tanpa kesetiaan institusi, undang-undang yang baik boleh dimanipulasi. Dengan kesetiaan institusi, bahkan sistem yang belum sempurna masih boleh berfungsi dengan terhormat.
Seperti yang diingatkan oleh ulama besar Islam Al-Ghazali;
“Keruntuhan negara tidak bermula dengan kegagalan undang-undang, tetapi apabila amanah tidak lagi dipelihara oleh mereka yang memegang kuasa”.
Pekeliling pembudayaan amalan patriotisme dan taat setia sebagai rujukan reformasi kesetiaan institusi
Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 17 Mac 2025 perlu dibaca dalam makna yang lebih besar. Pekeliling ini menegaskan pembudayaan patriotisme dan taat setia dalam kalangan penjawat awam serta menegaskan bahawa kesetiaan kepada negara dan Perlembagaan merupakan asas kepada integriti perkhidmatan awam. Dilihat secara strategik, pekeliling ini berfungsi sebagai institutional reset signal. Ia mengingatkan bahawa kesetiaan sering menjadi kabur apabila tidak difahami dengan jelas.
Seorang pegawai boleh terlalu patuh kepada prosedur tetapi terpisah daripada tujuan sebenar. Ada yang terlalu setia kepada individu hingga mengabaikan prinsip. Ada pula yang tenggelam dalam rutin organisasi sehingga terlupa bahawa amanah pentadbiran negara sebenarnya ialah kepada rakyat.
Kesetiaan yang sebenar kepada negara bukan sekadar kepatuhan kepada sistem, tetapi keberanian mempertahankan prinsip dan kepentingan rakyat. Dalam makna ini, pekeliling tersebut menegaskan semula asas moral dalam perkhidmatan awam. Ia membawa mesej bahawa reformasi pentadbiran bukan sekadar pembaikan sistem, tetapi pembinaan semula watak institusi “a reform of institutional character”.
Psikologi kesetiaan dalam institusi negara
Kesetiaan institusi tidak lahir secara automatik. Ia tidak terbentuk melalui sumpah jawatan atau peraturan perkhidmatan semata-mata. Kesetiaan sebenarnya terbina melalui pengalaman kerja, budaya organisasi dan makna yang diberikan oleh individu terhadap peranan mereka dalam negara. Dalam kajian organizational commitment, sarjana seperti John P. Meyer dan Natalie Allen menjelaskan bahawa kesetiaan organisasi mempunyai beberapa dimensi psikologi. Dalam konteks institusi negara, kesetiaan ini boleh difahami melalui tiga lapisan utama.
A. Normative loyalty
Normative loyalty ialah kesetiaan yang lahir daripada tanggungjawab moral. Pada tahap ini, seseorang pegawai berkhidmat kerana merasakan bahawa tugas tersebut adalah amanah yang wajar dipikul. Perkhidmatan awam tidak dilihat sekadar sebagai kerjaya atau sumber pendapatan, tetapi sebagai tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Konsep ini berkait rapat dengan idea public service motivation yang dihuraikan oleh sarjana pentadbiran awam James L. Perry.
Dalam konteks Malaysia, dimensi ini sering tercermin dalam budaya perkhidmatan awam yang menekankan konsep amanah dan khidmat kepada rakyat. Ia dapat dilihat apabila pegawai sanggup bekerja di kawasan pedalaman, mengurus bencana atau melaksanakan dasar negara dalam keadaan mencabar. Pada tahap ini kesetiaan tidak dipaksa oleh peraturan; ia lahir daripada kesedaran moral bahawa negara memerlukan mereka untuk menjalankan amanah dengan jujur dan bertanggungjawab.
B. Professional loyalty
Professional loyalty merujuk kepada kesetiaan terhadap standard profesional dan reputasi institusi. Pada tahap ini pegawai menjaga kualiti kerja mereka kerana maruah profesion mereka terikat dengan kredibiliti institusi yang diwakili. Kegagalan institusi bukan sekadar kegagalan organisasi, tetapi juga kegagalan profesional.
Ahli sosiologi seperti Max Weber dan Herbert Simon menekankan bahawa birokrasi moden bergantung kepada professional ethos yakni budaya kerja yang menuntut kompetensi, integriti dan disiplin dalam membuat keputusan. Dalam realiti pentadbiran Malaysia, dimensi ini amat penting dalam sektor seperti kewangan awam, keselamatan negara, kesihatan, pendidikan dan diplomasi. Integriti laporan kewangan, ketepatan analisis dasar dan profesionalisme pegawai diplomatik mencerminkan tahap professional loyalty dalam institusi negara. Pegawai pada lapisan ini tidak sekadar mematuhi arahan; mereka mempertahankan standard profesional kerana reputasi institusi menjadi sebahagian daripada identiti profesional mereka.
