KEMALANGAN yang menyebabkan seorang pekerja maut dan empat lagi cedera akibat runtuhan struktur perancah bagi pembinaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada petang semalam adalah amat dikesali.

Apatah lagi kemalangan semalam hanya dalam tempoh sebulan selepas kemalangan yang meragut satu nyawa selain menyebabkan seorang lagi tercedera di projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada 20 Jun yang turut melibatkan runtuhan struktur perancah.

Runtuhan struktur perancah terutamanya dalam kerja-kerja konkrit merupakan salah satu faktor penyebab kemalangan di tapak pembinaan selain turut menyebabkan kebanyakan pekerja yang terlibat dalam kemalangan berkaitan tercedera mahupun kehilangan nyawa.

Penggunaan perancah dalam industri pembinaan adalah sangat penting dan kritikal samada digunakan sebagai tetupang (support), pelantar penyangga (loading), laluan (access), perlindungan (protection) dan ruang simpan (storage), bermula dari kerja-kerja ringan (light duty), kerja-kerja berat (heavy duty), sehinggalah kepada kerja-kerja khas (special duty).

Malahan terdapat satu bahagian khusus di dalam Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139) iaitu di bawah Bahagian X – Perancah (Peraturan 72 hingga 98) Peraturan Kendalian Bangunan dan Kerja-Kerja Binaan Kejuruteraan (Keselamatan) 1986 bagi memastikan penggunaan perancah yang selamat.

Oleh kerana penggunaan perancah yang pelbagai dan mudah dikendalikan, ia turut menjadi pilihan utama dalam kerja-kerja konkrit terutamanya sebagai tetupang bagi kerja-kerja acuan (formworks) serta penyangga sementara (falsework) dan kehendak terhadap perkara ini turut dijelaskan dalam Bahagian III – Kerja-Kerja Konkrit (Peraturan 28 hingga 32) dalam peraturan yang sama.

Ezuwar Yahya, pengajar perancah dan acuan di Pusat Latihan Kompetensi, PERI Asia Pacific

Antara beberapa kehendak penting dalam perundangan yang melibatkan penggunaan perancah dan kerja-kerja konkrit termasuklah :

• Tiap-tiap perancah mesti dalam keadaan baik dan berupaya menampung beban (Peraturan  72)

• Pemeriksaan bahan dan kerja-kerja perancah mesti diselia oleh Orang Yang Kompeten (OYK) iaitu pengendali perancah yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) - (Peraturan  74)

• Setiap perancah mesti mempunyai rekabentuk termasuk lukisan oleh Jurutera Profesional dan mesti diluluskan (Peraturan  75)

• Setiap perancah mesti diperiksa oleh orang yang ditetapkan (pemeriksa perancah) mengikut masa yang telah ditetapkan (Peraturan  85)

• Pembinaan struktur acuan konkrit mesti diperiksa dan diselia oleh orang yang ditetapkan, seterusnya diakui selamat oleh Jurutera Profesional (Peraturan  28 dan 29)

Persoalannya, mengapa kemalangan yang melibatkan runtuhan struktur perancah ini kerap berlaku sekalipun terdapat peruntukan undang-undang khas terhadap penggunaannya?

Menurut Ezuwar bin Yahaya yang merupakan salah seorang pengajar perancah dan acuan di Pusat Latihan Kompetensi, PERI Asia Pacific terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan melibatkan runtuhan struktur perancah atau acuan ini yang antara lainnya ialah :

Kegagalan rekabentuk :

• Rekabentuk hendaklah dibuat dan diperakui oleh seorang Jurutera Profesional (Sivil dan Struktur) yang mempunyai pengalaman berkaitan rekabentuk dan penyeliaan kerja-kerja berkaitan perancah

• Selain dari memenuhi kehendak undang-undang (Peraturan 28 atau 75), rekabentuk struktur juga mestilah menurut garispanduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) iaitu Garispanduan 001 bertarikh 21 Ogos 2015 – Tanggungjawab dan peranan Jurutera Profesional bagi kerja-kerja sementara sewaktu fasa pembinaan

• Rekabentuk struktur juga boleh menepati standard EN12812 (Falsework - Performance requirements and general design)

• Faktor sekeliling seperti keupayaan ketahanan tanah (soil bearing capacity) atau faktor angin (windload) perlu diambil kira dan dimasukkan ke dalam rekabentuk tersebut

• Rekabentuk hendaklah spesifik kepada struktur dan mengikut lokasi pembinaan yang khusus, bukannya sekadar menggunakan rekabentuk dari struktur lain menggunakan kaedah salin dan tampal (copy & paste)

• Terdapat juga sebilangan kes kemalangan melibatkan struktur yang tidak mempunyai rekabentuk langsung.

• Kegagalan bahan (material failure) :

• Kegagalan melakukan pemriksaan bahan dengan betul atau pemeriksaan bahan tidak dilakukan langsung menyebabkan peralatan yang berkarat, rosak atau mengalami kecacatan digunakan dalam pembinaan struktur perancah

• Pemeriksaan bahan mesti dikawal selia oleh OYK

Pemasang perancah tidak terlatih :

• Pemasang perancah mesti dilatih sepenuhnya untuk setiap jenis perancah atau penyangga sementara

Tiada penyeliaan semasa kerja-kerja pemasangan dilakukan :

• kerja-kerja pemasangan perlu dikawal selia oleh OYK

• Tiada pemeriksaan yang sewajarnya

• Pemeriksaan dilakukan oleh orang yang tidak berkelayakan atau tiada pemeriksaan dijalankan ke atas struktur yang telah dipasang

• Pemeriksaan harus dilakukan oleh Jurutera Profesional yang merekabentuk struktur berkenaan bersama-sama dengan pemeriksa perancah

• Struktur acuan yang telah siap dipasang mesti disahkan selamat oleh Jurutera Profesional sebelum sebarang kerja-kerja konkrit boleh dijalankan

• Kurang penyeliaan semasa kerja konkrit

• Pekerja mesti dipantau supaya proses konkrit mengikut prosedur selain boleh mengelakkan kesilapan pekerja

• Sewaktu proses menuang konkrit, urutan (sequence) wajib dipatuhi dan elakkan dari menuang konkrit di tempat yang sama supaya beban konkrit akan tersebar secara rata dan mengelakkan risiko kegagalan struktur

• Jika proses menuang konkrit untuk tiang (column) atau dinding (wall), faktor tekanan mendatar (horizontal pressure) kepada acuan mesti dititikberatkan supaya acuan tidak pecah

• Gred konkrit dan sebarang jenis bahan tambahan (additive) juga perlu diambilkira supaya ia tidak bercanggah dengan rekaan asal

Apapun, saya percaya pihak berkuasa berkaitan terutamanya pihak JKKP, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Kementerian Kerja Raya pastinya akan melakukan penyiasatan yang sewajarnya bagi menentukan faktor langsung, faktor penyumbang dan faktor dasar yang menyebabkan berlakunya kemalangan runtuhan struktur perancah tersebut, seterusnya melakukan pendakwaan jika terdapatnya sebarang unsur kecuaian dan ketidakpatuhan undang-undang oleh pihak terlibat.

Namun yang lebih penting dari itu ialah memaklumkan dan berkongsi hasil siasatan tersebut kepada semua pihak terutamanya dalam kalangan pemain industri pembinaan agar kemalangan yang sama dapat dicegah dan tidak berulang.



* Penulis merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam di Safety Management Academy.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.