KPKT laksana Projek Inovasi Pencahayaan Hiasan Bandar 'I Lite U'

Nga bercakap pada sidang media selepas Majlis Pra-Pelancaran Projek ‘I Lite U’ atau Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 pada Rabu. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di sekitar ibu negara khususnya Bukit Bintang sebagai destinasi pelancongan malam utama negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata dikenali sebagai Projek 'I Lite U', merupakan inisiatif pencahayaan hiasan bandar yang dirangka bagi memperkukuh identiti malam Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Pelancongan Bertaraf Antarabangsa melalui konsep pencahayaan moden, harmoni dan beridentiti tempatan.
"KPKT memulakan inisiatif itu dengan memberikan peruntukan khas RM2 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merancakkan pencahayaan di kawasan ibu kota khususnya Golden Triangle of Bukit Bintang," katanya pada sidang media Majlis Prapelancaran Projek 'I Lite U'.
Beliau berkata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif juga bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM2 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM4 juta, bagi memastikan ia bukan sekadar program pengindahan dan pencahayaan, tetapi turut menyokong agenda kelestarian serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
Menurut Nga, projek yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Jan tahun hadapan akan melibatkan kerjasama agensi seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Alam Flora Sdn Bhd bagi memastikan kawasan Bukit Bintang sentiasa bersih dan ceria.
Beliau berkata antara komponen reka bentuk pencahayaan 'I Lite U' termasuk pintu gerbang dan arca TMM2026 yang mengaplikasikan konsep Warm White Celebration of Light serta gabungan elemen moden dan tradisional.
Sejajar dengan inisiatif tersebut, Nga berkata satu pertandingan akan dianjurkan dengan tema Illuminate the City, Inspire the Nation! merangkumi tiga kategori utama iaitu Pertandingan Fotografi, Pertandingan Video Pendek dan Pertandingan Lampu Bangunan Terbaik.
Penyertaan terbuka kepada orang ramai bermula 3 Jan hingga 20 Mac 2026 dengan menawarkan hadiah baucar hotel dan beli-belah bernilai hingga RM3,300.
Dalam perkembangan lain, Nga berkata DBKL meneruskan pemantauan berjadual bagi risiko kejadian pokok tumbang terutamanya di kawasan tumpuan awam dan laluan utama.
"Sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN yang lepas, tiada sebarang insiden pokok tumbang dicatatkan di sekitar Kuala Lumpur," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