C. Identity loyalty
Identity loyalty merupakan lapisan kesetiaan yang paling mendalam. Ia berlaku apabila individu melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada misi negara. Pada tahap ini pegawai tidak lagi melihat diri mereka sekadar sebagai pekerja organisasi, tetapi sebagai penjaga amanah negara. Konsep ini sejajar dengan teori social identity oleh Henri Tajfel dan John Turner yang menjelaskan bahawa manusia membentuk identiti diri melalui kumpulan yang mereka anggotai.
Apabila identiti profesional dan identiti kenegaraan bertaut, kesetiaan institusi menjadi sangat kuat. Pegawai melihat kejayaan negara sebagai kejayaan peribadi mereka dan kegagalan institusi sebagai tanggungjawab yang perlu diperbaiki.
Institusi negara yang kukuh memerlukan ketiga-tiga lapisan kesetiaan ini secara serentak. Apabila kesemuanya wujud bersama, institusi memiliki roh kenegaraan yang memberi daya tahan kepada negara.
Kepercayaan awam dan tanggungjawab kepimpinan Institusi
Kajian oleh Organisation for Economic Co-operation and Development melalui laporan OECD Survey on Drivers of Trust in Public Institutions 2024 menunjukkan bahawa hanya sekitar 39 peratus rakyat di negara OECD mempunyai tahap kepercayaan tinggi atau sederhana terhadap kerajaan mereka. Laporan Edelman Trust Barometer 2024 turut menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap institusi utama seperti kerajaan, media dan perniagaan semakin rapuh. Dapatan ini memberi isyarat penting bahawa cabaran terbesar negara moden bukan sekadar ekonomi atau teknologi, tetapi krisis kepercayaan terhadap institusi.
Dalam konteks Malaysia, usaha memperkukuh kesetiaan institusi berkait rapat dengan usaha memulihkan kepercayaan awam. Kerangka Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan dimensi normatif usaha tersebut. Reformasi negara bukan sekadar memperbaiki prosedur pentadbiran, tetapi memulihkan maruah institusi dan memastikan pentadbiran negara berpaksikan prinsip, integriti dan kepentingan rakyat. Harapan ini turut ditekankan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang sering mengingatkan bahawa kekuatan pentadbiran negara tidak hanya bergantung kepada sistem atau struktur organisasi, tetapi kepada watak manusia yang menggerakkan institusi tersebut.
Di peringkat kementerian, tanggungjawab ini dipikul oleh Ketua Setiausaha Kementerian. Di peringkat jabatan pula, Ketua Pengarah dan Ketua Jabatan menjaga standard profesional serta budaya kerja institusi. Di luar negara, pegawai diplomatik dan perwakilan Malaysia di kedutaan membawa imej serta kredibiliti negara di pentas antarabangsa. Dalam dunia yang semakin saling bergantung, reputasi institusi negara tidak lagi dibina hanya di dalam sempadan negara. Ia turut terbentuk melalui cara Malaysia diwakili dan dipersepsikan oleh masyarakat antarabangsa. Apabila kepimpinan institusi pada setiap lapisan bergerak dengan kesetiaan kepada prinsip negara, kepercayaan rakyat dapat diperkukuh dan ketahanan institusi dapat dipelihara.
Kesimpulan - Apabila kesetiaan berakar, negara akan bertahan
Pemikir besar Islam Ibn Khaldun pernah mengingatkan bahawa kekuatan negara akhirnya bergantung kepada kesetiaan manusia yang mempertahankan institusinya. Sebab itu langkah seterusnya ialah memperkukuh disiplin kenegaraan dalam setiap lapisan pentadbiran. Keadaan ini menuntut kepimpinan yang tegas dalam mempertahankan amanah negara, budaya kerja yang meletakkan national interest above narrow interests, serta sistem pentadbiran yang menjadikan integriti, akauntabiliti dan keberanian moral, termasuk keberanian memberi nasihat yang benar sebagai ukuran utama dalam perkhidmatan awam. Apabila kesetiaan benar-benar berakar dalam institusi, reformasi tidak lagi sekadar agenda pentadbiran. Ia menjadi keupayaan sebenar negara untuk bertahan, menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan mengekalkan maruah pentadbiran walaupun dunia di sekelilingnya semakin tidak menentu.
* Datuk Yahaya Abdullah adalah pakar komunikasi strategik dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.