NEGARA mengalami situasi yang tidak menentu.

Kes COVID-19 naik mencanak-canak, ahli politik didakwa mengejar keabsahan dan kerusi demi kelangsungan agenda peribadi bermaharajalela dari yang paling bawah hingga tampuk paling atas termasuklah aksi katak lompat-melompat, integriti kelaut dah tidak menjadi masalah.

Berita kini menjadi ‘trending’ dipercayai hanya mengelirukan rakyat, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanya dijulang ketika mendatangkan untung, ekonomi merudum jatuh terduduk dan masalah psikologi menjadi-jadi, pelabur lari tanpa daya untuk dihindari.

Inilah nasib yang menimpa ‘Tiger Asia’, negara yang suatu masa dahulu digeruni dan dicemburui lawan mahu pun kawan.

Persoalannya sampai bilakah kemelut ini dapat diselesaikan?

Timbul persoalan bahawa disaat getir sebegini, adakah pemerintahan militer sebagai solusi.

Bunyinya agak menjengkelkan namun kesan dan akibatnya boleh direnung-renung, difikir dan dihitung.

Apabila pimpinan sivil dianggap gagal, demokrasi tidak berfungsi, suara rakyat diketepi dan Pemerintah dipercayai dinafikan, maka militer adalah penyelesainya.

Mengapa ini mungkin?

Jawapannya seperti berikut:

Tenera taat setia kepada YDPA

Ketaatan militer kepada Raja/Sultan tidak bertepi.

Taat ahli politik bertempat hanya berlaku apabila menguntungkan dan menderhaka apabila merugikan.

Taat pemimpin atas kepentingan kuasa dan jawatan, membezakan taat rakyat lebih murni dan suci.

Taat rakyat kerana pantang menderhaka kepada Raja/Sultan akan tetapi tidak mampu sampai menghadap Agong atau berkunjung ke istana dek protokol sebagainya.

Walau bagaimanapun, taatnya militer amat jelas, sumpah setia sumpah berdarah mempertahankan tanahair tidak pernah dipertikai.

Militer hanya patuh kepada YDPA bukan ahli politik atau sesiapa sahaja yang ‘berupa-rupa’ sepertti sesumpah.

Militer sanggup mati mempertahan YDPA, jika tidak masakan juruiring pilihan hanyalah militer yang diketahui bagaimana kesetiaan kepada tanah tumpah darah ini tidak akan digadai walau dalam keadaan apa sekalipun.

Oleh kerana itu, Kanun Keseksaan Perkara 121, menetapkan Melancarkan Perang Keatas YDPA adalah perkara yang bersifat berat dan besar. Bukan sahaja Al-Maunah, malah ramai lagi pimpinan politik yang boleh disabitkan di bawah Akta ini kerana menidakkan sistem demokrasi dan melancarkan penderhakaan kepada YDPA.

Inilah kelompok yang perlu diperangi kerana menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Militer telus berintegriti

Amat jarang kita mendengar militer di negara ini disabitkan dengan kesalahan rasuah.

Malah ‘double layer’ dalam proses pengadilan bagi militer adalah berbeza.

Mahkamah tentera sebagaimana termaktub dalam Seksyen 88, Akta Angkatan Tentera 1972  mempunyai integriti yang cukup tinggi dan ditakuti oleh anggotanya.

Tidak cukup dengan pengadilan di mahkamah tentera, mereka juga boleh dibicarakan dimahkamah sivil bagi kes-kes jenayah seperti rogol dan bunuh. Ini menjadikan militer mempunyai sistem ‘check and balance’ yang lebih telus, cekap dan berintegriti.

Malah militer juga mempunyai rekod yang cemerlang dalam membanteras penipuan dan pecah amanah di kalangan anggotanya. Acap kali, militer yang menjaga sempadan negara membawa natijah yang lebih baik dalam tangkapan dan pembanterasan kejadian penyeludupan dan jenayah.

Keadaan yang berbeza apabila dikawal oleh agensi lainnya. Bukan membuat tuduhan tetapi realitinya begitu, militer tidak sama sekali menggadai kedaulatan negara dalam apa jua keadaan dan suasana. Asuhan dan disiplin militer tidak mampu ditandingi oleh kelompok sivil.

Solidariti militer jauh mendepani sesiapa pun termasuklah ahli politik.

Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Persatuan Bekas Komando dan yang seangkatan dengannya jika diberi peluang mentadbir negara, pastinya mampu memberi natijah yang berbeza, disiplin dan integriti mereka tidak akan mampu kompromi walau sesiapa, diamana dan dalam keadaan apapun.

Militer bermakna penyelesaian  

Militer dibentuk hanya untuk menjalankan amanah dan menyelesaikan apa sahaja arahan pihak atasan tanpa kompromi apatah lagi ‘bargain’.

Tiada dalam kamus militer cuba dahulu, atau tengoklah dan nasiblah.

Bagi militer, mereka cuma ada menang atau mati. Tiada istilah gagal.

Disebabkan itulah dalam pelbagai konflik, apabila pihak tentera masuk ke wilayah tersebut maka natijahnya adalah kematian atau pembantaian, tentera hanya datang dan berusaha sebaiknya untuk menyelesaikan masalah bukannya untuk berbincang apatah lagi membuang masa.

China, Saudi, Russia, Iran, India, Indonesia dan banyak negara lain yang mengerahkan militer dalam menangani COVID-19 dilihat lebih berjaya.

Malah hospital bersifat mega boleh disiapkan dalam tempoh 72 jam ketika China mendepani pandemik ini di Wuhan pada awal 2020 yang lalu.

Jika militer diberi tugas membanteras COVID-19 di negara ini, diyakini prosesnya akan lebih cepat, setiap arahan akan dilaksanakan dengan pantas dan cekap, tiada istilah gagal kerana tentera dibentuk untuk menang.

Malah politik juga apabila dipegang oleh tentera, objektifnya adalah kepada memulihkan ‘kepercayaan’ dan ‘kestabilan’ dalam negara sebelum diserahkan semula kepada masyarakat awam. Sistem sedia ada dilihat sangat teruk, korup dan sudah tidak boleh dibaiki.

Rakyat memilih kerajaan, kemudiannya kerajannya bertukar.

Rakyat memilih wakil rakyat, kemudian wakil rakyatnya melompat parti.

Maka seharusnya tentera masuk memulihkan keadaan ini.

Mencuci kebobrokan yang mengakar umbi, membanteras korupsi diperingkat paling bawah hingga yang paling tinggi. Kemudian, barulah ia dipulangkan semula kepada warganegara ini untuk membentuk semula sistem bernegara yang baik dan betul.

Inilah proses yang perlu dilalui oleh mana-mana negara mahupun tamadun dan empayar di dunia. Teori bernegara oleh Ibnu Khaldun jelas menyatakan bahawa sesebuah institusi itu akan melalui beberapa fasa bermula dengan pembinaan hingga sampai kepada kemuncaknya, kemudian melalui proses kerosakkan sebelum jatuh. Maka pembersihan adalah perlu agar insitutsi tersebut boleh bangkit semula menjadi lebih hebat dan mengujakan.

Adakah Militer penyelesaiannya?

Setelah dilihat kerajaan hari ini, gagal mahu pun ketidakstabilan politik dan ekonomi yang berpanjangan serta kemungkinan negara terjerumus ke dalam kancah peperangan dan kekacauan.

Isu bangun semula setelah dikeronyok oleh virus COVID-19 adalah halangan terbesar buat Malaysia.

Ditambah pula isu Laut China Selatan yang sedang membadai dan bergelora, Amerika, Britain, Belanda, German dan Perancis sedang berkampung bagi mengekang ancaman besar kepala oleh China. Malaysia bakal melalui zaman  gelap dan penuh pancaroba.

Apabila masyarakat sivil dilihat tidak berkemampuan, malah menjadikan keadaan makin parah dan tidak mampu diperbaiki dalam tempoh terdekat ini, maka tentera adalah kemungkinan kepada penyelesaian semua permasalahan ini.

Cuma yang mengekangnya adalah pemerintahan militer diluar norma kebiasaan, kecekapan ketenteraan yang belum pernah diuji juga menjadi halangan terbesar.

Tetapi ketaatan militer kepada kuasa tertinggi negara ini YDPA adalah kunci yang amat bernilai.



* Dr Mohd Mizan Aslam ialah Profesor Pengajian Strategik di Naif Arab University for Security Sciences, Riyadh.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.